Remaja yang menggunakan kapak tempur untuk membunuh rakan sekolahnya yang berusia 13 tahun pada 2021 sedang merayu terhadap hukumannya.
Penyerang pada mulanya dikenakan pertuduhan membunuh, tetapi kemudian dikurangkan kepada salah satu pertuduhan homisid yang tidak membawa kepada pembunuhan.
Dia tidak boleh dinamakan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Remaja kerana dia melakukan jenayah itu ketika berumur 16 tahun
Dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada Disember 2023 dan telah dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun.
Semasa rayuan pada 1 Julai, peguam remaja itu, Encik Sunil Sudheesan, memberitahu mahkamah bahawa hukuman itu amat berat.
Beliau berkata remaja itu sebelum ini berada dalam “kemurungan yang teruk” apabila dia melaksanakan rancangan yang tidak rasional, oleh itu kesalahannya perlu dinilai berdasarkan konteks tersebut.
Encik Sudheesan berkata walaupun remaja itu mempunyai kawalan ke atas perbuatan fizikalnya dan sedar pada masa itu bahawa apa yang dia lakukan adalah salah, penyakit mentalnya menyebabkannya melaksanakan rancangan yang tidak rasional.
Dengan memakai kemeja-T putih, remaja yang kini berusia 19 tahun itu tidak menunjukkan sebarang perasaan ketika mahkamah mendengar rayuan itu.
Antara Mac dan April 2021, remaja berusia 16 tahun pada waktu itu telah membeli beberapa senjata, termasuk kapak tempur.
Dia merupakan pelajar di Sekolah Tinggi River Valley dan mengalami kemurungan.
Dia juga telah merancang untuk menetak orang di sekolah supaya polis menembaknya hingga mati.
Kira-kira 11.15 pagi pada 19 Julai 2021, dia meninggalkan bilik darjahnya dan menunggu di tandas.
Dengan bersenjatakan kapak, di menetak mangsa, Ethan Hun, berkali-kali.
Walaupun mereka adalah rakan sekolah, mereka berdua tidak mengenali antara satu sama lain.
Sebelum ini terdapat perintah larangan menyebut nama mangsa, tetapi ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi atas permintaan ibu bapa Ethan.
Ibu bapa Ethan juga telah memaafkan penyerang dengan mengatakan bahawa walaupun mereka patah hati, mereka mahu semua orang mengingati Ethan kerana kebaikannya, hatinya yang baik dan sifatnya yang mencintai kedamaian.
Semasa rayuan pada 1 Julai, Encik Sudheesan berkata rancangan tidak rasional remaja itu juga dipengaruhi video snuff, iaitu rakaman memaparkan adegan pembunuhan atau kematian sebenar seseorang, yang telah ditonton oleh remaja itu.
Bagaimanapun, susulan kejadian itu, remaja itu sudah pulih sepenuhnya daripada kemurungannya yang telah berkurangan sejak September 2022, tambah peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Andre Chong mengatakan bahawa remaja itu memiliki tanggungjawab yang besar setelah membuat keputusan untuk menonton video sedemikian ketika rasionalnya tidak terjejas.
DPP Chong berkata sekiranya dia tidak menonton video itu, idea untuk membunuh diri tidak akan terbentuk.
Beliau menambah bahawa remaja itu sedar dia tertekan, namun enggan mendapatkan bantuan.
Dia sepatutnya tahu untuk berwaspada terhadap bahan sedemikian.
Sebagai tindak balas, Encik Sudheesan berkata: “Kemurungan bukan seperti paip, anda tidak boleh menghidupkannya, anda tidak boleh mematikannya.”
Beliau menambah bahawa kemurungan boleh melumpuhkan walaupun sehebat mana pun individu itu, dan dalam kes remaja itu, dia mengatasinya dengan buruk.
Kes itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan hakim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg