Kes curi di kedai kekal jenayah utama belia pada 2025
Walaupun kes mencuri di kedai menurun, ia kekal sebagai salah satu jenayah utama oleh belia yang ditangkap pada 2025, menurut statistik jenayah Pasukan Polis Singapura (SPF) yang dikeluarkan pada 24 Februari.
Daripada 23,580 individu yang ditangkap pada 2025, seramai 3,570 adalah belia – merangkumi 15.1 peratus daripada keseluruhan.
Belia ini berusia antara 10 tahun dengan 19 tahun.
Secara keseluruhan, kes mencuri di kedai menurun sebanyak 3.0 peratus, daripada 4,237 kes pada 2024 kepada 4,109 pada 2025.
Bercakap kepada media semasa taklimat tahunan, Pengarah Jabatan Operasi, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Leon Chan berkata:
“Walaupun terdapat peningkatan ketara dalam bilangan belia yang ditangkap atas perbuatan mencuri di kedai pada 2024 ke 2025, pihak polis akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan kedai buku Popular untuk memperkukuh kesedaran pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar.”
Sebagai contoh, SPF dan rangkaian kedai buku, Popular, telah melancarkan siri komik pencegahan jenayah pada 2025.
Edisi yang seterusnya dijangka dilancarkan seawal Mac 2026.
SPF juga akan terus bekerjasama dengan MOE untuk memperkukuhkan pendidikan pencegahan jenayah di kalangan pelajar.
“SPF telah bekerjasama dengan MOE untuk mendidik pelajar tentang pencegahan jenayah, termasuk perbuatan mencuri di kedai, melalui ceramah, nasihat bersama sekolah dan inisiatif yang lain,” tambah polis.
Selain itu, polis akan melancarkan modul pembelajaran khas mengenai pencegahan jenayah di Ruang Pembelajaran Singapura (SLS), untuk semua pelajar darjah tiga hingga enam di sekolah rendah pada penggal pertama 2026.
Selain daripada belia, polis dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) akan terus mengadakan sesi penglibatan bersama masyarakat, termasuk inisiatif ‘Kopi Bersama Polis’, jerayawara, lawatan rumah dan selainnya.
Polis juga menjalinkan hubungan bersama sektor industri melalui Kumpulan Pengawasan Keselamatan dan Sekuriti Industri (iSSWG).

