Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes denggi di S’pura capai paras terendah dalam 7 tahun pada 2025

Dec 28, 2025 | 4:18 PM
Singapore, denggi, dengue, NEA
Terdapat 3,990 kes denggi yang dilaporkan pada 2025 hingga 26 Disember, penurunan kira-kira 70 peratus berbanding 13,651 kes pada 2024. - Foto fail

Bilangan kes denggi di Singapura berada pada tahap terendah dalam tempoh tujuh tahun, dengan kira-kira 4,000 kes direkodkan setakat ini pada 2025, menurut data daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Terdapat 3,990 kes denggi yang dilaporkan di Singapura setakat 26 Disember, penurunan kira-kira 70 peratus berbanding 13,651 kes pada 2024.

Ini merupakan bilangan kes terendah yang direkod di sini sejak 2018, apabila 3,282 kes direkodkan, lapor The Straits Times.

Terdapat empat kematian akibat penyakit denggi yang dilaporkan setakat ini pada 2025, berbanding 17 pada 2024.

Pada Mei, NEA mengaitkan bilangan kes denggi yang lebih rendah sebahagiannya dengan usaha seperti Projek Wolbachia.

Projek tersebut ialah inisiatif untuk mengawal populasi nyamuk Aedes di Singapura melalui pembebasan nyamuk jantan yang dibiak di makmal dan dijangkiti bakteria Wolbachia.

Projek Wolbachia “kemungkinan besar” telah menyumbang kepada penurunan bilangan denggi pada 2025, kata naib dekan kesihatan global di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Hsu Li Yang.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif tersebut – yang kini meliputi lebih daripada 580,000 isi rumah – telah dipertingkatkan dengan agak ketara sepanjang tahun.

Walau bagaimanapun, Dr Hsu menambah adalah sukar untuk menilai sejauh mana peranan yang telah dimainkan oleh projek tersebut, memandangkan bilangan kes yang turun naik dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kes denggi di Singapura mencapai paras tertinggi iaitu 35,315 pada 2020, sebelum jatuh kepada 5,258 pada 2021.

Pada 2022, bilangan jangkitan meningkat semula kepada 32,325, dan kemudian menurun kepada 9,949 pada 2023.

Sumbangan Projek Wolbachia kepada penurunan bilangan denggi di Singapura berkemungkinan akan menjadi lebih jelas dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, katanya.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk meliputi 800,000 isi rumah, atau kira-kira separuh daripada semua isi rumah di Singapura, menjelang 2026.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH) Profesor Paul Tambyah berkata kadar penurunan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan imuniti kelompok atau jenis denggi yang sedang merebak.

Imuniti kelompok merujuk kepada situasi yang mana terdapat cukup bilangan orang ramai yang imun terhadap penyakit sehingga ia tidak lagi mudah merebak.

“Penurunan kes denggi yang hampir sama di Singapura kali terakhir direkodkan pada 2017 apabila terdapat penurunan sebanyak 78.9 peratus dalam bilangan kes denggi, daripada 13,085 kes pada 2016 kepada 2,767 kes pada 2017,” kata Dr Tambyah.

Serotip Den-2 denggi telah menyumbang kepada kebanyakan jangkitan di Singapura sejak pertengahan 2023, dan ia juga bertanggungjawab untuk kebanyakan kes denggi pada 2016 dan 2017.

Penurunan bilangan kes jangkitan denggi di Singapura ini berlaku di tengah-tengah penurunan kes denggi di seluruh dunia pada 2025.

Terdapat kira-kira lima juta kes denggi di seluruh dunia pada awal Disember, jauh lebih rendah berbanding kira-kira 14 juta kes pada 2024, menurut data Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Kira-kira 3,000 orang telah meninggal dunia di seluruh dunia akibat punca berkaitan denggi pada 2025, berbanding kira-kira 9,500 kematian sedemikian pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg