Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek Wolbachia kekang nyamuk Aedes biak diperluas ke empat lokasi

Bagi cegah denggi, tingkat liputan daripada 580,000 isi rumah ke 660,000 mulai 16 Dis
Nov 24, 2025 | 9:26 PM
Projek Wolbachia, pembiakan nyamuk Aedes, denggi, Marsiling, Woodlands, Kaki Bukit-Kembangan, NEA
Projek Wolbachia akan meningkatkan liputannya hingga 660,000 isi rumah, dengan peluasannya ke Marsiling, Woodlands, Bedok dan Kaki Bukit-Kembangan mulai 16 Disember dalam usaha mengekang pembiakan nyamuk Aedes dan juga denggi. - Foto fail

Inisiatif untuk mengawal pembiakan nyamuk Aedes dengan melepaskan nyamuk jantan Wolbachia yang dibiak di makmal akan diperluas ke empat lagi kawasan pada Disember.

Projek Wolbachia itu akan diperluas ke kawasan Marsiling, Woodlands dan Kaki Bukit-Kembangan mulai 16 Disember, serta ke kawasan Bedok mulai 17 Disember.

Ini sekali gus meningkatkan liputannya daripada 580,000 isi rumah kepada 660,000 isi rumah di Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Langkah itu menempatkan inisiatif tersebut pada landasan untuk melindungi “50 peratus daripada seluruh isi rumah” di sini menjelang akhir 2026, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 24 November.

Di bawah projek itu, nyamuk jantan yang membawa bakteria Wolbachia dilepaskan di kawasan berisiko tinggi denggi.

Apabila nyamuk jantan yang tidak menggigit itu mengawan dengan nyamuk betina, telur yang dihasilkan tidak akan menetas, sekali gus mengurangkan jumlah nyamuk dari semasa ke semasa.

Projek Wolbachia telah mengurangkan risiko denggi lebih 70 peratus dan menurunkan jumlah nyamuk antara 80 dengan 90 peratus di pelbagai kawasan sejak pelaksanaannya pada 2022.

NEA menambah, penduduk di kawasan sekitarnya juga didapati 45 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti denggi berbanding mereka yang tinggal di kawasan tanpa pelepasan nyamuk Wolbachia.

Pengeluaran nyamuk Wolbachia-Aedes kini ditampung oleh dua kemudahan berasingan yang diuruskan oleh NEA dan kumpulan pakar, Debug.

Debug telah menyokong usaha pengeluaran dan pelepasan NEA melalui teknologi automasinya bagi proses pengeluaran, pengasingan jantina dan pelepasan nyamuk jantan, Wolbachia-Aedes, di kawasan Tampines dan Marine Parade sejak 2023.

Sejak suku pertama 2024, Debug telah memulakan pelepasan di enam kawasan tambahan, termasuk Bukit Merah-Telok Blangah, Clementi-West Coast, Commonwealth, Holland, Marine Parade-Mountbatten dan Jurong East.

Lokasi itu dipilih berdasarkan risiko denggi terdahulu dan jumlah nyamuk Aedes.

Gabungan kaedah pelepasan menggunakan van dan pelepasan manual kini digunakan di tapak pelepasan yang diuruskan oleh Debug, tambah NEA.

Sebuah lagi kemudahan pengeluaran nyamuk yang ketiga, akan dikendalikan oleh kontraktor baru tidak lama lagi.

Dalam satu hantaran Facebook pada 24 November, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berkata peluasan projek Wolbachia, mengingatkan rakyat Singapura supaya memainkan peranan mereka untuk mengurangkan tempat pembiakan nyamuk.

Penduduk perlu menggunakan kaedah ‘BLOCK’ bagi mencegah penularan.

Dr Janil dan NEA menasihatkan orang ramai supaya berusaha mengamalkan langkah berikut:

– Pecahkan tanah yang mengeras;

– Angkat dan buang air dari piring alas pasu bunga;

– Terbalikkan baldi dan lap bibir baldi;

– Tukar air dalam pasu;

– Pastikan longkang bumbung sentiasa bersih dan letak racun serangga BTI di dalamnya.

Data di laman web NEA menunjukkan terdapat 2,219 kes denggi antara Januari dengan 5 Jun, berbanding sekitar 10,000 kes dalam tempoh enam bulan pertama 2024.

Terdapat empat serotip atau jenis denggi, dengan DenV-2 menjadi jenis utama di sini sejak September 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg