Sebanyak 261 kes denggi dilaporkan minggu lalu, 20 peratus lebih banyak berbanding minggu sebelumnya.
Menurut perangkaan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) , terdapat 56 kelompok denggi aktif dilaporkan setakat Isnin (11 September), di mana 12 daripadanya berkod merah.
Ini bermakna mereka mempunyai 10 ataupun lebih kes.
Dua zon merah yang mempunyai kadar penularan sangat pantas melibatkan kelompok 48 kes di Science Park Drive dan kelompok 34 kes di Lentor Loop.
Penularan denggi yang berterusan juga terdapat di Angklong Lane yang mempunyai kelompok 66 kes dan kelompok besar di Toa Payoh.
Sebanyak 321 kes di Lorong 1 dan Lorong 2 Toa Payoh dan 178 kes di Lorong 1A telah dikenalpasti.
Akhbar The Straits Times melaporkan terdapat risiko peningkatan kes denggi dalam beberapa bulan akan datang kerana nyamuk telah menyebarkan jenis virus yang sebelumnya dominan, DenV-1, dengan cepat.
NEA telah menyaksikan peningkatan dalam kes DenV-1 sejak dua bulan lalu, menggantikan serotaip DenV-3 yang menyebabkan wabak denggi Singapura pada 2022 dan merangkumi kebanyakan kes pada awal 2023.
Pada Julai, kadar kes DenV-1 meningkat sekitar 55 peratus, lebih tiga kali ganda bilangan kes DenV-3, sebanyak 17 peratus.
“Peningkatan dalam serotaip virus denggi ini membimbangkan kerana ini menurut sejarah ia dikaitkan dengan lonjakan kes denggi beberapa bulan kemudian,” kata NEA.
Sebanyak 6,428 kes denggi dilaporkan pada 2023 setakat 12 September.
Rekod tertinggi ialah 35,315 kes pada 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg