Kevin Chelvam, pegawai Polis Trafik yang digantung kerja, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 17 Julai atas keterlibatannya dalam salah satu kes penderaan pembantu rumah yang paling teruk di Singapura.
Selepas perbicaraan pada April, Hakim Daerah Teoh Ai Lin mendapati Chelvam, 46 tahun, bersalah kerana membantu bekas isterinya, Gaiyathiri Murugayan, menyebabkan kecederaan parah terhadap Cik Piang Ngaih Don, 24 tahun.
Ini dilakukan dengan tidak memberi pembantu rumah mereka itu makanan sehingga menyebabkan mangsa kebuluran.
Chelvam, yang merupakan majikan sah mangsa, juga didapati bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan menarik rambut mangsa dan mengangkatnya dari lantai, lapor The Straits Times (ST).
Selain itu, Hakim turut mendapati beliau bersalah kerana memberikan maklumat palsu kepada pegawai polis dan memusnahkan bukti berkaitan dengan kes itu dengan membongkar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di flatnya di Bishan.
Pada 17 Julai, Chelvam dibebaskan daripada tuduhan kelima iaitu menggunakan kekerasan jenayah terhadap Cik Piang.
Ini bermakna dia tidak boleh didakwa semula atas kesalahan tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Teoh menegaskan bahawa rakaman CCTV adalah bukti penting dan Chelvam, sebagai pegawai polis, seharusnya tahu nilainya.
Jika rakaman itu tidak ditemui, Cik Piang mungkin tidak dapat menceritakan apakah yang berlaku kepadanya.
Sebagai majikan sah, Chelvam bertanggungjawab memastikan mangsa mendapat makanan dan rehat yang mencukupi.
Hakim menyatakan bahawa Chelvam sepatutnya menghentikan penderaan yang dilakukan oleh Gaiyathiri dan ibunya, Prema S. Naraynasamy, tetapi dia turut menyertai serangan itu.
Hakim mengkritik tindakan Chelvam dan menyifatkannya sebagai “amat kejam”.
Chelvam adalah orang terakhir yang dihukum dalam kes penderaan pembantu rumah Myanmar yang meninggal dunia pada 2016 dengan berat badan hanya 24 kilogram itu.
Cik Piang tidak diberi makanan mencukupi selama sekurang-kurangnya 35 hari, dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) beliau hanya 11.3.
Chelvam digantung daripada Pasukan Polis Singapura sejak Ogos 2016 dan telah bercerai dengan Gaiyathiri pada 2020.
Gaiyathiri dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 2021, manakala ibunya, Prema, dihukum 17 tahun penjara pada 2023.
Chelvam, yang mengetahui penderitaan mangsa, gagal bertindak untuk menghentikan kelaparan ekoran tindakan Gaiyathiri.
Doktor yang memberi keterangan mengatakan tubuh badan mangsa kelihatan seperti kulit membalut tulang.
Pada 25 Julai 2016, Gaiyathiri dan Prema menyerang Cik Piang sehingga beliau meninggal dunia keesokan harinya.
Chelvam menghapuskan bukti dengan membongkar rakaman CCTV yang merakam penderaan itu.
Rakaman tersebut berjaya ditemui dan digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan.
Pada 17 Julai, peguam pembela meminta hukuman yang lebih berperikemanusiaan untuk Chelvam, dengan alasan beliau telah kehilangan sembilan tahun dalam hidupnya.
Ikat jaminnya ditetapkan pada $25,000 dan dia dijangka memulakan hukuman penjara pada 31 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg