Seorang suri rumah berulang kali mendera pembantu rumahnya pada 2020 dengan perbuatan seperti menendang, menampar muka dan menarik rambut warga Indonesia itu.
Tan Siew Mei, 42 tahun, turut mendera Cik Wahyati, 43 tahun, secara lisan dengan bahasa kesat dan pada satu ketika, mengherdiknya dengan berkata: “Kau sampah. Kau bukan manusia. Ingat, kau sentiasa sampah.”
Tidak tahan dengan penderaan yang dialaminya, Cik Wahyati menjerit meminta bantuan dari ruang servis di kondominium Tan di Bedok Reservoir View.
Seorang jiran yang mendengar jeritannya memaklumkan polis.
Apabila pegawai polis tiba di unit itu, seorang daripada mereka mengeluarkan kad memori dari kamera litar tertutup (CCTV) di dapur Tan, lapor The Straits Times.
Tan kemudian cuba menutup jejaknya dengan memadam data dalam kad memori lima lagi kamera CCTV dalam rumahnya.
Pada 11 Oktober, Tan, seorang Penduduk Tetap (PR asal Malaysia, dijatuhi hukuman penjara enam bulan tiga minggu dan denda $4,000.
Dia mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan menyerang, serta satu pertuduhan menghalang proses keadilan.
Tujuh belas pertuduhan lain dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bila Cik Wahyati mula bekerja untuk Tan. Namun, Tan mula mendera Cik Wahyati semasa Tahun Baru Cina pada awal 2020.
Cik Wahyati berkata Tan menggunakan kededua tangannya untuk menolak dadanya, menyebabkan beliau terjatuh. Selepas itu, Tan menderanya beberapa kali pada Mei dan Jun 2020.
Tan juga cuba menampar mukanya tetapi Cik Wahyati dapat menghalangnya.
Masih tidak berpuas hati, pada keesokan harinya, Tan memarahi Cik Wahyati sehingga beliau menjerit: “Cukup!”
Tan tidak berhenti, malah menendang dan menyerang wanita itu menggunakan payung.
Pada 15 Jun 2020, sebelum 9 pagi, Cik Wahyati sedang membasuh pinggan apabila Tan memukul mukanya dan menendang pahanya.
Cik Wahyati, yang tertekan, menjerit meminta tolong dan dua pegawai polis tiba di unit itu sekitar 9.30 pagi.
Kedua-dua pegawai itu kemudian masuk ke dalam unit tersebut dan Tan berbohong dengan mendakwa Cik Wahyati mencederakan dirinya sendiri.
Cik Wahyati kemudian dibawa ke Hospital Besar Changi, dan beliau didapati mengalami beberapa kesan lebam.
Pada 11 Oktober, peguam bela, Encik James Ow Yong, memberitahu mahkamah bahawa Tan mengalami gangguan menyesuaikan diri tetapi keadaan itu tidak menyumbang kepada kesalahannya.
Beliau juga berkata Tan telah memberi wang pampasan sukarela sebanyak $5,000 kepada Cik Wahyati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg