Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes kekejaman, abai kebajikan haiwan naik 79% pada 2023; tertinggi dalam 11 tahun

Jan 31, 2024 | 4:06 PM
Dalam satu laporan pada 31 Januari, Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) berkata ia telah menyiasat sejumlah 915 kes pada 2023.
Dalam satu laporan pada 31 Januari, Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) berkata ia telah menyiasat sejumlah 915 kes pada 2023. - Foto fail

Terdapat peningkatan 79 peratus dalam kes kekejaman dan isu abai kebajikan haiwan yang dilaporkan pada 2023 – paling tinggi dalam 11 tahun, lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu laporan pada 31 Januari, Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA), berkata ia telah menyiasat sejumlah 915 kes pada 2023.

Pada 2022, ia menyiasat sebanyak 511 kes kekejaman dan abai kebajikan haiwan.

Kes kebajikan dan pengabaian merangkumi 61.2 peratus atau 558 kes – di mana dua pertiga daripadanya dikaitkan dengan keadaan hidup yang tidak memuaskan.

Kes penderaan dan kekejaman merangkumi baki 38.8 peratus – termasuk enam kes melibatkan golongan belia.

Laporan itu berkata SPCA menangani 137 kes terbiar yang melibatkan 285 haiwan pada 2023 – dua kali ganda jumlah kes terbiar pada 2022.

Jumlah haiwan yang ditinggalkan pada tahun-tahun sebelumnya adalah kira-kira sebanyak 70 secara purata.

Kucing merangkumi kumpulan terbesar, terdiri daripada 45 peratus daripada haiwan yang ditinggalkan, manakala hamster berada di tempat kedua dengan 27 peratus.

Separuh daripada kes terbiar melibatkan haiwan kecil seperti hamster dan arnab.

Contohnya, tikus belanda ditinggalkan di dalam beg makanan, arnab pula ditemui dalam keadaan sempit serta tidak bersih dan hamster ditinggalkan tanpa akses kepada sumber makanan atau air.

Terdapat 31 kes penderaan yang melibatkan perniagaan haiwan peliharaan seperti perkhidmatan menunggang kuda di bazar Ramadan Geylang Serai 2023, yang menerima aduan daripada orang ramai.

Satu lagi kes melibatkan jurulatih anjing yang berulang kali memukul dan mengugut anjing.

Insiden yang melibatkan haiwan peliharaan terjatuh dari tingkap atau balkoni – yang menurut SPCA disebabkan kekurangan langkah keselamatan yang betul seperti pintu berpagar dan jaringan – berlaku sebanyak empat hingga enam kali seminggu secara purata.

“Lazimnya, kes sebegini boleh dicegah,” kata SPCA.

SPCA juga menangani 30 kes menyorok yang melibatkan kira-kira 480 haiwan.

Pada separuh pertama 2023 sahaja, penyelamat menguruskan sebanyak 400 kucing yang dikaitkan dengan pembiakan haiwan peliharaan.

“Selain menjaga kebajikan haiwan, SPCA juga akur bahawa di sebalik setiap keperluan haiwan, adanya penjaga mereka yang berada dalam kesukaran. Jika anda tidak dapat lagi menjaga haiwan kesayangan anda, sila dapatkan bantuan segera,” kata laporan itu.

Sesiapa mempunyai maklumat tentang sebarang kes penderaan atau pengabaian haiwan boleh membuat laporan dengan menghubungi talian hotline SPCA di 6287-5355 sambungan 9 atau kunjungi laman www.spca.org.sg/report.

“Walaupun SCPA tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, kami akan mengumpulkan semua bukti dan membuat susulan dengan pihak berkuasa,” tambah laporan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg