Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 30 kes seludup haiwan peliharaan, hidupan liar dikesan pada 2023

Jan 23, 2024 | 5:57 PM
SELUDUP HAIWAN: 15 anak anjing ditemui tersembunyi di bahagian atas petak tayar ganti kereta pada Julai 2023 di Pusat Pemeriksaan Tuas
SELUDUP HAIWAN: 15 anak anjing ditemui tersembunyi di bahagian atas petak tayar ganti kereta pada Julai 2023 di Pusat Pemeriksaan Tuas - Foto NPARKS

Lebih 30 kes penyeludupan haiwan peliharaan dan hidupan liar dikesan pihak berkuasa pada 2023.

Kes terbesar berlaku pada Mac 2023 dan melibatkan penyeludupan 337 burung, menurut kenyataan bersama Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 23 Januari.

Dua daripada lelaki yang terlibat dalam kes itu menerima hukuman penjara sehingga 72 minggu – tertinggi setakat ini yang dijatuhkan oleh mahkamah kerana penyeludupan haiwan.

Percubaan untuk mengimport ikan arowana Asia, dan tiga axolotl (sejenis amfibia), secara haram melalui Pusat Pelayaran Singapura pada 14 Disember 2023, telah digagalkan oleh pegawai ICA.

Spesies itu disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Liar Fauna dan Flora Terancam (Cites) dan diimport tanpa permit yang sesuai.

Lima anak anjing dan tiga anak kucing ditemui semasa pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 10 Januari dalam kes pertama penyeludupan haiwan yang dikesan pada 2024.

Haiwan itu ditemui tersembunyi dalam petak tayar ganti kereta dan pemandu kereta berusia 42 tahun itu ditahan.

NParks berkata kes itu masih disiasat.

Sejak 2021, NParks telah merampas 180 spesimen hidupan liar dalam kes melibatkan suspek yang telah mengiklankan haiwan untuk dijual melalui platform dalam talian seperti Telegram.

Kebanyakan haiwan ini disenaraikan dalam Cites dan oleh itu tidak dibenarkan dijual, ditawarkan untuk dijual atau dipelihara sebagai haiwan peliharaan di Singapura.

Di bawah Akta Haiwan dan Burung, pesalah kali pertama yang didapati bersalah mengimport mana-mana haiwan atau burung tanpa lesen boleh didenda sehingga $10,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah memperdagangkan spesies yang dilindungi Cites secara haram boleh didenda sehingga $100,000 setiap spesimen dan dipenjara sehingga enam tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg