Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes maut, cedera di tempat kerja tertinggi dalam sektor perkilangan: MOM

Oct 19, 2023 | 6:44 PM
RISIKO CEDERA DI TEMPAT KERJA: Pemegang pintu yang hilang boleh membawa risiko kecederaan di tempat kerja. 
RISIKO CEDERA DI TEMPAT KERJA: Pemegang pintu yang hilang boleh membawa risiko kecederaan di tempat kerja.  - Foto MOM

Sektor perkilangan mencatat bilangan tertinggi kematian dan kecederaan besar di tempat kerja pada separuh pertama 2023, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Subsektor pengeluaran makanan merupakan penyumbang terbesar kepada kecederaan sedemikian dalam sektor ini pada separuh kedua 2022.

Ia juga kekal sebagai subsektor kedua tertinggi yang menyumbang kepada kecederaan sedemikian pada separuh pertama 2023, kata kementerian itu dalam satu catatan Facebook pada Khamis.

Pada separuh pertama 2023, sebanyak 88 daripada sejumlah 325 kematian dan kecederaan besar di semua industri di Singapura melibatkan sektor perkilangan, menurut Laporan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) yang dikeluarkan oleh MOM pada September, lapor The Straits Times.

Daripada 88 kes itu, 18 kes melibatkan sektor pengeluaran makanan yang merupakan bilangan kedua tertinggi bagi subsektor dalam perkilangan, selepas subsektor kerja logam yang mempunyai 38 kes.

Dalam catatan Facebook itu, MOM berkata punca utama kecederaan di tempat kerja dalam perkilangan makanan ialah insiden mesin, tergelincir, tersandung dan terjatuh (STF), serta pendedahan kepada suhu melampau.

MOM menjalankan lebih 450 pemeriksaan dalam subsektor pada separuh pertama 2023 dan menemui 1,045 kejadian yang melanggar peraturan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Hukuman yang dikenakan termasuk perintah berhenti kerja, 21 denda komposisi berjumlah $31,300 dan 1,021 notis tidak patuh peraturan.

Langkah keselamatan asas seperti adangan pada lubang mesin, laluan selamat untuk masuk dan keluar dari tempat kerja, dan rel pengadang untuk mencegah kejadian terjatuh tidak disediakan dengan betul, katanya.

“Ketiadaan langkah sedemikian menimbulkan risiko kecederaan serius kepada pekerja,” jelas pengarah inspektorat keselamatan dan kesihatan pekerjaan MOM, Encik Sebastian Tan.

Di samping meluaskan sistem mata demerit bagi keselamatan di tempat kerja kepada sektor perkilangan yang bermula pada Oktober, MOM akan meningkatkan pemeriksaan, tambahnya.

Dengan peluasan sistem mata demerit, syarikat perkilangan yang mengumpul mata demerit yang cukup kerana melanggar aturan keselamatan kini akan dilarang mengambil pekerja asing buat sementara waktu sehingga dua tahun.

Berdasarkan statistik keselamatan dan kesihatan di tempat kerja peringkat nasional dari Januari hingga Jun, terdapat 14 kemalangan maut di tempat kerja dan 311 kecederaan besar yang dialami.

“Kementerian ini tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap syarikat dan individu bersalah yang terus melanggar peraturan keselamatan,” kata MOM.

Para pekerja digalak melaporkan amalan tidak selamat kepada penyelia mereka atau MOM, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg