Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes muflis melonjak: Peluang kedua bermula dengan pindaan undang-undang S’pura

Nov 24, 2025 | 7:03 PM
Seorang pengarah jabatan bersekutu di Propnex Singapore, Encik Joel Choy mengisytiharkan kemuflisan pada 2014 dan dilepaskan pada 2021. Isterinya, Cik Fiona Tan, merupakan sumber kekuatan terbesarnya sepanjang tempoh mencabar itu.
Seorang pengarah jabatan bersekutu di Propnex Singapore, Encik Joel Choy mengisytiharkan kemuflisan pada 2014 dan dilepaskan pada 2021. Isterinya, Cik Fiona Tan, merupakan sumber kekuatan terbesarnya sepanjang tempoh mencabar itu. - Foto ST

Perintah kemuflisan di Singapura kini berada pada paras tertinggi dalam lima tahun, namun para peguam berkata proses itu juga menawarkan peluang kepada individu muflis untuk mengurus kewangan mereka sebaik selepas dilepaskan.

Data terkini di laman web Kementerian Undang-Undang (MinLaw) menunjukkan sebanyak 1,395 perintah kemuflisan dikeluarkan dalam tempoh 10 bulan pertama 2025, melebihi jumlah keseluruhan tahunan yang dicatatkan setiap tahun dari 2020 hingga 2024.

Kemuflisan boleh menjadi pengalaman yang sukar, malah bertambah perit dengan sekatan tertentu.

Antara sekatan yang dikenakan termasuk dilarang mengambil kredit bernilai $1,000 atau lebih tanpa mendedahkan status kewangan, serta tidak dibenarkan melancong atau menetap di luar negara tanpa kelulusan awal.

Namun, pindaan undang-undang kemuflisan Singapura pada Ogos 2016 – yang menetapkan garis masa pelepasan lebih jelas serta sistem lebih tertumpu kepada pemulihan – telah membantu lebih ramai individu muflis mematuhi pelan pembayaran dan mendapatkan pekerjaan.

Ini secara langsung mempercepat proses pelepasan mereka.

Pindaan ini membolehkan individu yang pertama kali diisytihar muflis dilepaskan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun jika mereka membayar sumbangan sasaran sepenuhnya. Malah, sebilangan kecil berjaya menamatkan kemuflisan dalam tempoh tiga tahun.

Sumbangan sasaran ialah jumlah yang perlu dibayar oleh individu muflis sepanjang tempoh kemuflisannya. Jumlah ini dikira berdasarkan keadaan individu muflis, dan bukan jumlah keseluruhan hutang.

Manakala, individu yang bukan pertama kali diisytihar muflis boleh dilepaskan daripada status muflis dalam tempoh lima hingga sembilan tahun.

Seorang jurucakap MinLaw memberitahu The Straits Times (ST) bahawa terdapat juga kes di mana sesetengah individu muflis dilepaskan selepas tujuh tahun meskipun tidak menunaikan sepenuhnya tuntutan pembayaran mereka.

Pindaan undang-undang ini secara beransur-ansur membantu lebih ramai individu keluar daripada status muflis.

Sebagai contoh, pada 2024, 810 individu dilepaskan daripada kemuflisan, manakala 646 individu lagi dilepaskan dalam 10 bulan pertama 2025, menurut data MinLaw.

Seorang pengarah jabatan bersekutu di Propnex Singapore, Encik Joel Choy, dilepaskan daripada kemuflisan pada 2021, tujuh tahun selepas beliau mengisytiharkannya pada 2014.

Beliau menanggung hutang lebih $700,000 selepas membenarkan seorang rakan lama beliau menggunakan akaun pembiayaan saham miliknya untuk berdagang saham yang kemudian nilainya merosot.

“Kerana itu adalah akaun dagangan saya, saya terpaksa menanggung hutang itu,” katanya.

Terbeban dengan tekanan berterusan akibat hutang, Encik Choy memilih untuk mengisytiharkan kemuflisan pada 2014.

Harta yang dimilikinya dijual dan semua hasil jualan disalurkan ke harta kemuflisan.

“Segalanya hancur dalam sekelip mata. Saya hilang nilai diri serta segala yang saya usahakan dengan gigih, termasuk simpanan dan harta saya,” kata Encik Choy, yang mengalami kemurungan dan berhenti bekerja selama beberapa bulan.

Merenung kembali pengalaman itu, Encik Choy berkata, “keseluruhan proses kemuflisan adalah satu peluang untuk memulakan semula hidup. Ia membolehkan saya bermula dari awal selepas dibebani hutang yang amat berat”.

“Apabila anda menghadapinya, ia boleh terasa sangat gelap,” tambahnya. 

“Tetapi ada cahaya di hujung terowong, selagi anda melaluinya selangkah demi selangkah.”

Cik Siti (bukan nama sebenar), yang memulakan perniagaan pes buatan sendiri pada 2005, juga mengalami kemuflisan.

Perniagaannya mula menghadapi masalah selepas kos operasi meningkat, memaksa beliau mengambil pinjaman peribadi, dan akhirnya mengisytiharkan kemuflisan pada 2019.

Semasa tempoh tersebut, beliau menghadiri sesi kumpulan sokongan di Pusat Penasihat Hutang (DAC) di bawah Angkatan Karyawan Islam (AMP), yang memberi motivasi dan kekuatan untuk terus berusaha.

Cik Siti kemudian mendapat pekerjaan sebagai tukang bersih, membolehkannya membuat sumbangan bulanan bagi proses pelepasannya pada 2024.

Kini, beliau terus bekerja secara sambilan sambil perlahan-lahan membina semula simpanannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg