Undang-undang bagi skim yang dapat membantu golongan yang berhutang mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis mungkin akan diperketat.
Ini kerana pihak berkuasa mendapati bahawa firma perunding menggalakkan orang yang mempunyai hutang untuk terus berhutang dan mengisytiharkan diri mereka sebagai muflis demi mengurangkan hutang mereka.
Firma-firma ini dipercayai cuba menyalahgunakan Skim Pembayaran Semula Hutang (DRS), satu skim sukarela bagi membantu individu bergaji dengan hutang tidak melebihi $150,000 mengelak daripada diisytihar muflis melalui pelan bayaran balik dalam tempoh maksimum lima tahun.
Setelah bayaran diselesaikan, mereka akan dibebaskan daripada hutang.
Skim ini ditadbir Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Dalam kenyataan pada 9 Jun, MinLaw berkata semakin ramai golongan yang berhutang menggunakan khidmat firma perunding yang menggalakkan mereka memfailkan permohonan muflis supaya dapat menyertai skim DRS.
Ini disebabkan, seseorang yang berhutang boleh mengelak daripada diisytiharkan muflis jika diterima masuk ke dalam skim DRS, namun perlu terlebih dahulu memfailkan permohonan muflis untuk dipertimbangkan bagi menyertai skim itu.
“Langkah ini bukan dilakukan dengan niat untuk mengisytiharkan seseorang sebagai muflis, tetapi untuk menyalahgunakan skim DRS demi mendapatkan potongan hutang,” kata kementerian tersebut.
Malah, MinLaw turut berkata firma-firma perunding ini menggalakkan golongan yang berhutang untuk meminjam wang daripada pemiutang semata-mata untuk membayar khidmat yang ditawarkan.
“Disebabkan trend ini, terdapat peningkatan dalam jumlah permohonan muflis yang difailkan sendiri oleh mereka yang berhutang, di mana mereka meminjam secara tidak bertanggungjawab untuk membayar khidmat firma perunding supaya dapat membantu mereka dalam proses pemfailan muflis,” ujar MinLaw.
Bagi menangani isu ini, kementerian tersebut mencadangkan satu undang-undang baru yang menjadikan ia satu kesalahan bagi mana-mana perniagaan untuk meminta atau memujuk individu membuat permohonan muflis.
Namun, karyawan berdaftar seperti peguam, akauntan dan penasihat kewangan, serta entiti amal yang diiktiraf, akan dikecualikan.
Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
DRS mula diperkenalkan pada 2009.
Had hutang asalnya ialah $100,000 tetapi telah dinaikkan kepada $150,000 pada 2020.
Di bawah skim ini, mereka yang berhutang membayar semula hutang mereka berdasarkan pelan berstruktur yang dipantau oleh Pegawai Pemegang Harta (OA), iaitu pegawai mahkamah dan dilantik oleh Menteri Undang-undang.
Golongan berhutang yang dirujuk kepada OA untuk dinilai kesesuaian bagi DRS perlu membayar yuran permulaan sebanyak $600.
Orang awam dialu-alukan memberikan maklum balas terhadap pindaan yang dicadangkan menerusi kertas rundingan penuh di laman beralamat https://go.gov.sg/public-consult-drs.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg