Kes baru penderaan kanak-kanak dengan risiko dan keselamatan tahap rendah atau sederhana – kes seperti ini biasanya dikendali oleh agensi masyarakat seperti pertubuhan perlindungan mangsa keganasan keluarga, Casa Raudha – mencatatkan sedikit peningkatan pada 2025.

Ini setelah 2,476 kes sedemikian dicatatkan pada 2025 berbanding 2,373 kes pada 2024.

Perangkaan ini juga lebih tinggi berbanding 2,128 kes yang dicatatkan pada 2023, menurut Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga yang diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 29 Oktober.

Laporan tahunan itu mencatatkan bilangan kes penderaan yang berlaku dalam kalangan anggota keluarga.

Bilangan kes penderaan kanak-kanak yang tinggi ini mencerminkan trend lebih luas berhubung kes keganasan rumah tangga yang kekal tinggi pada 2025 dengan 4,686 kes, berbanding 4,527 pada 2024 dan 3,918 pada 2023.

Laporan itu menambah bahawa bilangan kes tinggi itu antara lain mungkin disebabkan oleh pengesanan dan pelaporan lebih baik, serta tingkah laku individu bagi mendapatkan bantuan.

Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH), iaitu talian bantuan bagi melaporkan kegasanan keluarga, menerima 16,525 laporan pada 2025, iaitu lonjakan 49 peratus berbanding 11,068 laporan pada 2024.

Namun, tidak semua panggilan yang diterima berhubung kait dengan kes penderaan.

Penderaan fizikal kekal sebagai jenis penderaan utama dalam keganasan rumah tangga, termasuk penderaan kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan pada 29 Oktober, MSF berkata: “Sebahagian besar kes penderaan kanak-kanak melibatkan penggunaan kekerasan fizikal secara berlebihan bagi tujuan mendisiplinkan anak.

“Walaupun ibu bapa mungkin menggunakan pendekatan yang berbeza dalam mendisiplinkan anak, MSF menggalakkan ibu bapa untuk menggunakan kaedah disiplin bukan berbentuk fizikal dan membina hubungan positif antara ibu bapa dengan anak.”

Menukil laporan itu, kes baru penderaan kanak-kanak dengan risiko dan keselamatan tahap tinggi yang dikendali oleh Perkhidmatan Perlindungan MSF bagi 2025 adalah 1,917.

Daripada jumlah ini, hampir separuh atau 948 kes didera secara langsung – 406 kes didera secara fizikal; 349 kes pengabaian langsung; 143 kes penderaan seksual; dan selebihnya kes penderaan secara emosi dan psikologi.

Sebanyak 969 kes daripada kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi pula terdedah kepada penderaan – hampir separuh daripada kes ini terdedah kepada situasi melibatkan penderaan fizikal.

Perangkaan kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi bagi 2025 tidak dapat dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, memandangkan MSF membuat beberapa perubahan pada metodologi pelaporan.

Antara perubahan itu termasuk kaedah perkiraan bagi kes penderaan kanak-kanak dengan risiko dan keselamatan tahap tinggi.

Menurut MSF, perkiraan bagi kes sedemikian kini hanya merangkumi kanak-kanak yang didera atau diabaikan secara langsung, atau terdedah kepada penderaan dalam sesebuah isi rumah.

Ini berbanding kaedah sebelum ini, yang mengambil kira semua kanak-kanak yang berada dalam isi rumah tersebut, tambah kementerian itu.

Sebagai contoh, sekiranya isi rumah itu mempunyai empat anak berusia empat hingga 16 tahun dan hanya satu daripada empat anak terdedah kepada penderaan atau didera secara langsung, kaedah perkiraan baru hanya mengambil kira anak terbabit.

Ia menyatakan bahawa pecahan usia dan jantina bagi kes penderaan kanak-kanak dengan risiko dan keselamatan tahap rendah atau sederhana tidak banyak berubah pada 2025 jika dibandingkan dengan 2024.

Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun membentuk kumpulan terbesar dalam kes penderaan kanak-kanak merangkumi kesemua tahap risiko dan keselamatan, tambah laporan tersebut.

Sehubungan itu, MSF berkata data awal bagi separuh pertama 2026 menunjukkan peningkatan berterusan dalam kes baru keganasan rumah tangga berbanding tempoh sama pada 2025.

Walaupun kes penderaan kanak-kanak dengan risiko dan keselamatan tahap rendah atau sederhana mencatatkan sedikit penurunan, kes penderaan kanak-kanak dengan risiko dan keselamatan tahap tinggi pula menunjukkan sedikit peningkatan.

Kementerian itu menambah bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan keluarga, agensi penguatkuasaan undang-undang, sektor pendidikan, institusi penjagaan kesihatan, agensi perkhidmatan sosial serta rakan kongsi masyarakat lain untuk “memperkukuh kesedaran awam dan perlindungan undang-undang”.

Ini di samping menyediakan sokongan awal dan melakukan usaha campur tangan secara tegas apabila terdapat risiko terhadap keselamatan, katanya.

“Melalui usaha yang melibatkan seluruh masyarakat ini, kami berhasrat untuk mengenal pasti kebimbangan (golongan terjejas) lebih awal, menyediakan sokongan sewajarnya dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi individu serta keluarga,” ujar MSF.