Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes penyelewengan $72j: Taikun S’pura didakwa pecah amanah jenayah

Dec 4, 2024 | 6:22 PM
Ng Teck Lee (tengah), yang merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) firma kitar semula yang tersenarai, Citiraya Industries, diserahkan kepada pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 3 Disember.
Ng Teck Lee (tengah), yang merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) firma kitar semula yang tersenarai, Citiraya Industries, diserahkan kepada pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 3 Disember. - Foto CPIB

Seorang ahli perniagaan yang telah melarikan diri daripada polis selama 19 tahun kerana dituduh terlibat dalam kes penyelewengan melebihi AS$51 juta ($72 juta pada waktu itu), didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah.

Pada 4 Disember, Ng Teck Lee, 58 tahun, dan isterinya Thor Chwee Hwa, 55 tahun, hadir di Mahkamah Daerah melalui pautan video dari Divisyen Polis Central.

Pasangan itu melarikan diri dari Singapura sejak 2005 dan berjaya ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor Bahru pada 3 Disember 2024.

Mereka diserahkan kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura pada hari yang sama, lapor The Straits Times (ST).

Ng didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah, manakala Thor didakwa dengan satu pertuduhan berkaitan hasil kegiatan jenayah. 

Difahamkan bahawa pasangan itu mungkin menghadapi lebih banyak tuduhan pada masa akan datang.

Ketika melakukan kesalahan yang didakwa itu, Ng merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan presiden firma kitar semula yang tersenarai, Citiraya Industries.

Citiraya Industries, sebuah firma yang mengitar semula dan memulihkan logam berharga daripada sampah elektronik seperti cip komputer terpakai, dikatakan tidak melaksanakan proses yang sepatutnya. 

Sebaliknya, Ng didakwa menghantar produk itu ke luar negara untuk dijual, dan dilaporkan oleh ST pada 2008 bahawa dia telah memperoleh lebih $72 juta daripada skim tersebut.

Pada 2011, satu perintah telah dikeluarkan untuk merampas aset bernilai sekitar $23 juta milik Ng, termasuk yang berada di bawah nama isterinya. 

Aset tersebut termasuk wang daripada pelbagai akaun bank, polisi insurans yang dimiliki oleh pasangan itu, pegangan saham dalam pelbagai syarikat, dan hasil daripada penjualan banglo di Binjai Park serta sebuah rumah seluas 7,300 kaki persegi di Paya Lebar.

Ini merupakan rampasan aset terbesar yang pernah dibuat CPIB terhadap seorang individu.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, CPIB berkata pasangan itu meninggalkan Singapura pada 2005 ketika agensi mereka mula menyiasat kes tersebut.

Pengarah Siasatan CPIB, Encik Vincent Lim, berkata: “Kejayaan penangkapan dua pelarian Singapura yang terlibat dalam kes rasuah besar ini selepas hampir dua dekad menunjukkan hubungan kukuh dan kerjasama rapat antara CPIB dengan SPRM.”

Mengulas penangkapan itu, beliau menambah: “Kami tidak akan bertoleransi dan tiada tempat selamat bagi mereka yang memilih untuk melanggar undang-undang dengan melibatkan diri dalam kegiatan rasuah atau jenayah.

“CPIB tidak akan berputus asa untuk menjejak mereka di mana-mana sahaja mereka bersembunyi dan membawa mereka ke muka pengadilan di Singapura.”

Kes pasangan tersebut ditangguhkan ke 11 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg