Kes seludup haiwan di S’pura turun 33% pada 2025
28 kes berbanding 42 kes direkodkan pada 2024
Sebanyak 28 kes penyeludupan haiwan telah dikesan di Singapura pada 2025, menandakan penurunan sebanyak 33 peratus berbanding 2024.
Dalam satu kenyataan bersama pada 13 Februari, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata bahawa ini meneruskan trend penurunan, dengan 42 kes direkodkan pada 2024, 35 kes pada 2023 dan 34 kes pada 2022.
Haiwan-haiwan yang diseludup masuk pada 2025 termasuk haiwan peliharaan dan hidupan liar, seperti anjing, kucing, ikan, burung dan spesies dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (Cites).
Daripada 28 kes tersebut, lapan kes membawa kepada pendakwaan di mahkamah, manakala 20 kes lagi dikenakan kompaun terhadap pesalah, termasuk pembeli, menurut kenyataan itu.
Dalam satu kes pada Mac 2025, seorang lelaki dipenjara selama 18 minggu selepas dia mencuba untuk menyeludup tiga anak anjing melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.
Anak anjing tersebut disembunyikan di dalam beg galas dan diletakkan di ruang simpanan belakang motosikal lelaki tersebut.
Anak-anak anjing itu juga kelihatan seperti telah diberi ubat penenang.
Ketiga-tiga anak anjing itu diuji positif bagi parvovirus anjing dan satu lagi juga positif untuk virus distemper anjing, yang kedua-duanya sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius atau kematian.
Pihak berkuasa berkata bahawa penyeludupan bukan sahaja membahayakan haiwan, tetapi juga membawa risiko lebih besar terhadap kesihatan dan keselamatan awam.
Banyak haiwan yang diseludup mungkin membawa penyakit berjangkit dan mudah berjangkit, sama ada dijangkiti di tempat asal haiwan itu atau daripada haiwan lain semasa singgah di tempat lain.
Penyakit itu boleh mengancam hidupan liar tempatan, haiwan peliharaan dan bahkan manusia.
Mereka memberikan contoh wabak rabies atau penyakit anjing gila, yang merupakan penyakit zoonotik iaitu jangkitan yang boleh tersebar kepada manusia daripada haiwan, dan mempunyai kadar kematian 100 peratus sebaik sahaja gejala muncul.
Singapura kekal bebas rabies sejak 1953 disebabkan syarat import yang ketat dan program vaksinasi berterusan, tambah mereka.
“Haiwan yang melanggar syarat import ini membawa risiko biokeselamatan yang besar, menunjukkan betapa pentingnya untuk terus berwaspada agar virus itu tidak dibawa masuk semula,” kata mereka.
Selain itu, haiwan yang diseludup sering kali terperangkap dalam keadaan sesak dan kurang pengudaraan. Haiwan itu juga mungkin diberi ubat penenang yang kuat untuk mengurangkan bunyi dan pergerakan.
Keadaan seperti itu meningkatkan risiko penyebaran penyakit, kata pihak berkuasa, yang menambah bahawa banyak daripada haiwan tersebut mengalami kecederaan, keadaan kesihatan yang teruk atau kematian.

