Dua lelaki warga Nigeria telah diberkas, dengan sejumlah 55.4 kilogram (kg) tanduk badak sumbu dan 26.2kg bahagian kucing besar dirampas di Johannesburg susulan satu operasi bersama antara Lembaga Taman Negara (NParks) dengan pihak berkuasa Afrika Selatan.
Pada 11 November, NParks dimaklumkan mengenai satu hantaran mencurigakan yang berasal dari Afrika Selatan dan hantaran itu sedang transit di Lapangan Terbang Changi.
Hantaran itu mempunyai persamaan dengan satu lagi hantaran yang pernah dirampas pada 8 November.
Persamaan kededua hantaran termasuk negara asal dan mempunyai destinasi yang sama.
Hantaran terdahulu itu mengandungi sejumlah 35.7kg tanduk badak sumbu serta kira-kira 150kg bahagian haiwan lain, termasuk tulang, gigi dan kuku.
Untuk operasi rampasan hantaran 11 November itu, NParks telah menghubungi dan bekerjasama dengan Direktorat Penyiasatan Jenayah Keutamaan (DPCI) Polis Afrika Selatan bagi memudahkan pemulangan terkawal hantaran tersebut ke Afrika Selatan untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Hantaran itu langsung tidak dibuka kerana kami mengesyaki kemungkinan terdapat barangan seludup di dalamnya.
“Kami kemudian bekerjasama dengan syarikat logistik untuk memulangkannya,” kata Pengarah Kanan Perdagangan Hidupan Liar NParks, Dr Anna Wong.
Susulan pemulangan itu, satu operasi yang dijalankan pihak berkuasa Afrika Selatan pada 1 Disember membawa mereka ke sebuah kemudahan penyimpanan di Johannesburg.
Di sana, empat kotak berisi 17 tanduk badak sumbu seberat 55.4kg, serta 26.2kg tulang, tengkorak dan kuku singa serta harimau ditemui.
Dua lelaki warga Nigeria ditangkap dan seterusnya didakwa di Afrika Selatan kerana melanggar undang-undang yang melarang kegiatan melibatkan spesies terancam atau dilindungi, lapor The Straits Times (ST).
Haiwan badak sumbu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (Cites) dan perdagangan tanduk badak sumbu adalah dilarang sepenuhnya di seluruh dunia.
“Tanduk dan bahagian haiwan yang dirampas dipercayai sebahagian daripada rangkaian penyeludupan rentas negara yang menyeludup produk hidupan liar dari Afrika Selatan ke pasaran luar negara,” kata NParks pada 30 Disember.
Bagi hantaran pada 11 November itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Pasukan Polis Singapura (SPF) juga sedang menyiasat kemungkinan kesalahan pengubahan wang haram, tambah NParks.
Keputusan NParks untuk memulakan dan memudahkan pemulangan terkawal hantaran tersebut ke Afrika Selatan membolehkan siasatan dijalankan di negara asal dengan potensi mengenal pasti dan membongkar rangkaian jenayah yang lebih luas, ujar NParks.
Pemulangan terkawal itu, turut memerlukan kerjasama pelbagai negara, antara NParks dengan DPCI bagi memastikan hantaran tersebut dapat dipantau sepanjang perjalanannya.
“Pendekatan ini menunjukkan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah hidupan liar rentas negara, di mana menumpukan sasaran kepada rangkaian jenayah di peringkat sumber, mampu menghasilkan kesan jangka panjang yang lebih ketara berbanding rampasan yang dilakukan secara sendirian,” tambah NParks.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg