Ia bermula dengan aduan daripada seseorang yang tidak dikenali yang melaporkan bahawa pekerja pembersihan warga migran di estet perumahannya telah memberi wang kepada pengurus mereka.
Dalam tempoh beberapa hari, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah mengerahkan lebih kurang 20 pegawai penyiasat untuk menemu duga 30 pekerja dan menangkap pengurus mereka yang terlibat, Derrick Ho Chiak Hock, 55 tahun.
Ho, bekas pengurus operasi firma pemuliharaan Lian Cheng Contracting, mengumpul $369,440 daripada 57 pekerja Bangladesh, dari 2014 hingga 2020, untuk pembaharuan permit kerja mereka, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Duit itu kini telah dipulangkan semula kepada semua pekerja yang terjejas.
Ho telah dipenjarakan selama 24 minggu pada 14 November, setelah mengaku bersalah di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (Efma).
Encik Adrian Quek, pengarah bahagian Pengurusan Tenaga Kerja Asing (FMMD) MOM, berkata bahawa kes ini merupakan kejadian menerima sogokan terbesar yang disiasat MOM.
Menurut ST, dari 2021 hingga 2023, sekitar 70 majikan diberkas setiap tahun atas kesalahan menerima sogokan.
Lebih kurang 30 peratus daripada jumlah itu telah didakwa, sementara yang lain telah diberikan amaran ataupun denda.
Pada 26 Januari, Cik Felicia Lim, 34 tahun, pembantu pengarah penyiasatan dan ketua penyiasat bagi kes Ho, telah menjelaskan kepada ST bagaimana kes tersebut terungkai.
Cik Lim berkata bahawa aduan pada November 2020 menyebut nama dua pekerja migran yang terjejas.
Pegawai penyiasat MOM membawa dua pekerja tersebut ke Pusat Perkhidmatan MOM di Bendemeer Road untuk sesi temu duga selepas 10 malam.
Pada mulanya, kededua pekerja tersebut berasa risau jika Ho mendapat tahu mengenai pertemuan mereka dengan pihak berkuasa.
Cik Lim berkata: “Kami telah meyakinkan mereka bahawa jika tuntutan mereka wajar, kami akan memastikan yang bersalah akan ditangkap.”
Pada 19 November 2020, pegawai MOM telah ke estet Nee Soon East dan Pasir Ris-Punggol – di mana Ho merupakan pengurus operasi – dan berbual bersama semua pekerja yang di bawah Ho.
Ho dan penyelia asing yang telah mengumpul wang sogokan itu ditangkap selepas mengaku bersalah apabila disoal pegawai MOM itu.
Pada hari yang sama, pegawai MOM menyerbu rumah Ho.
Wang tunai berjumlah $326,305 telah dijumpai di dalam peti simpanan milik Ho.
Ho dan bekas rakan sekerjanya, Rakibul memulakan skim sogokan wang untuk pembaharuan pas kerja itu pada 2014.
Mereka meminta $1,500 bagi pembaharuan pas kerja untuk setahun dan $3,000 untuk pembaharuan dua tahun.
Ho mengambil $1,000 dan $2,000 sementara Rakibul menyimpan bakinya.
Pegawai MOM telah mengesahkan bahawa pengarah syarikat tersebut dan pekerja pembersihan warga migran di estet lain tidak terlibat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg