Kes penipuan di Singapura untuk separuh pertama 2024 meningkat 16.3 peratus kepada 26,587 kes berbanding 22,853 kes dalam tempoh sama pada 2023 dan menyebabkan kerugian $385.6 juta, kata polis.
Jika trend berterusan, jumlah wang yang hilang boleh melebihi $770 juta pada akhir tahun, mengikut perangkaan penipuan dan jenayah siber yang dikeluarkan pada 22 Ogos.
Rekod tahunan untuk jumlah wang tertinggi yang hilang akibat kes penipuan ialah $660 juta pada 2022.
Sejumlah 86 peratus kes penipuan atau lebih 20,000 kes melibatkan pemindahan wang yang dilakukan sendiri dan ia merupakan antara 10 jenis penipuan yang paling kerap berlaku antara Januari hingga Jun 2024, kata Pasukan Polis Singapura (SPF).
Perbuatan menipu dengan menyamar sebagai wakil pemerintah menyebabkan kerugian purata tertinggi, iaitu sekitar $116,534 setiap kes, diikuti dengan penipuan pelaburan pada kira-kira $40,080 setiap kes.
Perangkaan ini diumumkan oleh SPF semasa taklimat jenayah pertengahan tahun mereka pada 20 Ogos.
Data yang dikeluarkan SPF menunjukkan orang dewasa berusia 30-49 tahun membentuk jumlah terbesar mangsa penipuan di dalam talian, iaitu sebanyak 41.4 peratus.
Namun, warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, berdasarkan kiraan purata, paling banyak kehilangan wang apabila ditipu. Kebanyakan daripada mereka menjadi mangsa kepada penipuan panggilan rakan palsu, penipuan pelaburan dan pancingan data.
Polis berkata keadaan ini lebih mencetus keprihatinan kerana mangsa berkemungkinan kehilangan seluruh wang simpanan mereka dan sukar untuk pulih dari segi kewangan.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata: “Jumlah purata wang yang hilang bagi setiap mangsa kepada penipuan ini adalah yang tertinggi berbanding jenis penipuan lain.
“Ini menunjukkan bahawa tindakan sosial adalah bahagian yang sangat penting dalam modus operandi penipuan dan kita perlu meningkatkan usaha pendidikan kita untuk memaklumkan orang ramai supaya mereka tidak dimanipulasi untuk memindahkan wang mereka ke akaun penipuan,” ucap beliau.
Statistik terkini dari polis itu menunjukkan tiga cara penipuan yang paling banyak berlaku ialah penipuan e-dagang, penipuan pekerjaan dan pancingan data (phishing). Penipuan pelaburan, pekerjaan dan menyamar jadi wakil pemerintah pula menyebabkan kerugian paling tinggi.
Dalam pada itu, SPF berkata ia sedang bekerjasama dengan agensi pemerintah dan pihak berkepentingan sektor swasta untuk membanteras isu penipuan dalam talian.
Sebagai contoh, Pasukan Anti-Penipuan (ASCom) telah bekerjasama dengan Carousell dan Shopee dengan penempatan bersama staf syarikat itu ke ASCom.
Pada separuh pertama 2024, lebih 46,400 SMS dihantar untuk memaklumkan lebih 33,600 mangsa dan mereka berjaya mengelakkan lebih dari $204 juta potensi kerugian.
Kebanyakan daripada mangsa sedar bahawa mereka sudah ditipu selepas menerima SMS daripada polis.
Pusat Anti-Penipuan (ASC) pula telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan dan wadah e-dagang dalam menamatkan lebih 10,300 talian mudah alih dan lebih dari 14,800 talian WhatsApp yang dipercayai digunakan dalam penipuan.
Penolong pengarah Pusat Anti-Penipuan (ASC) polis, Penolong Pesuruhjaya (AC) Polis Aileen Yap, berkata:
“Polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk melindungi Singapura daripada penipuan.
“Orang ramai juga harus mengamalkan langkah antipenipuan untuk melindungi diri mereka dan orang sekeliling mereka daripada penipuan.”
Hal ini dapat dilihat dengan adanya kempen ACT, singkatan bagi ‘Menambah’ (Add), ‘Periksa’ (Check) dan ‘Beritahu’ (Tell).
Pada 2023, kempen ini menitik beratkan unsur ‘Menambah’ dengan menggalakkan orang ramai menambah ciri keselamatan pada alat dan akaun dalam talian.
Kini, SPF akan mengalihkan tumpuan dengan menggalakkan individu memupuk tabiat ‘Periksa’ sebelum membuat keputusan dan mengenal pasti situasi penipuan yang beliau hadapi dengan lebih baik.
Untuk memudahkan orang ramai dalam menyemak, Produk Pemerintah Terbuka (OGP), sebuah bahagian Agensi Teknologi Pemerintah yang memberi tumpuan kepada pembinaan dan penggunaan teknologi untuk kebaikan awam, telah melancarkan penambahbaikan kepada aplikasi ScamShield.
Aplikasi itu kini boleh digunakan untuk memberi amaran kepada pengguna mengenai penipuan yang dihantar melalui WhatsApp, Telegram dan laman web.
Sebelum ini, OGP telah membangunkan ID pengirim SMS ‘gov.sg’, yang menyatukan kesemua agensi pemerintah, kementerian, lembaga berkanun dan perkhidmatan supaya dapat melindungi orang ramai daripada penipuan penyamaran rasmi pemerintah.
Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Jenayah Berat Lain (Perampasan Faedah) (CDSA) dan Akta Penyalahgunaan Komputer (CMA) juga telah dipinda supaya dapat mengambil tindakan yang lebih berkesan terhadap keldai wang dan mereka yang menyalahgunakan Singpass untuk aktiviti jenayah.
Bagi yang membenarkan penipu mengawal akaun bank atau Singpass mereka akan dipenjarakan sekurang-kurangnya enam bulan jika sabit kesalahan.
Dalam kenyataan pada 21 Ogos, Panel Penasihat Hukuman (SAP) mengesyorkan bahawa hukuman penjara yang ketara harus menjadi kebiasaan bagi kesalahan sedemikian untuk menghantar isyarat pencegahan yang kuat.
Panel itu berkata syor mereka harus berkuat kuasa serta-merta, bermakna mulai 21 Ogos, sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan ini boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya enam bulan.
Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB) juga telah mengambil langkah mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan.
Bermula pada 25 September, had pengeluaran harian maksimum akan diturunkan daripada $200,000 kepada $50,000.
Ini akan memberikan lebih banyak geseran terhadap penipuan tanpa menyusahkan orang ramai membuat pengeluaran yang sah hari ini.
Jumlah Penipuan yang dicatatkan pada separuh pertama 2024:
Jumlah wang kehilangan akibat penipuan pada separuh pertama 2024:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg