Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tumpahan minyak: Keluarga hampa rancangan renang terjejas, prihatin kesan sekitaran laut

NParks: Nasihat usah sentuh minyak, lebih 1,500 relawan daftar diri bantu urus kesan tumpahan
Jun 16, 2024 | 3:45 PM
Pihak berkuasa memasang kepungan di tepi pantai untuk menghalang pengunjung di pantai East Coast Park daripada memasuki kawasan yang terjejas ekoran tumpahan minyak.
Pihak berkuasa memasang kepungan di tepi pantai untuk menghalang pengunjung di pantai East Coast Park daripada memasuki kawasan yang terjejas ekoran tumpahan minyak. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun sebahagian besar kawasan tepi pantai East Coast Park ditutup pada 16 Jun di tengah-tengah usaha membersihkan tumpahan minyak menyusuli kejadian di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun, ramai warga Singapura masih dilihat beriadah di sana.

Apabila Berita Harian (BH) tiba di kawasan C East Coast Park pada 9 pagi 16 Jun, beberapa pekerja yang difahamkan daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dilihat bertungkus lumus menggemburkan tanah dan mencangkul keluar pasir hitam yang sudah diselaputi minyak.

Beberapa pekerja dilihat mencangkul pasir yang tercemar ke dalam beg sampah untuk dibuang pada 16 Jun di pantai East Coast Park.
Beberapa pekerja dilihat mencangkul pasir yang tercemar ke dalam beg sampah untuk dibuang pada 16 Jun di pantai East Coast Park. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Beberapa pekerja dilihat menggemburkan tanah dalam usaha membersihkan pantai pada 16 Jun di pantai East Coast Park menyusuli kes tumpahan minyak.
Beberapa pekerja dilihat menggemburkan tanah dalam usaha membersihkan pantai pada 16 Jun di pantai East Coast Park menyusuli kes tumpahan minyak. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun usaha membersihkan pantai giat dijalankan, tapak perkhemahan seperti di kawasan D East Coast Park tetap meriah dengan khemah-khemah yang didirikan oleh pengunjung pantai yang tetap hadir kerana sudah membuat tempahan awal.

Dengan bau minyak yang masih kuat dapat dihidu di beberapa bahagian pantai, keluarga yang ditemui BH berkata mereka agak hampa kerana rancangan hujung minggu mereka terjejas.

Namun pada masa yang sama, mereka turut meluahkan keprihatinan terhadap kesan pencemaran tumpahan minyak ke atas alam sekitar.

Encik Muhammad Badri Yahaya (dua dari kiri) dan keluarganya terpaksa mengubah rancangan berkhemah di pantai East Coast Park akibat kejadian tumpahan minyak.
Encik Muhammad Badri Yahaya (dua dari kiri) dan keluarganya terpaksa mengubah rancangan berkhemah di pantai East Coast Park akibat kejadian tumpahan minyak. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kesan tumpuhan minyak itu menyusuli pelanggaran sebuah kapal dari Belanda bernama, Vox Maxima dengan kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor pada 14 Jun.

Encik Muhammad Badri Yahaya, 29 tahun, yang mula mendirikan khemah bersama sembilan anggota keluarganya pada 15 Jun meluahkan kekecewaan kerana anak-anaknya tidak berkesempatan untuk berendam di dalam laut.

“Saya dengar berita tentang minyak yang tumpah itu apabila saya sedang dirikan khemah pada waktu tengah hari semalam.

“Alang-alang sudah di sini, saya teruskan sahaja rancangan kami untuk bermalam,” ujarnya yang bekerja dalam bidang kejuruteraan.

Walaupun kesan minyak belum dilihat pada waktu itu, Encik Muhammad Badri hanya mengizinkan anak-anaknya bermain pasir sebagai langkah berjaga-jaga.

“Anak sulung perempuan saya kecewa kerana beliau benar-benar tidak sabar nak berenang di laut,” tambah bapa tiga anak itu yang memutuskan untuk memendekkan rancangan hujung minggu mereka di East Coast Park.

Tatkala ditemui BH, Encik Muhammad Badri sudah bersiap-siap mahu pulang walaupun sepatutnya meluangkan masa di pantai hingga 17 Jun.

Tambahnya: “Kejadian ini menyedihkan kerana kawasan alam semula jadi termasuk air jernih di Singapura sememangnya sudah terhad, dan tumpahan minyak ini mencemarkan apa yang kita sudah ada.”

Cik Ahariyawati Kahar (dua dari kanan) bersama keluarganya bersiap-siap untuk pulang dari pantai East Coast Park pada 16 Jun dan sempat berenang di dalam laut sebelum tumpahan minyak berlaku.
Cik Ahariyawati Kahar (dua dari kanan) bersama keluarganya bersiap-siap untuk pulang dari pantai East Coast Park pada 16 Jun dan sempat berenang di dalam laut sebelum tumpahan minyak berlaku. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Ahariyawati Kahar, 42 tahun, yang tiba di pantai East Coast Park pada 14 Jun bersama 10 ahli keluarga lain pula bernasib baik kerana sempat berenang bersama keluarganya di laut pada hari tersebut dan pagi 15 Jun.

Mereka mendengar berita tentang tumpahan minyak pada 15 Jun tetapi “tidak sangka” ia akan mengalir ke East Coast Park. Mereka juga menghidu bau minyak yang kuat sejak petang hari tersebut.

Meskipun Cik Ahariyawati dan keluarganya ‘kaki laut’, beliau berkata mereka akan menghentikan kegiatan bermandi-manda di laut sehingga keadaan air benar-benar bersih dan selamat.

“Lebih daripada itu, saya prihatin tentang kehidupan laut yang terjejas. Saya harap keadaan akan beransur pulih dalam waktu terdekat.

“Kejadian ini tidak akan menghalang kami daripada ke pantai. Walaupun tidak dapat berenang, kami akan berkelah,” ujar penjawat awam itu.

Dalam pada itu, penggemar kegiatan laut yang melakukan sukan ‘skimboarding’ – sejenis sukan papan luncur air – di East Coast Park setiap minggu, Encik Mohd Haarifan Md Nasir, 39 tahun, berkata beliau berharap pihak berkuasa akan mengetatkan lagi langkah untuk menjaga perairan Singapura.

Sambil menarik perhatian kepada kapal-kapal yang dapat dilihat dari pantai East Coast Park, bapa tiga anak itu berkata:

“Sepuluh tahun lalu, anda tidak lihat kapal besar sebanyak ini. Tetapi kebelakangan ini, saya dan rakan mula sedar kapal-kapal ini semakin dekat dengan pantai kami.”

Tidak pasti bila kerja pembersihan minyak itu akan selesai sepenuhnya, Encik Haarifan, seorang penjawat awam, juga merancang mencari tempat baru untuk melakukan sukan itu seperti di Changi.

Pasir di pantai East Coast Park kelihatan hitam diselaputi minyak pada 16 Jun.
Pasir di pantai East Coast Park kelihatan hitam diselaputi minyak pada 16 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Lapisan minyak dilihat bergenang di permukaan laut di pantai East Coast Park pada 16 Jun.
Lapisan minyak dilihat bergenang di permukaan laut di pantai East Coast Park pada 16 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kawasan tepi pantai di East Coast Park ditutup dari kawasan B hingga H.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Lembaga Taman Negara (NParks), NEA dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) pada 15 Jun, jeti dan Rocky Shore di Hutan Simpanan Labrador turut ditutup.

Di Sentosa, pantai Tanjong, Palawan dan Siloso akan kekal dibuka, tetapi orang ramai tidak dibenarkan melakukan kegiatan laut dan berenang.

“Kejadian ini tidak akan menghalang kami daripada ke pantai. Walaupun tidak dapat berenang, kami akan berkelah.” 
Cik Ahariyawati Kahar, 42 tahun, kakitangan awam yang tiba di pantai East Coast Park pada 14 Jun bersama 10 ahli keluarga lain yang ‘kaki laut’.

Bercakap kepada media pada 16 Jun di Berlayer Creek di Hutan Simpanan Labrador, Pengarah Kumpulan Pemuliharaan NParks, Encik Lim Liang Jim, menasihati orang ramai agar tidak mendekati laut dan memakai pelitup jika terhidu bau minyak.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan berbesar hati ramai warga Singapura tampil secara sukarela untuk menggembleng tenaga mengurus kesan tumpahan minyak.

Hingga tengah hari 16 Jun, Encik Lim berkata lebih 1,500 orang telah mendaftarkan diri melalui borang dalam talian NParks.

Malah sekumpulan relawan telah dikerahkan ke pantai West Coast Park untuk memberi panduan kepada orang ramai agar menjauhi kawasan tepi pantai sedang usaha membersihkan pantai dijalankan.

“Kami menasihatkan orang awam jika anda ingin membersihkan pantai, jika anda ingin membantu kami, saya rasa apa yang utama adalah untuk memastikan diri anda selamat, dan menjaga kesihatan anda daripada kesan minyak ini. Jadi mereka tidak sepatutnya menyentuh minyak tersebut.

“Orang yang melakukan kerja ini (membersihkan minyak) merupakan profesional yang mempunyai alat perlindungan yang sesuai,” ujarnya.

Akui bahawa pelbagai kehidupan liar di sekitar perairan boleh terjejas sekiranya masuk ke dalam air, Encik Lim meminta kerjasama orang ramai agar menghubungi talian bantuan NParks jika ternampak haiwan yang diselaputi minyak atau menghadapi kesukaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg