Satu-satunya tertuduh wanita dalam kes pengubahan wang haram bernilai AS$3 bilion ($4.04 bilion) dikenakan tujuh pertuduhan baru pada 21 Mei, termasuk menggunakan dokumen palsu dan memiliki faedah daripada perbuatan jenayah.
Warga China, Lin Baoying, 44 tahun, kini berdepan 10 pertuduhan, termasuk memutarbelitkan proses keadilan.
Peguamnya, Encik Chew Kei-Jin, memberitahu mahkamah beliau akan mencari tarikh untuk anak guamnya mengaku bersalah.
Apabila ini diterjemahkan kepada Lin dalam bahasa Mandarin, dia menjawab: “Ya, saya harap dapat tarikh awal.”
Selain daripada tujuh pertuduhan barunya, dua pertuduhan pemalsuan yang dikenakan ke atasnya pada Ogos 2023 dipinda kepada menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen tulen.
Lin adalah antara 10 warga asing yang ditahan pada bulan itu, berikutan serbuan di seluruh Singapura, yang diketuai oleh Jabatan Ehwal Komersial, terhadap apa yang kemudian menjadi kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura.
Pada 21 Mei, dia dikenakan satu pertuduhan pemalsuan baru, dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan empat pertuduhan memiliki faedah daripada perbuatan jenayah.
Menurut dokumen mahkamah, Lin didakwa terlibat dalam konspirasi bersama seorang bernama Liu Kai dan seorang lagi bernama Li Hongmin untuk melakukan pemalsuan bagi menipu Bank Julius Baer & Co pada atau sebelum 24 November 2020.
Secara berasingan, Lin didakwa menyerahkan dokumen palsu – kononnya perjanjian bagi penjualan sebuah hartanah di Macau – kepada UOB Kay Hian, untuk mewajarkan deposit sebanyak HK$7.5 juta (S$1.2 juta) ke dalam akaunnya.
Dia juga didakwa menyerahkan dokumen palsu, yang didakwanya sebagai perjanjian pinjaman, kepada OCBC Bank untuk mewajarkan deposit sebanyak HK$5 juta ke dalam akaunnya.
Empat lagi pertuduhan baru menyatakan Lin didakwa memiliki HK$209 juta, yang diperoleh daripada kegiatan jenayah.
Dia mempunyai aset bernilai lebih $215 juta yang dirampas atau dibekukan oleh pihak berkuasa.
Kes pengubahan wang haram ini membawa kepada rampasan aset, termasuk rumah mewah, kereta, jam tangan dan beg bernilai lebih $3 bilion.
Didedahkan dalam prosiding mahkamah sebelum ini bahawa Lin dan salah seorang yang ditahan dalam serbuan itu, Zhang Ruijin, 45 tahun, adalah pasangan kekasih dan mereka mengenali satu sama lain lebih sedekad.
Mereka ditangkap di sebuah banglo di Pearl Island di Sentosa Cove.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg