Kes ‘Ustaz 10 Isteri’ mendapat perhatian media yang meluas di Singapura dan malah di Malaysia.
Menyingkap kes ini dalam podcast #NoTapis Diari Mahkamah episod kelapan, kes ini memaparkan seorang lelaki bernama Abu Talib yang menggemparkan masyarakat setempat dan di seberang Tambak dengan didapati bersalah kerana memperisterikan 10 wanita di samping kesalahan lain.
Abu Talib, yang menukar nama kepada Ahmad Habibullah As-salafi, mendakwa dirinya ustaz dan menggunakan agama dan ajaran yang memesongkan, menambat hati wanita dan pengikutnya.
Dalam kes itu, antara lain, Abu Talib mengeluarkan permohonan maaf di akhbar Berita Harian (BH) kepada keluarga isteri ketiganya, yang dinikahi tanpa izin wali di Thailand.
Keluarga wanita itu telah mengambil tindakan mahkamah ke atas Abu Talib setelah anak mereka berusia 21 tahun itu kahwin lari dengannya.
Namun Abu Talib menegaskan dia tidak pernah mengaku salah melakukannya.
Belum selesai kes tersebut, Abu Talib menikahi isteri keempat, seorang gadis berusia 20 tahun yang berhenti politeknik kerana terpedaya dengan kata-kata Abu Talib bahawa kursus kejuruteraan yang diambil tidak sesuai dengan naluri wanita.
Daripada 10 perkahwinannya, Abu Talib mempunyai lebih 60 anak.
Kes itu dilaporkan oleh wartawan, Encik Nizam Ismail, kini Editor Bersekutu BH. Ramai yang menghubungi beliau – daripada orang yang kenal Abu Talib hingga ibu bapa yang mengaku anaknya berkahwin dengan Abu Talib.
Semasa menggali kes itu, Encik Nizam antara lain telah ke Jurong dan Woodlands untuk bertemu ibu bapa Abu Talib dan ibu bapa yang mengesyaki anak mereka berkahwin dengan Abu Talib.
Menurut Encik Nizam, kes itu juga menimbulkan perdebatan kontroversi dalam kalangan asatizah setempat yang mengatakan Abu Talib telah terseleweng dari segi agama.
Rakan kongsi firma guaman IRB Law, Encik Nor Hakim Shah, memberi perspektif undang-undang mengenai kes itu dalam podcast tersebut.
Antara lain, beliau menjelaskan lelaki Muslim hanya boleh mengahwini maksimum empat isteri. Lebih daripada itu adalah tidak sah, baik dari segi hukum agama mahupun undang-undang Singapura.
Dengar kes ini di podcast #NoTapis Diari Mahkamah menerusi Spotify atau laman beritaharian.sg/podcasts.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg