Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*star) akan membuat satu kajian mengenai kesan persekitaran bandar terhadap kesihatan mental, menurut Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada 3 Jun.
Kajian selama tiga tahun itu akan meneliti faktor seperti ciri reka bentuk bandar, kepadatan dan tingkah laku manusia, kata Encik Heng pada pleno pembukaan Sidang Puncak Bandar Dunia (WCS) 2024, yang diadakan di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura.
Encik Heng, yang merupakan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), berkata pengetahuan yang diraih daripada kajian itu akan “memaklumkan dengan lebih baik cara kita menghidupkan semula, mencipta semula dan membayangkan semula negara kota kita”.
Kajian A*Star yang menelan belanja $1 juta dan ditugaskan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan HDB itu akan dibiayai oleh rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2025 pemerintah bernilai $28 bilion.
Pelan lima tahun itu dilancarkan pada Disember 2020 dengan peruntukan awal $25 bilion, yang kemudiannya ditambah.
Kajian kesihatan mental tersebut dianugerahkan kepada A*Star pada Mei 2024, dan akan dijalankan Institut Sains Klinikal Singapura (SICS) A*Star.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata kajian tersebut akan menghasilkan kaedah didorong data untuk menilai bagaimana pelbagai aspek persekitaran terbina yang berlainan menjejas kesejahteraan mental rakyat dan penduduk di sini.
Menurut MND, memandangkan persekitaran Singapura yang sangat terbina, negara ini “menawarkan peluang unik untuk menjalankan penyelidikan kesihatan mental”.
“Pada masa ini, penyelidikan dalam konteks tempatan kita pada umumnya tertumpu pada kesan persekitaran terbina kita terhadap kesejahteraan fizikal, dan manfaat tumbuh-tumbuhan hijau terhadap kesejahteraan mental.
“Projek ini bertujuan meluaskan lagi pengetahuan ini dengan meneliti aspek lain dalam persekitaran terbina secara lebih holistik, dan kesannya terhadap kesejahteraan mental,” tambah MND.
Sebagai sebahagian kajian itu, satu senarai penunjuk yang mengaitkan persekitaran terbina dengan kesejahteraan mental akan diwujudkan.
Penunjuk tersebut boleh membantu perancang bandar memahami bagaimana faktor seperti penyediaan kemudahan, konfigurasi penggunaan tanah, dan tahap intensiti pembangunan pada sebidang tanah, boleh menjejas kesejahteraan mental, menurut MND.
Para penyelidik akan meneliti dan membandingkan hasil kajian tersebut dengan empat kajian kohort Singapura yang sedang dijalankan, termasuk Membesar di Singapura Ke Arah Kesihatan (Gusto), dan Kajian Prakehamilan Singapura bagi Hasil Jangka Panjang Ibu dan Anak (S-Presto).
Dua lagi kajian adalah mengenai perkembangan awal kanak-kanak, dan tekanan terhadap ibu sebelum bersalin.
Empat kajian tersebut telah “mengumpul data meluas daripada peserta kajian menerusi soal selidik, termasuk penunjuk kesejahteraan mental”, tambah MND.
Hasil kajian terbaru itu akan memberi maklumat dan panduan mengenai cara pihak berkuasa “merancang, mereka bentuk dan mengutamakan campur tangan persekitaran terbina untuk mewujudkan persekitaran (Singapura) yang lebih sihat dan lebih senang didiami”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg