Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesatuan sekerja kecewa Dyson beri notis sehari sebelum hentikan kakitangan

Oct 2, 2024 | 2:41 PM
Tindakan pemberhentian pekerja di syarikat Dyson dilakukan secara mengejut pada 1 Oktober tanpa persetujuan Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (UWEEI) yang telah mempunyai perjanjian kolektif dengannya. Jumlah pemberhentian pekerja tidak didedahkan.
Tindakan pemberhentian pekerja di syarikat Dyson dilakukan secara mengejut pada 1 Oktober tanpa persetujuan Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (UWEEI) yang telah mempunyai perjanjian kolektif dengannya. Jumlah pemberhentian pekerja tidak didedahkan. - Foto DYSON

Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (UWEEI) berkata dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh setiausaha eksekutifnya, Encik Patrick Tay, dan dikeluarkan lewat 1 Oktober bahawa ia kecewa kesatuan itu diberi notis hanya sehari mengenai pelaksanaan pemberhentian sebilangan pekerja, yang tidak didedahkan jumlahnya, di Singapura oleh syarikat pengeluar elektronik Dyson.

Tindakan syarikat itu dilakukan secara mengejut pada 1 Oktober tanpa persetujuan kesatuan yang telah mempunyai perjanjian kolektif dengannya.

Keputusan syarikat itu juga tidak memberi masa yang mencukupi untuk perbincangan bermakna antara pihak-pihak yang terlibat, kata kesatuan itu lagi.

Ia telah menyampaikan perkara itu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Namun, ia menambah: “Kesatuan itu memahami bahawa pekerja yang terjejas berada di luar skop perwakilannya di bawah perjanjian kolektif dengan Dyson.

“Bagaimanapun UWEEI bersedia untuk menyokong pekerja yang terjejas.”

Sebagai membalas kenyataan UWEEI, jurucakap Dyson berkata: “Dyson dengan hormatnya memaklumkan UWEEI terlebih dahulu.

“Dyson mengikuti semua garis panduan lazim daripada MOM dan menyediakan pekerja dengan sokongan yang mereka perlukan, termasuk perkhidmatan penempatan dan program bantuan pekerjaan.”

Jurucakap itu enggan mengulas mengenai jumlah pekerja serta pakej pemberhentian yang ditawarkan.

Bagaimanapun, The Straits Times memahami bahawa kuantum pakej pemberhentian pekerja adalah selaras dengan norma lazim di Singapura yang termasuk perkhidmatan kaunseling dan pemadanan pekerjaan.

Syarikat itu mengambil lebih 1,920 kakitangan di sini pada penghujung 2023, selepas peningkatan sebanyak 35 peratus kakitangan pada 2023.

Jurucakap Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) berkata Dyson mengekalkan kehadiran penting di Singapura melalui ibu pejabatnya serta inovasi dan aktiviti pembuatan termaju.

Pemberhentian itu dibuat selepas Dyson yang mempunyai ibu pejabat di Singapura mengumumkan pada 9 Julai bahawa ia akan memberhentikan kira-kira 1,000 daripada 3,500 kakitangannya di Britain sebagai sebahagian daripada penstrukturan global.

Ketika ditanya mengenai nasib hampir 2,000 kakitangannya di Singapura, syarikat berbilang negara itu berkata bahawa mereka tidak akan terjejas.

UWEEI berkata ia akan bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membantu memadankan pekerja yang terjejas dengan peluang pekerjaan.

Ia juga akan menyokong mereka dengan bimbingan kerjaya dan latihan kerja, jika perlu.

UWEEI juga berkata anggotanya boleh menggunakan dana Program Bantuan Latihan Kesatuan untuk membayar kursus latihan, sekiranya mereka memerlukan peningkatan kemahiran.

Kesatuan itu akan membantu ahli yang mungkin menghadapi masalah kewangan melalui pelbagai program bantuannya.

UWEEI menggesa agar syarikat mematuhi prinsip panduan yang digariskan dalam Rangka Kerja Pemberhentian Adil NTUC dan Nasihat Tiga Pihak mengenai Menguruskan Lebihan Tenaga Kerja dan Pemberhentian Bertanggungjawab.

Ia menggalakkan pekerja dan ahli kesatuan sekerja yang terjejas untuk menghubungi talian bantuan di 6440-2338 semasa waktu bekerja atau e-mel kepada UWEEI@ntuc.org.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg