Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesejahteraan mental belia semakin baik selepas Covid-19

Jan 22, 2024 | 6:52 PM
TUNJUK PENINGKATAN: Tinjauan Belia Kebangsaan (NYS) yang dijalankan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) mendedahkan bahawa 40 peratus responden pada 2022 menilai kesejahteraan mental mereka sebagai baik atau sangat baik
TUNJUK PENINGKATAN: Tinjauan Belia Kebangsaan (NYS) yang dijalankan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) mendedahkan bahawa 40 peratus responden pada 2022 menilai kesejahteraan mental mereka sebagai baik atau sangat baik - Foto NYC

Kesejahteraan mental para belia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, meskipun tidak sepenuhnya, daripada kesan pandemik Covid-19. 

Tinjauan Belia Kebangsaan (NYS) yang dijalankan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) mendedahkan bahawa 40 peratus responden pada 2022 menilai kesejahteraan mental mereka sebagai baik atau sangat baik.

Ia menunjukkan kemerosotan ketara daripada 52 peratus yang dicatatkan pada 2019.

Dapatan tinjauan ini dikongsi oleh Timbalan Ketua Eksekutif NYC dan juga Pengarah Kanan Bahagian Belia Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Encik Tan Lin Teck, semasa forum dalam talian panel pertama bertajuk ‘What is Being Young Like Today?’ atau ‘Apakah maksud menjadi orang muda hari ini?’ pada 22 Januari.

Forum dalam talian ini yang merupakan sebahagian daripada persidangan Perspektif Singapura 2024.

Tinjauan yang dijalankan mendedahkan pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh para belia Singapura ketika mereka beralih ke alam dewasa.

Berkongsi pandangannya tentang dapatan tinjauan NYS ini, Encik Tan menekankan daya tahan yang berjaya ditonjolkan para belia Singapura.

Beliau menambah, di sebalik kebimbangan tentang kesejahteraan mental, lebih separuh daripada peserta yang ditinjau meluahkan keyakinan terhadap kesediaan untuk mengharungi masa depan.

Dalam pada itu, lebih daripada dua daripada lima belia berasakan mereka diberikan peluang mencukupi untuk mencapai aspirasi mereka dan mempunyai kerjaya yang baik di Singapura.

“Kita hidup dalam masa yang sukar. Pandemik merupakan satu masa yang sukar, tetapi kita mempunyai asas yang sangat baik.

“Belia kita sangat berpendidikan. Mereka mahu menyumbang kembali kepada masyarakat, dan ada keinginan untuk berbuat demikian. Mereka mahu lebih terlibat dan mereka mahu menyumbang.

“Sebenarnya itu adalah sesuatu yang harus kita bina dan ia adalah sesuatu yang kita patut lihat sebagai kekuatan.

“Kita harus menggunakan dan memanfaatkan kekuatan ini agar dapat menangani banyak cabaran yang kita saksikan hari ini di dunia dan di Singapura,” tambahnya.

Dapatan daripada ‘Kajian Belia tentang Peralihan dan Laluan yang Berkembang di Singapura’ (Youth Steps) – satu usaha kerjasama antara NYC dengan Makmal Sosial Institut Pengajian Dasar (IPS), turut dibincangkan.

Profesor Madya Vincent Chua dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menekankan ketidaksamaan yang semakin meluas dalam kepuasan hidup dalam kalangan kumpulan pekerjaan dan pendidikan yang berbeza akibat pandemik Covid-19.

Beliau menerangkan sebelum Covid-19 berlaku, peralihan daripada seorang pelajar kepada pengangguran hanya sedikit menjejaskan kepuasan hidup.

Bagaimanapun, semasa pandemik, peralihan ini mengakibatkan kemerosotan lebih ketara dalam kepuasan hidup.

Dapatan kajian ini menunjukkan perkara di luar jangkaan seperti pandemik memberi kesan tidak seimbang kepada kumpulan yang kurang bernasib baik, menekankan kepentingan mewujudkan peluang pekerjaan dan pendidikan sebagai keutamaan dasar.

Sidang Perspektif Singapura 2024 yang dianjurkan kali ini memberi tumpuan kepada tema ‘Belia’ dan pelbagai cabaran yang mereka hadapi dalam landskap sosioekonomi dan demografi yang sering berubah dengan pantas.

Persidangan ini yang bertujuan untuk melibatkan rakyat Singapura dalam perbahasan yang mantap mengenai cabaran dasar awam, terutamanya yang berkaitan dengan belia, akan dilanjutkan pada 29 Januari dan akan diakhiri dengan sesi dialog bersama Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

“Pandemik merupakan satu masa yang sukar, tetapi kita mempunyai asas yang sangat baik. Belia kita sangat berpendidikan. Mereka mahu menyumbang kembali kepada masyarakat, dan ada keinginan untuk berbuat demikian... Kita harus menggunakan dan memanfaatkan kekuatan ini agar dapat menangani banyak cabaran yang kita saksikan hari ini di dunia dan di Singapura.”
Encik Tan Lin Teck, Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan juga Pengarah Kanan Bahagian Belia Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg