Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak bawah 18 tahun diperkukuh

Aplikasi perlu laksana kawalan ibu bapa, penyederhanaan kandungan dan jaminan umur terutama bagi bawah 18 tahun
Jan 15, 2025 | 6:30 PM
Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo berkata usaha melengkapkan ibu bapa dan bekerjasama dapat membina dunia digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak berkembang maju.
Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo berkata usaha melengkapkan ibu bapa dan bekerjasama dapat membina dunia digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak berkembang maju. - Foto fail

Perkhidmatan Pengedaran Aplikasi (ADSs) tertentu, seperti Apple App Store dan Google Play Store, tidak lama lagi diperlukan melaksanakan langkah-langkah seperti kawalan ibu bapa, penyederhanaan kandungan dan jaminan umur bagi memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak berusia bawah 18 tahun. 

Demikian selaras dengan pengenalan Kod Amalan baru untuk Keselamatan Dalam Talian bagi ADSs yang berkuat kuasa mulai 31 Mac.

Berkongsi mengenai kod tersebut, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo dalam catatannya di Facebook pada 15 Januari, berkata meskipun tiada penyelesaian tunggal dalam menghapuskan semua risiko dalam talian, usaha melengkapkan ibu bapa dan bekerjasama, dunia digital yang lebih selamat boleh dibina untuk kanak-kanak berkembang maju.

Cik Teo berkata: “Hari ini, IMDA mengumumkan Kod Amalan baru untuk ADSs, yang memperkenalkan langkah-langkah keselamatan seperti kawalan ibu bapa, penyederhanaan kandungan, dan jaminan umur bagi memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

“Walaupun tiada penyelesaian tunggal dapat menghapuskan semua risiko dalam talian, Singapura komited mengurangkan bahaya dalam talian. Dengan melengkapkan ibu bapa dan bekerjasama, kami boleh membina dunia digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak berkembang maju.”

ADSs ialah aplikasi yang membolehkan pengguna memuat turun aplikasi pada peranti.

ADSs tertentu lain ialah Galeri Aplikasi Huawei, Microsoft Store dan Samsung Galaxy Store.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), dalam kenyataannya pada 15 Januari, berkata:

“Kod tersebut memerlukan ADSs tertentu melaksanakan langkah-langkah peringkat sistem dalam mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya bagi pengguna, terutama kanak-kanak rentan apabila terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dalam talian.”

Di bawah kod itu, ADSs perlu menyediakan mekanisme pelaporan yang berkesan dan mudah digunakan agar pengguna dapat melaporkan aplikasi yang mengandungi kandungan berbahaya seperti kandungan seksual atau ganas dan kandungan berkaitan dengan buli siber, mencederakan diri sendiri, maksiat.

Ia juga harus bertanggungjawab dalam memastikan ketelusan apabila menyediakan laporan keselamatan dalam talian tahunan yang memperincikan langkah-langkah serta tahap keselamatan yang dilaksanakan.

ADSs harus mengurangkan akses atau pendedahan pengguna kepada kandungan berbahaya dengan perlindungan tambahan untuk kanak-kanak termasuk pelaksanaan langkah jaminan umur.

IMDA mencadangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi pembelajaran mesin, atau imbasan wajah – yang dikatakan telah “berkembang dengan ketara” – untuk membolehkan langkah jaminan umur dilaksanakan dengan berkesan.

Sebagai alternatif, ADSs juga boleh bergantung pada sumber pengenalan yang telah disahkan, seperti ID digital atau kad kredit, untuk menentukan umur pengguna, kata IMDA.

ADSs yang belum melaksanakan jaminan umur harus menetapkan pelan pelaksanaan dan garis masa kepada IMDA, tertakluk kepada persetujuan IMDA, tambah IMDA.

Menurut IMDA, ia akan terus berhubung dengan kelima ADSs tersebut mengenai pelaksanaan langkah jaminan umur dalam beberapa bulan akan datang.  

Ia menambah bahawa “dengan semakin ramai individu, termasuk kanak-kanak, memiliki peranti mudah alih... terdapat peningkatan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya, termasuk kandungan yang tidak sesuai dengan umur kanak-kanak.”

Kod Amalan untuk Keselamatan Dalam Talian bagi ADSs adalah salah satu daripada banyak usaha yang telah diambil pemerintah dalam mengurangkan pendedahan pengguna Singapura kepada kandungan berbahaya dalam talian.

Antaranya ialah Kit Alat Digital Keselamatan Dalam Talian, Kod Amalan untuk Keselamatan Dalam Talian, dan Bil ELIONA, tambah Cik Teo.

Langkah demikian diumumkan Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Rahayu Mahzam, di Parlimen pada 7 Januari, yang menyentuh tentang matlamat Singapura dalam menggubal undang-undang had umur bagi akses media sosial demi melindungi pengguna muda.

Kod tersebut merupakan jenis kedua Perkhidmatan Komunikasi Dalam Talian di bawah Akta Penyiaran untuk pengawalseliaan, dengan platform media sosial sebagai pertama. 

Pada Julai 2023, IMDA mengeluarkan Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian untuk memastikan perkhidmatan media sosial tertentu bagi meminimumkan akses pengguna kepada kandungan berbahaya, menyediakan pengguna dengan pelaporan yang berkesan dan mudah digunakan serta bertanggungjawab kepada pengguna mereka.

Antara media sosial tertentu ialah Facebook, HardwareZone, Instagram, TikTok, X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) dan YouTube.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg