DBS, dengan kerjasama Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), telah merangka program yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kecerdasan buatan (AI) generatif (GenAI) dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana (SME) Singapura, dan mempercepatkan penerimaannya.
Dinamakan Spark GenAI, ia dilancarkan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) pada 29 November.
Pelancaran itu menyokong Pelan Tindakan Perusahaan Digital (DEB) yang menyasarkan untuk menjangkau sebanyak 50,000 SME dalam tempoh dua tahun bagi membolehkan pertumbuhan dan memacu inovasi AI.
Dalam satu kenyataan bersama pada 29 November, DBS, IMDA dan EnterpriseSG berkata hanya 4.2 peratus daripada perniagaan itu memanfaatkan AI dalam beberapa bentuk dewasa ini.
Hal demikian berlaku meskipun GenAI berpotensi meningkatkan daya saing mereka dalam ekonomi digital yang berkembang pesat dengan membuka peluang penjimatan kos, meningkatkan produktiviti dan mendorong inovasi.
“Untuk tangani jurang ini, Spark GenAI dibangunkan untuk membantu SME memahami bagaimana huraian GenAI boleh membantu menyelesaikan cabaran perniagaan,” tambah kenyataan itu.
Program itu akan menawarkan SME “pendekatan tersusun dan ringkas untuk mengenal pasti kes penggunaan yang berpotensi serta aplikasi praktikal huraian GenAI dalam operasi perniagaan mereka, dalam bidang seperti penglibatan pelanggan dan pemasaran”.
Program tersebut terdiri daripada empat teras utama, dengan yang pertama fokus pada “menemui” iaitu membina kesedaran dan pemahaman tentang pelbagai kegunaan serta faedah GenAI.
Ini akan dilakukan melalui sumber dalam talian dan bengkel suku tahunan yang dianjurkan DBS BusinessClass – satu program penglibatan untuk SME – dengan kerjasama vendor.
Program itu dijangka bermula pada akhir 2024.
Teras kedua adalah “mengenal pasti”, yang menyediakan cadangan penyelesaian GenAI yang sesuai untuk keperluan khusus, seperti meningkatkan produktiviti, automasikan tugasan berulang, memperkemas aliran kerja atau mencipta kandungan.
Teras ketiga ialah “mengguna pakai”. Di bawah teras ini, Spark GenAI akan mengurangkan halangan kewangan untuk pelaksanaannya dengan memudahkan akses kepada sokongan geran daripada IMDA dan EnterpriseSG.
Akhir sekali, di bawah teras keempat iaitu “keselamatan”, program itu akan memperkukuh daya tahan digital SME melalui insurans siber dan kursus dalam talian tentang kesihatan yang dibangunkan oleh pasukan keselamatan siber DBS.
Ketua Kumpulan Korporat dan Perbankan syarikat kecil dan sederhana (SME) di DBS, Encik Koh Kar Siong, berkata: “Ekonomi digital, yang dijangka mencapai $352 bilion di Asia Tenggara menjelang 2024, menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan, tetapi SME perlu sesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran untuk kekal berdaya saing.”
DBS merancang mempersiapkan SME dan syarikat bersaiz sederhana bagi menghadapi masa depan melalui program tersebut, dengan memanfaatkan kepakaran mereka serta bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk membantu perniagaan ini “memposisikan diri mereka bagi kejayaan jangka panjang dalam masa depan yang didorong AI.”
Penolong Pengarah Urusan Keupayaan EnterpriseSG, Encik Geoffrey Yeo, berkata Spark GenAI menyediakan “saluran sehenti” untuk SME mengakses sumber dan skim sokongan yang relevan, serta memanfaatkan penyelesaian GenAI untuk memacu pertumbuhan dan meningkatkan daya saing.
Program tersebut turut memperluaskan kerjasama agensi tersebut dengan DBS, yang kini meliputi bidang daripada pembiayaan kepada kelestarian, untuk turut merangkumi GenAI, tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg