Orang ramai perlu bersedia menghadapi lalu lintas sesak dan kelewatan yang panjang di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dari 20 November hingga 3 Januari 2027.

Memberi amaran mengenai kesesakan itu menerusi nasihat perjalanan pada 16 November, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menasihati pemandu dan pelancong supaya melalui pusat pemeriksaan darat pada waktu kurang sibuk, seperti awal pagi dan lewat malam.

Pelancong juga perlu memastikan mereka membawa pasport yang betul sebelum meninggalkan rumah dan mengemukakan kod Respons Pantas (QR) yang tepat menerusi aplikasi mudah alih MyICA semasa melalui pemeriksaan imigresen, kata agensi itu.

ICA menegaskan bahawa semakin ramai pelancong mengemukakan pasport atau kod QR yang salah di kedua-dua pusat pemeriksaan. Bilangan kes sebegini meningkat daripada 46 kes pada Julai kepada 74 kes pada September.

“Pelancong yang mengemukakan pasport atau kod QR yang salah akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut dan tidak akan dibenarkan meninggalkan Singapura sehingga pemeriksaan yang diperlukan selesai dijalankan serta pasport atau kod QR yang betul dikemukakan,” kata ICA.

Nasihat itu susulan lonjakan perjalanan sepanjang hujung minggu panjang Deepavali dari 6 hingga 9 November, apabila lebih dua juta pelancong melalui kedua-dua pusat pemeriksaan tersebut.

Jumlah perjalanan mencecah lebih 553,000 lintasan pada 6 November, dengan kesesakan dari Malaysia menyebabkan pemandu yang keluar dari Singapura terperangkap dalam barisan sehingga tiga jam semasa waktu sibuk.

Pelepasan menerusi kod QR dan pengecaman wajah adalah sebahagian daripada konsep pelepasan baharu ICA yang bertujuan menyediakan pelepasan imigresen yang lebih pantas dan selamat.

Menurut agensi itu, inisiatif tersebut telah meningkatkan kadar pelepasan penumpang semasa waktu sibuk sebanyak lebih 35 peratus. 

Ini bersamaan dengan tambahan 7,600 pelancong yang dapat dilepaskan setiap jam berbanding paras sebelum Covid-19 pada 2019.

Pelancong perlu memastikan pasport mereka masih sah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum perjalanan. 

Semua pelawat jangka pendek, termasuk mereka yang memegang kelulusan prinsip (in-principle approval) bagi pas jangka panjang, perlu menghantar Kad Ketibaan SG (SGAC) mereka berserta deklarasi kesihatan menerusi aplikasi MyICA dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di Singapura.

Pelancong perlu memastikan aplikasi mereka dikemas kini kepada versi terkini bagi mengakses SGAC yang dipertingkatkan, yang mula dilancarkan pada 30 September.

Penduduk tetap (PR) Singapura yang telah memperbaharui pasport mereka perlu mengemas kini butiran dalam permit kemasukan semula menerusi aplikasi MyICA.

Pemegang pas jangka panjang yang mempunyai perubahan pada butiran pasport perlu memaklumkan ICA atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sebelum memasuki semula Singapura.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti