Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesihatan fizikal, rohani sama penting dalam tangani isu kesihatan mental

Asatizah dan keluarga main peranan tingkat ilmu, beri sokongan kepada mereka yang alami isu kesihatan mental
May 25, 2024 | 5:30 AM
Anggota panel ‘Dialog Masyarakat Berita Harian’ terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (barisan depan, empat dari kiri); AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (barisan depan, lima dari kiri); Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (barisan depan, tujuh dari kiri); dan Timbalan Editor Berita, Cik Nur Adilah Mahbob (barisan depan, tujuh dari kanan) sebagai moderator. Dialog ini turut dihadiri Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (barisan depan, enam dari kiri); bersama lebih 30 asatizah, pelajar daripada institut pendidikan agama dan madrasah sepenuh masa pada 17 Mei di bangunan SPH Media. 
Anggota panel ‘Dialog Masyarakat Berita Harian’ terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (barisan depan, empat dari kiri); AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (barisan depan, lima dari kiri); Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (barisan depan, tujuh dari kiri); dan Timbalan Editor Berita, Cik Nur Adilah Mahbob (barisan depan, tujuh dari kanan) sebagai moderator. Dialog ini turut dihadiri Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (barisan depan, enam dari kiri); bersama lebih 30 asatizah, pelajar daripada institut pendidikan agama dan madrasah sepenuh masa pada 17 Mei di bangunan SPH Media.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mempunyai keseimbangan dalam penjagaan kesihatan fizikal, mental dan rohani; perlunya asatizah meningkatkan ilmu tentang isu kesihatan mental; dan peranan penting keluarga dalam menyokong mereka yang berdepan dengan isu kesihatan mental.

Watch on YouTube

Demikian tiga teras yang dikongsi Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, tentang bagaimana masyarakat Islam Singapura dapat mengatasi stigma dan cabaran berkaitan kesihatan mental.

Beliau berkata demikian kepada lebih 30 asatizah dan pelajar daripada institut pendidikan agama dan madrasah sepenuh masa di Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 17 Mei di bangunan SPH Media di Toa Payoh.

Dialog tersebut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan juga AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim sebagai anggota panel.

Perlu keseimbangan, penjagaan kesihatan menyeluruh

Antara isu yang diketengahkan para peserta dialog tersebut berkaitan tanggapan salah segelintir masyarakat bahawa penyakit mental adalah masalah keagamaan seseorang, seperti dipengaruhi jin atau kurang iman.

Justeru, mereka cenderung berjumpa dengan asatizah dan mendapatkan rawatan profesional di poliklinik atau di institusi intervensi sekular.

Mengupas isu tersebut, Dr Wan Rizal berkata selain ilmu agama, penting juga bagi setiap individu mempunyai keseimbangan dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental.

“Kita ada fizikal, kita ada mental, kita juga ada rohani. Dan tiga-tiga ni sebenarnya ada kaitan. Penting untuk kita memahami bahawa kita perlukan keseimbangan dalam ketiga-tiga ini.

“Kalau kita nak cakap tentang kesihatan mental, jangan lupa tentang kesihatan fizikal, jangan lupa bahawa kita perlu bersenam, kita perlu jaga makan, kita perlu jaga tidur.

“Ini semua penting kerana jika kita tidak ada keseimbangan dari segi fizikal, yang lain juga tidak seimbang,” kata Dr Wan Rizal.

Beliau menambah bahawa asas pertama untuk menangani isu kesihatan mental adalah menerapkan keseimbangan sebagai satu keutamaan dan memahami bahawa menjaga kesihatan mental sahaja tidak mencukupi.

Beliau berkata penjagaan kesihatan perlu pendekatan yang menyeluruh, yang mementingkan penjagaan fizikal, mental dan juga kerohanian.

“Setiap daripada ini perlu masa. Mental perlu masa, kerohanian juga perlu masa. Jadi kita perlu memberi masa untuk semuanya. Ada orang kata kalau saya sihat dari segi fizikal, jangan bimbang insya-Allah kesihatan mental saya bagus. Sebenarnya tidak sebegitu.

“Kadang-kadang kita buat kerja fizikal kerana kita mahu badan kita sihat. Jadi kalau ada apa-apa yang berat, kita boleh lakukan.

“Sama dengan kesihatan mental juga. Kita perlu ada latihannya juga. Ada senamannya kerana kalau kita memahami bahawa isu ini akan terjadi pada masa hadapan, kita sudah bersiap sedia,” kata Dr Wan Rizal.

Penting bagi asatizah tingkat ilmu tentang kesihatan mental

Dr Wan Rizal juga berkata asatizah memainkan peranan penting untuk memperbetulkan tanggapan salah segelintir masyarakat tentang kesihatan mental.

Di sini, beliau mengalu-alukan golongan asatizah untuk tampil dan meningkatkan ilmu tentang kesihatan mental agar mereka dapat memberikan nasihat yang betul kepada masyarakat.

“Tidak kira daripada pakar-pakar kesihatan mental atau daripada asatizah, yang penting dari segi masyarakat kita, kita perlu meningkatkan ilmu tentang kesihatan mental.

“Saya bersyukur Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah mengatakan mereka mahu asatizah meningkatkan ilmu, ada kepakaran dalam bidang ini. Kita akan bincang di masa hadapan bagaimana kita boleh memberi para asatizah kita latihan dan ilmu dari segi ini,” kata Dr Wan Rizal.

Sokongan keluarga, orang terdekat

Dr Wan Rizal juga berkata sokongan keluarga adalah penting bagi menangani stigma kesihatan mental kerana mereka dapat memberikan pertolongan kecemasan atau first aid apabila anggota keluarga berdepan dengan masalah.

“Keluarga adalah yang pertama untuk mendapatkan nasihat. Saya rasa bukan sahaja para asatizah kita perlu pertingkatkan ilmu tentang kesihatan mental, malah setiap anggota keluarga juga perlu belajar mengenai ini.

“Jika kita semua ada ilmu tentang kesihatan mental, kita boleh menjadikan Singapura ini satu negara yang lebih prihatin dan akur bahawa kesihatan mental ini adalah penting untuk masa depan kita,” kata Dr Wan Rizal.

Encik Masagos berkata masalah kesihatan mental adalah satu kebimbangan yang wujud secara global, bukan hanya di Singapura.

Beliau menambah amat penting bagi masyarakat untuk meningkatkan ilmu tentang isu tersebut agar dapat membezakan tentang penyakit mental dan masalah mental.

“Kita harus membezakan penyakit mental dan masalah mental. Pendekatan kita harus berbeza. Mereka yang berpenyakit mental harus diberi ubat.

“Mereka yang menghadapi masalah mental mungkin paling kurang dapat kaunseling dan nasihat yang baik supaya mereka dapat mengatasi masalah seperti kesedihan dan sebagainya,” kata Encik Masagos. 

Semasa dialog itu, antara isu lain yang diketengahkan oleh para peserta termasuk peranan asatizah dalam mengukuhkan keharmonian agama dan Wakaf Masyarakat Singapura.

Encik Zhulkarnain memuji sikap proaktif para peserta untuk mengajukan soalan-soalan yang penting tentang masa hadapan Singapura.

“(Para peserta) ambil peduli tentang isu yang membawa kekhuatiran masyarakat kita dan mereka prihatin tentang isu masa hadapan seperti kos prasarana madrasah, pajakan masjid dan menaikkan daya ketahanan masyarakat kita.

“Kita harapkan bukan sahaja golongan asatizah malah semua berganding bahu, untuk membina perasaan peduli, perasaan untuk memperkasakan, memperkayakan dan membina perisai ini (untuk mengukuhkan masyarakat Islam Singapura),” kata Encik Zhulkarnain.

“Kita harus membezakan penyakit mental dan masalah mental. Pendekatan kita harus berbeza. Mereka yang berpenyakit mental harus diberi ubat. Mereka yang menghadapi masalah mental mungkin paling kurang dapat kaunseling dan nasihat yang baik supaya mereka dapat mengatasi masalah seperti kesedihan dan sebagainya.” 
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Kalau kita nak cakap tentang kesihatan mental, jangan lupa tentang kesihatan fizikal, jangan lupa bahawa kita perlu bersenam, kita perlu jaga makan, kita perlu jaga tidur. Ini semua penting kerana jika kita tidak ada keseimbangan dari segi fizikal, yang lain juga tidak seimbang.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

“(Para peserta) ambil peduli tentang isu yang membawa kekhuatiran masyarakat kita dan mereka prihatin tentang isu masa hadapan seperti kos prasarana madrasah, pajakan masjid dan menaikkan daya ketahanan masyarakat kita. Kita harapkan bukan sahaja golongan asatizah malah semua berganding bahu, untuk membina perasaan peduli, perasaan untuk memperkasakan, memperkayakan dan membina perisai ini (untuk mengukuhkan masyarakat Islam Singapura).” 
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg