Adalah tidak wajar membiarkan generasi masa hadapan membiayai kos pembaharuan pajakan tanah untuk masjid yang tinggi, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Memandangkan kos pembaharuan pajakan tanah akan semakin meningkat pada masa hadapan, beliau berkata amat penting bagi masyarakat Islam Singapura membuat persediaan jangka panjang, seperti membuat perancangan awal menerusi Wakaf Masyarakat Singapura.
“Dulu, masjid yang pertama harganya sekitar $1.5 juta. Sekarang, masjid yang terakhir dibina dengan harga $25 juta. Cuba bayangkan harganya kelak pada 2076 (99 tahun sejak masjid pertama).
“Kalau kita mengharapkan masyarakat masa hadapan untuk bayar sendiri, saya fikir tak baik begitu. Jadi kita mahu mengagihkan sebahagian daripada keperkasaan yang kita ada sekarang.
“Kita kumpul dan kita gandakan dan insya-Allah pada masa akan datang, kita tidak akan membebankan mereka dalam kita memperbaharui wakaf-wakaf dan pajakan masjid kita,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Encik Masagos berkata demikian kepada lebih 30 asatizah dan pelajar daripada institut pendidikan agama dan madrasah sepenuh masa yang menghadiri Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 17 Mei di bangunan SPH Media di Toa Payoh.
Dialog tersebut dikendalikan Timbalan Editor Berita, Cik Nur Adilah Mahbob, sebagai moderator.
Ia merupakan sesi pertama daripada siri tiga dialog yang bakal BH adakan untuk membincangkan perkara yang dekat dengan masyarakat dan akan disusuli dengan persidangan masyarakat sebagai acara kemuncak pada 2025.
Selain WMS dan perancangan kewangan, peserta di dialog tiga jam pada 17 Mei itu turut mengetengahkan topik seperti peranan penting asatizah dalam membantu mengukuhkan keharmonian agama dan isu kesihatan mental seperti stigma dan akses kepada bantuan.
Ia turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah sebagai anggota panel.
Antara soalan yang diajukan oleh peserta adalah tentang ketelusan Wakaf Masyarakat Singapura – sama ada wakaf tersebut sesuai dilakukan oleh semua lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kewangan, dan siapakah benefisiari wakaf tersebut.
Menjawab soalan tersebut, Encik Masagos berkata tumpuan pertama wakaf tersebut adalah untuk memperbaharui pajakan masjid masa hadapan dan menampung gaji asatizah supaya mereka boleh mendapat taraf kehidupan yang sama dengan masyarakat lain.
Beliau menambah bahawa masyarakat Islam Singapura “tidak miskin” dan merupakan “masyarakat yang perkasa” kerana telah berjaya membina masjid-masjid menerusi Dana Pembinaan Masjid (MBF) dengan sumbangan yang kecil apabila dana tersebut dimulakan pada 1975.
“Kalau tahun ‘70an, kita agak miskin. Kita keluarkan 50 sen tapi telah dapat dirikan 25 masjid. Insya-Allah, sekarang masyarakat lebih mapan, lebih hidup mewah, saya harap mereka juga boleh jadi dermawan.
“Kalau kita lihat daripada kutipan zakat, jumlahnya lebih kurang $60 juta setahun. Maknanya masyarakat Islam kita ada aset cair lebih kurang $2 bilion. Jadi masyarakat kita bukan masyarakat miskin,” kata Encik Masagos.
Encik Zhulkarnain, seorang peguam, berkata isu wasiat dan perancangan awal bukan hanya untuk orang tua atau orang kaya sahaja, malah untuk setiap lapisan masyarakat juga.
“Ia sesuai untuk semua,” kata Encik Zhulkarnain, yang mengetuai Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), kumpulan baru yang ditubuhkan untuk mempertingkat sokongan kepada masyarakat dalam hal-hal perancangan harta pusaka, seperti membuat wasiat.
Beliau menambah bahawa Jawatankuasa Sementara bagi Wakaf Masyarakat Singapura yang baru sahaja diumumkan pada April akan bekerjasama dengan para asatizah, karyawan dan pakar kewangan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.
“Jawatankuasa akan bekerjasama dengan asatizah, karyawan, usahawan dan perancang kewangan untuk menganjurkan forum dan mengeluarkan kolateral, buku, podcast dan artikel untuk menerapkan pemahaman ini.
“
“Kalau kita mengharapkan masyarakat masa hadapan untuk bayar sendiri, saya fikir tak baik begitu. Jadi kita mahu mengagihkan sebahagian daripada keperkasaan yang kita ada sekarang. Kita kumpul dan kita gandakan dan insya-Allah pada masa akan datang, kita tidak akan membebankan mereka dalam kita memperbaharui wakaf-wakaf dan pajakan masjid kita”“
“Jawatankuasa akan bekerjasama dengan asatizah, karyawan, usahawan dan perancang kewangan untuk menganjurkan forum dan mengeluarkan kolateral, buku, podcast dan artikel untuk menerapkan pemahaman ini. Perlu kita membetulkan salah tanggapan bahawa merancang kewangan, merancang legasi ini, bukan sahaja untuk orang yang berharta atau orang kaya sahaja. Ia sesuai untuk semua.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg