Usaha Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memastikan kesihatan mental dan kesejahteraan minda pekerja migran terpelihara menerusi satu inisiatif, Projek Dawn, yang diperkenalkan pada September 2020, telah diberi suntikan kesegaran, baru-baru ini.
Di bawah projek ini yang merupakan singkatan bagi ‘Depression, Awareness, Well-being and Normalisation’ (Kemurungan, Kesedaran, Kesejahteraan, dan Penormalan), antara yang telah dilaksanakan ialah peluasan pada Program Pemimpin Sokongan Rakan Sebaya, lebih 20 jerayawara dalam tempoh dua tahun di pusat riadah dan dormitori serta usaha mempertingkat kesedaran mengenai talian bantuan 24 jam HealthServe untuk sokongan segera pekerja migran.
Langkah memperkasa Projek Dawn ini telah diumumkan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, semasa Hari Kesihatan Mental Sedunia di Pusat Riadah Terusan pada 5 Oktober.
Acara tersebut merupakan anjuran bersama Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Penglibatan (Ace) MOM dan badan amal institusi bertaraf awam (IPC) yang menyediakan bantuan jagaan kesihatan buat pekerja migran, HealthServe.
Ketika berucap di hadapan lebih 1,000 pekerja migran, Encik Dinesh menekankan usaha MOM dan pihak berkepentingan lain dalam mempertingkatkan kesihatan mental bagi pekerja migran Singapura.
“Kami sedar kehidupan jauh dari tanah air bukanlah sesuatu yang mudah, dan ada masanya keadaan boleh terasa amat mencabar.
“Sepanjang masa anda berada di Singapura, kami (pihak MOM) bersama pertubuhan bukan pemerintah (NGO), pengendali asrama serta pihak majikan lain komited untuk terus menyokong kesejahteraan fizikal dan mental anda,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Encik Dinesh menukil dapatan satu kajian Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Kesihatan Mental (IMH), dengan sokongan MOM pada 2022, yang membawa kepada peluasan Projek Dawn ini.
Beliau berkata sekurang-kurangnya 70 peratus pekerja migran lebih gemar mendapatkan maklumat mengenai masalah emosi melalui interaksi secara langsung.
Namun, beliau menekankan halangan bahasa sebagai antara sebab utama pekerja migran enggan mendapatkan bantuan.
“Ketakutan kehilangan pekerjaan, kurangnya kesedaran terhadap perkhidmatan sedia ada, halangan bahasa, dan stigma berkaitan kesihatan mental adalah antara sebab utama mereka tidak mencari bantuan.
“Hasil kajian ini menunjukkan betapa pentingnya pendekatan langsung dan interaksi bersemuka – termasuk sokongan rakan sebaya – dalam menangani keperluan kesihatan mental,” tambahnya.
Dengan itu, lebih ramai pekerja migran akan dilatih sebagai penyokong rakan sebaya di bawah Program Pemimpin Sokongan Rakan Sebaya yang telah dilancarkan sejak 2022.
MOM, Pusat Pekerja Migran (MWC) dan HealthServe akan mengenal pasti pekerja ini yang menunjukkan empati serta kemahiran komunikasi yang baik.
“Setakat ini, hampir 2,000 pekerja migran telah dilatih dengan kemahiran memberi nasihat psikologi agar dapat memberikan sokongan awal kesihatan mental kepada rakan sekerja mereka,” kata Encik Dinesh lagi.
MOM juga bakal menyasarkan sokongan kepada lebih 20,000 pekerja migran menerusi lebih 20 jerayawara baru sebagai langkah pencegahan dalam tempoh dua tahun mendatang.
Acara ini merangkumi pelbagai topik berkaitan kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan menyeluruh bagi pekerja migran termasuk sokongan kesihatan mental, teknik penjagaan diri, dan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan.
“Setiap masalah, walau sekecil mana pun, akan berlarutan jika tidak ditangani dengan segera,” kata Encik Dinesh.
MOM, jelasnya, akan terus memastikan pekerja migran mendapat akses kepada perkhidmatan bantuan krisis melalui talian bantuan 24 jam HealthServe (+65 3129 5000) yang dilancarkan pada Ogos 2021.
Namun, kesejahteraan kesihatan mental pekerja migran juga perlu disokong oleh pihak majikan.
Lantas, beliau menggesa pihak majikan supaya memainkan peranan dalam menjaga kesejahteraan pekerja mereka.
“Beberapa kajian menunjukkan pekerja yang gembira juga lebih berdaya penghasilan tinggi.
“Oleh itu, saya ingin menggalakkan pihak majikan untuk mewujudkan budaya tempat kerja yang menyokong dan menggalak pekerja mereka dalam menyuarakan masalah yang dihadapi agar mereka dapat bantuan yang diperlukan.
“Kesihatan mental bukan penyakit yang perlu disembuhkan, tetapi satu keadaan yang perlu diuruskan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg