Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 29 warga asing dan empat warga tempatan dalam Ops Gegar di tiga lokasi sekitar Selangor pada 1 Oktober, sekali gus menumpaskan sindiket pelacuran dan pengambilan pekerja tanpa pas sah.
Dalam serbuan pertama pada 3.20 petang di sebuah hotel di Klang, 13 wanita warga asing berumur 19 hingga 53 tahun terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Vietnam ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks.
JIM dalam satu kenyataan pada 2 Oktober, berkata dua wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan tanpa pas sah ditahan, selain dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga kepada wanita warga asing itu turut ditahan.
Menurut JIM, siasatan awal mendapati sindiket tersebut mempromosikan perkhidmatan seks melalui laman sesawang dengan tempahan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram.
“Pelanggan yang membuat tempahan kemudian diarahkan ke tingkat satu hotel dengan bayaran bagi perkhidmatan seks dianggarkan antara RM190 ($58.1) hingga RM960, bergantung kepada warganegara wanita yang dilanggan.
Pada masa sama, JIM berkata pasukan penguat kuasa turut menggempur dua premis refleksologi di Puchong sekitar 5.30 petang.
“Dalam serbuan di premis refleksologi itu pula, JIM menahan 16 wanita warga asing berumur 20 hingga 37 tahun daripada Thailand, Myanmar, Laos dan China, bersama dua warga tempatan yang disyaki menggajikan mereka tanpa pas sah,” kata kenyataan itu.
JIM berkata semua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Jabatan ini juga akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.
JIM Kuala Lumpur turut menahan seramai 39 warga asing dan tiga warga Malaysia di sebuah pub di Sri Hartamas, pada 12 tengah malam, 2 Oktober.
Portal Buletin TV3 melaporkan, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata sebahagian besar 39 warga asing yang ditahan adalah pemegang pas Pembantu Rumah Asing, namun menyalahgunakan pas berkenaan dengan bekerja sebagai GRO atau peneman pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg