Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara mengenai barah buah dada bongkar mitos, tabu penyakit

Oct 1, 2024 | 11:54 AM
Acara ‘Spilling The Tea On Breast Cancer’ yang akan berlangsung 5 Oktober di Catapult, Rochester Park, sempena bulan kesedaran terhadap barah buah dada, bermatlamat untuk bekas pesakit barah berkongsi pengalaman serta isu berkaitan penyakit barah dalam konteks di tempat kerja.
Acara ‘Spilling The Tea On Breast Cancer’ yang akan berlangsung 5 Oktober di Catapult, Rochester Park, sempena bulan kesedaran terhadap barah buah dada, bermatlamat untuk bekas pesakit barah berkongsi pengalaman serta isu berkaitan penyakit barah dalam konteks di tempat kerja. - Foto GALUP SINGAPORE

Seringkali keberkesanan kepimpinan di tempat kerja adalah menerusi kekuatan pasukan dan keputusan yang objektif dan cekap.

Namun, gaya pengurusan sedemikian mungkin gagal mencapai hasil yang diinginkan jika menghadapi situasi penuh emosi seperti apabila seorang pekerja tiba-tiba mendedahkan bahawa beliau disahkan menghidap penyakit yang serius seperti barah.

Bagaimanakah para pemimpin boleh membuat keputusan apabila menghadapi isu sebegini, dan bagaimanakah pula pekerja yang menghidap penyakit itu dapat mengekalkan keyakinan majikan mereka terhadap diri mereka?

Lantaran itu satu acara anjuran GalUP Singapore berharap dapat membincangkan isu-isu tersebut secara terbuka.

Acara bertajuk Spilling The Tea on Breast Cancer yang berlangsung 5 Oktober di Catapult, Rochester Park dekat Buona Vista sempena bulan kesedaran terhadap barah buah dada, ia bermatlamat perkongsian pengalaman oleh bekas pesakit barah serta isu berkaitan penyakit itu dalam konteks di tempat kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat aQieve Pte Ltd, Cik Noor Laila Shaik Awab atau dikenali sebagai Laila White, yang juga pengasas GalUP SG, berkata menerusi acara itu, orang ramai dapat mengambil pengajaran daripada kisah-kisah keberanian di ambang ketakutan.

“Kami mahu membongkar mitos dan tabu yang wujud apabila berbincang tentang kesihatan, terutamanya dalam konteks budaya Asia ini,” tambahnya.

Barah buah dada merupakan antara barah utama yang sering menjejas wanita di Asia.

Antara cabaran utama yang dihadapi golongan tersebut adalah stigma yang sering menghambat mereka daripada menjalani pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

“Barah buah dada bukanlah satu hukuman mati,” kata Cik Laila.

“Dengan pengesanan dan rawatan awal, tetap ada harapan untuk sembuh.”

Acara itu juga berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap barah buah dada dalam kalangan kaum Adam yang sering terlepas pandang.

Ia akan mengundang beberapa tetamu termasuk Cik Noor Aini Shaik Awab, CEO Pengurusan Aset Islam, Hong Leong; dan Encik James Andrade, Ketua Institut Kepimpinan Eksekutif dan Inovasi, Catapult.

Bekas pesakit barah dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat turut diundang untuk berkongsi pengalaman mereka sementara hadirin menikmati jamuan minum lewat petang.

Menyentuh tentang isu barah dalam konteks tempat kerja, Encik Andrade berkata zaman ini memerlukan kepimpinan yang berunsur empati sama ada ia melibatkan penyakit kronik atau melibatkan pekerja yang memerlukan waktu lapang untuk menjaga orang tersayang.

“Keadaan seperti ini memerlukan pemimpin bukan sekadar menawarkan huraian malah menawarkan waktu untuk mendengar keprihatinan pekerja mereka tanpa menghukum mereka,” katanya.

Orang ramai yang berminat menghadiri acara ini boleh mendapatkan tiket menerusi laman web Eventbrite.

Setiap tiket berharga $65 dan boleh ditempah menerusi PayNow sahaja.

Sebahagian pendapatan daripada penjualan tiket akan disalurkan antaranya kepada Yayasan Barah Buah Dada (BCF).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg