Semakin ramai kanak-kanak dan remaja di Singapura kian aktif dalam sukan kompetitif.

Namun, pakar ortopedik memberi amaran tekanan untuk mengejar kejayaan sejak usia muda boleh membawa kesan serius terhadap kesihatan tulang dan sendi mereka.

Pakar Bedah Ortopedik Perunding, dari ACME Orthopaedics, Dr Zackary Chua, berkata budaya “mula dari kecil” menyebabkan ramai ibu bapa mendaftarkan anak mereka ke latihan intensif lebih awal demi mengejar biasiswa sukan, laluan elit dan kejayaan jangka panjang.

Menurut beliau, sekitar 70 peratus remaja berusia 13 hingga 19 tahun di Singapura kini terbabit dalam sukan kompetitif.

“Di sebalik pingat dan trofi, kami melihat peningkatan kecederaan yang sebenarnya boleh dicegah, termasuk kecederaan plat pertumbuhan, keretakan tekanan dan kerosakan sendi akibat penggunaan berlebihan,” katanya.

Beliau menjelaskan tulang kanak-kanak masih dalam proses perkembangan dan plat pertumbuhan mereka jauh lebih lemah berbanding tulang orang dewasa.

“Kanak-kanak memang fleksibel, tetapi itu tidak bermaksud kecederaan sukan mereka tidak serius,” katanya.

Menurut Dr Chua, latihan berimpak tinggi secara berulang terutama sebelum usia 14 tahun boleh menyebabkan kecederaan jangka panjang jika tidak dirawat dengan betul.

Data menunjukkan sebanyak 2,810 kecederaan ortopedik melibatkan kanak-kanak direkodkan di Singapura pada 2019, dengan hampir satu perempat daripadanya berkaitan kegiatan sukan.

Beliau berkata kecederaan kanak-kanak juga merupakan antara punca utama kematian bagi golongan berusia lima hingga 18 tahun.

“Ini menunjukkan perlunya strategi pencegahan yang lebih baik terutama dalam kegiatan sukan dan fizikal,” katanya.

Dr Chua berkata cara pemikiran ‘no pain, no gain’ (tiada keuntungan tanpa pengorbanan) menyebabkan ramai ibu bapa dan jurulatih menganggap kesakitan berterusan sebagai ‘sakit membesar’ biasa.

Akibatnya, ramai kanak-kanak terus dipaksa berlatih walaupun mengalami kecederaan.

“Kami kini melihat kes keletihan melampau seawal usia 15 tahun, malah ada yang mengalami kemerosotan sendi lebih awal daripada sepatutnya akibat kecederaan penggunaan berlebihan,” katanya.

Beliau menegaskan beberapa tanda amaran tidak boleh dipandang ringan seperti bengkak melebihi 48 jam, tempang lebih dua minggu, sendi terkunci atau sakit yang tidak hilang walaupun sudah berehat.

“Pemeriksaan awal dan imbasan boleh mengelakkan kerosakan jangka panjang,” katanya.

Dr Chua turut menolak beberapa salah tanggapan biasa ibu bapa mengenai kecederaan sukan kanak-kanak.

Antaranya ialah kepercayaan bahawa latihan kekuatan berbahaya untuk kanak-kanak.

Menurut beliau, latihan kekuatan yang dipantau dengan betul sebenarnya membantu meningkatkan kawalan neuromuskular, iaitu keupayaan otak, saraf dan otot bekerja secara selaras untuk mengawal pergerakan badan dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan.

Beliau menambah, penggunaan peralatan perlindungan seperti topi keledar dan pelindung badan tidak menjamin kanak-kanak bebas daripada kecederaan.

“Peralatan perlindungan hanya mengurangkan risiko. Teknik permainan yang betul, pengawasan dan tahap kecergasan masih sangat penting,” katanya.

Selain itu, beliau berkata ramai ibu bapa percaya lebih banyak latihan bermaksud prestasi lebih baik dan kurang kecederaan.

Namun menurutnya, latihan secara berlebihan dan pengkhususan awal dalam satu sukan sebenarnya meningkatkan risiko berlakunya kecederaan pada sesetengah bahagian tubuh ekoran penggunaan berlebihan, tekanan mental dan keletihan.

“Kanak-kanak digalakkan mencuba pelbagai jenis sukan dan mempunyai hari rehat yang mencukupi,” katanya.

Dr Chua berkata pengkhususan awal dalam satu sukan boleh dilakukan dengan selamat, tetapi perlu dipantau rapi oleh jurulatih atau ahli fisioterapi berpengalaman.

“Secara umum, ia lebih sesuai untuk kanak-kanak sekolah rendah tahap atas dan lebih berusia kerana setiap kanak-kanak berkembang pada kadar berbeza,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pemanasan badan dan regangan sebelum bersukan.

“Ramai anggap kanak-kanak tidak perlukan pemanasan badan kerana mereka aktif dan fleksibel.

“Tetapi program pemanasan neuromuskular terbukti membantu mengurangkan kecederaan sukan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Chua berkata ibu bapa perlu lebih peka terhadap tanda kecederaan serius pada anak mereka.

Antara tanda yang memerlukan pemeriksaan doktor termasuk sakit teruk, bengkak serius, ketidakupayaan berjalan atau menggerakkan anggota badan serta kesakitan yang mengganggu tidur.

Beliau berkata sesetengah sukan juga memerlukan lebih banyak perhatian pada tulang yang sedang membesar.

Antaranya ialah gimnastik, bola sepak, bola keranjang, besbol, ragbi dan sukan yang melibatkan lompatan atau hentakan berulang.

Menurut Dr Chua, pencegahan sebenarnya mudah tetapi sering diabaikan.

Antara langkah penting termasuk melakukan pemanasan badan secara tersusun, memastikan satu hingga dua hari rehat seminggu, mengamalkan latihan silang untuk mengurangkan tekanan berulang serta menjaga pemakanan termasuk pengambilan kalsium dan vitamin D.

“Kesihatan jangka panjang anak lebih penting daripada mengejar kemenangan awal,” katanya.