Osteoartritis Bahu: Takrif dan Kadar Kejadian
Osteoartritis (OA) merupakan sejenis artritis yang paling biasa berlaku di Singapura.
Ia menjadi salah satu punca utama kecacatan dalam kalangan orang dewasa di negara ini.
Osteoartritis berlaku apabila rawan dan tisu sendi lain rosak atau mengalami perubahan struktur.
Keadaan itu bukan semata-mata disebabkan oleh kehausan akibat penggunaan, tetapi berpunca daripada perubahan secara bertahap dalam tisu yang akhirnya mencetus kerosakan dari semasa ke semasa.
Walaupun data khusus mengenai osteoartritis bahu di Singapura adalah terhad, kajian imej radiograf di Amerika Syarikat menunjukkan osteoartritis bahu menjejas sehingga 32.8 peratus pesakit berumur lebih 60 tahun.
Secara umum, terdapat dua kategori utama artritis bahu – artritis keradangan dan artritis kemerosotan atau degeneratif.
Artritis keradangan berlaku apabila sistem imun menyerang sendi, menyebabkan keradangan dan bengkak.
Jenis yang biasa termasuk artritis reumatoid, artritis psoriatik dan ankylosing spondylitis (penyakit artritis yang menghasilkan kekakuan dan pembongkokan spina).
Osteoartritis degeneratif pula berpunca daripada kehausan sendi yang berpanjangan dan tidak dirawat, sering kali akibat pergerakan berulang seperti kerja buruh yang melibatkan mengangkat barang ke atas kepala atau teknik sukan yang tidak betul.
Keadaan itu boleh mengakibatkan kecederaan seperti koyakan rawan, yang boleh menjadi lebih teruk dari masa ke masa.
Pakar reumatologi biasanya merawat artritis keradangan, yang sering memerlukan ubat seperti antibodi monoklonal untuk memperlahankan perkembangan penyakit.
Pada masa lalu, artritis reumatoid biasanya kerap dirawat melalui pembedahan.
Namun kemajuan rawatan perubatan kini membolehkan ia dikawal dengan berkesan menggunakan ubat sahaja.
Sementara itu, pakar ortopedik biasanya merawat kes osteoartritis degeneratif, terutama apabila pesakit dirujuk oleh pakar reumatologi selepas semua pilihan rawatan ubat telah digunakan.
Dalam keadaan sebegini, pakar ortopedik akan menilai tahap penyakit dan mengusulkan rawatan bersesuaian.
Ia termasuk daripada pengurusan secara konservatif sehinggalah kepada rawatan menggantikan sendi sepenuhnya yang bergantung pada tahap keterukan dan keperluan individu.
Memandangkan pesakit sering sukar membezakan antara artritis keradangan dan artritis degeneratif atau menentukan sama ada perlu berjumpa pakar reumatologi atau pakar ortopedik terlebih dahulu, kededua pakar itu biasanya bekerjasama rapat dalam merawat keadaan seperti osteoartritis.
Kerjasama itu bertujuan memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik, mencegah kerosakan sendi yang lebih teruk dan meningkatkan mutu hidup mereka secara keseluruhan.
Osteoartritis bahu menjejas hampir 33 peratus pesakit berumur lebih 60 tahun.
Namun, ia juga boleh berlaku dalam kalangan pesakit lebih muda, iaitu pada usia 40-an, yang dikenali sebagai osteoartritis awal.
Osteoartritis awal merujuk pada kerosakan sendi yang teruk sebelum usia 50 tahun.
Walaupun osteoartritis awal atau osteoartritis pasca-trauma (PTOA) boleh berkembang seawal satu hingga dua tahun selepas kecederaan yang tidak dirawat, ia kerap berlaku pada pesakit berusia lewat 30-an hingga 40-an.
Osteoartritis bahu tidak berapa kerap berlaku berbanding osteoartritis lutut yang menjejas seorang daripada lima individu berusia 60 tahun ke atas, namun ia boleh memberi kesan besar pada mutu hidup.
Sakit sendi: Sakit yang berterusan dan semakin teruk ketika menggerakkan sendi atau selepas tempoh tidak aktif. Sakit boleh dirasai di bahagian atas atau belakang bahu, dan boleh merebak ke bawah lengan hingga ke pergelangan tangan.
Pergerakan terhad: Kekakuan sendi menyebabkan kesukaran menggerakkan lengan sepenuhnya, menjadikan tugas harian seperti memakai pakaian, mandi, atau mencapai barang menjadi sukar. Dalam kes lebih teruk, kelemahan pada otot bahu boleh berlaku sehingga menjadikan tugas ini mustahil dilakukan.
Bunyi ‘crepitus’: Bunyi ‘pop’, klik atau retakan ketika menggerakkan bahu akibat permukaan sendi yang tidak lagi rata kerana haus atau kecederaan.
Tiada punca tunggal yang diketahui.
Namun, ia terkait dengan artritis keradangan seperti artritis reumatoid atau kerosakan sendi yang tidak dirawat akibat penggunaan berlebihan.
Ini boleh berlaku akibat pekerjaan yang memerlukan kegiatan fizikal berat, kerja buruh, atau kecederaan sukan yang mengganggu mekanik sendi.
Dalam pengalaman saya, kira-kira 5 peratus pesakit mengalami PTOA bahu akibat penggunaan sendi yang berulang dan tidak betul seperti kerap mengangkat barang ke atas kepala atau kecederaan sukan tidak dirawat.
Keadaan ini amat biasa dalam kalangan individu yang melakukan kegiatan fizikal intensif tanpa teknik, latihan, atau persediaan yang betul.
Ini meningkatkan risiko kecederaan yang akhirnya membawa kepada osteoartritis bahu, termasuk:
Koyakan otot pemutar bahu atau ‘rotator cuff’: Kecederaan ini boleh menyebabkan sejenis artritis dikenali sebagai atrofi rotator cuff atau pengecutan atau kelemahan otot-otot pemutar bahu, yang boleh menjejas sehingga 25 peratus individu berusia 60 tahun ke atas yang mengalami koyakan otot pemutar bahu sepenuhnya.
Bentuk artritis bahu yang kompleks ini berlaku apabila otot pemutar bahu merosot sehingga permukaan licin kepala humerus tulang lengan atas (humerus) hilang perlindungan daripada geseran terhadap tulang dan ligamen, menyebabkan kekakuan, kesakitan, dan mengehad pergerakan.
Patah tulang pasca-trauma: Patah bahu, terutama yang melibatkan permukaan sendi yang dilitupi rawan, boleh menyebabkan penipisan rawan dan ketidakstabilan sendi.
Penyembuhan tulang yang tidak betul atau tidak lengkap juga boleh menyebabkan ketidaksejajaran, mengubah mekanik sendi dan mempercepat kerosakan rawan.
Nekrosis avaskuler: Keadaan ini berlaku apabila tisu tulang mati akibat bekalan darah yang tidak mencukupi.
Trauma seperti terkehel bahu boleh merosakkan saluran darah berhampiran, mengurangkan aliran darah ke tulang.
Lama-kelamaan, kehilangan bekalan darah boleh menyebabkan tulang terjejas dan berubah bentuk sekali gus membawa kepada artritis teruk.
Kurang kesedaran: Sesetengah kecederaan bahu seperti koyakan penuh otot pemutar bahu boleh kekal tanpa gejala selama bertahun-tahun.
Namun, apabila seseorang meningkat usia atau menjadi lebih aktif secara fizikal, kecederaan yang tidak dirawat itu boleh berkembang menjadi osteoartritis, menyebabkan kesakitan, had pergerakan, dan gangguan fungsi bahu.
Gaya hidup sibuk: Pesakit mungkin menangguhkan pemeriksaan perubatan kerana komitmen kerja, sekolah atau urusan peribadi.
Anggap masalah sendi tidak serius: Oleh kerana masalah sendi tidak mengancam nyawa, pesakit dan atlet mungkin menganggapnya sebagai isu kecil yang tidak memerlukan rawatan segera.
Urus kesakitan di rumah: Ramai yang mengambil ubat penahan sakit dan menggunakan pek ais, yang sering memberi kelegaan sementara, sehingga mereka percaya rawatan perubatan tidak diperlukan.
Selain itu, doktor perubatan am (GP) cenderung memberi tumpuan pada pengesanan patah tulang apabila pesakit datang dengan kecederaan sendi.
Maka beliau mungkin terlepas pandang kecederaan yang tidak dapat dilihat dengan segera melalui pemeriksaan fizikal atau imbasan x-ray.
Jika tiada patah tulang dikesan pada x-ray, pesakit kerap dibenarkan pulang dengan ubat penahan sakit dan dinasihatkan berehat.
Namun, tidak semua kecederaan sendi melibatkan patah tulang; keadaan seperti kecederaan ligamen atau koyakan otot pemutar bahu tidak kelihatan pada x-ray dan memerlukan pemeriksaan lanjut untuk diagnosis dan rawatan tepat.
Pesakit harus bertemu pakar jika mereka terus mengalami bengkak atau sakit (terutama ketika mengangkat atau mencapai barang di atas kepala) dan had pergerakan yang tidak pulih selepas beberapa hari.
Diagnosis dan rawatan awal boleh membantu mencegah perkembangan osteoartritis dan mengurangkan keperluan untuk pembedahan invasif pada masa hadapan.
Osteoartritis bahu didiagnosis melalui gabungan pemeriksaan fizikal dan ujian pengimejan:
Pemeriksaan fizikal: Doktor akan menilai fungsi bahu, julat pergerakan, tahap kesakitan dan kewujudan bengkak untuk menentukan jenis dan tahap kecederaan sendi.
X-ray: Untuk mengesan patah tulang atau penyempitan ruang sendi akibat kerosakan rawan bahu, yang biasa berlaku dalam kes osteoartritis bahu.
Imbasan MRI: Untuk mengesan kerosakan tisu lembut seperti ulser rawan atau koyakan ligamen dan rawan.
Matlamat utama pakar bedah ortopedik dalam merawat osteoartritis bahu adalah untuk mengekalkan fungsi sendi.
Bagi pesakit dengan osteoartritis ringan seperti koyakan kecil otot pemutar bahu atau haus rawan secara umum, pesakit yang tidak aktif secara fizikal, dan warga emas yang terlalu berisiko untuk menjalani pembedahan, rawatan tanpa pembedahan mungkin disyorkan, antaranya:
Fisioterapi: Membantu memperbaiki biomekanik bagi mengelakkan atau mencegah pergerakan salah yang menyebabkan kecederaan dan membawa kepada osteoartritis bahu.
Suntikan larutan protein autologus: Berkesan menguruskan kesakitan sendi dan keradangan, walaupun keberkesanannya dalam memulihkan atau menjana semula rawan masih belum dapat dipastikan.
Tampalan gel peptida serapan kulit: Direka untuk memberi isyarat pada sel badan bagi membaiki rawan dan memperlahankan kemerosotan tisu.
Walaupun penyelidikan masih dijalankan, ramai pesakit melaporkan hasil positif.
Namun, dalam kes kemerosotan sendi sederhana hingga teruk, pembedahan sering menjadi pilihan utama. Secara umumnya, pembedahan terbahagi kepada tiga kategori:
Artroskopi: Kaedah penggunaan endoskopi untuk meneliti sendi ini sesuai untuk individu aktif dengan kerosakan sendi sederhana.
Prosedur invasif minimum itu membuang tisu ‘longgar’ atau rosak yang mungkin mengganggu sendi.
Selain itu, bahan biologi atau rangka rawan buatan boleh dimasukkan ke rawan sedia ada untuk menggalakkan pertumbuhan semula.
Ganti bahu: Disyorkan untuk kes osteoartritis lebih teruk. Pembedahan itu terbahagi kepada dua jenis:
a. Ganti bahu anatomi
Sesuai untuk pesakit yang masih mempunyai otot pemutar bahu yang utuh. Prosedur itu menggantikan kepala humerus dan soket glenoid yang rosak bagi memulihkan semula anatomi serta fungsi semula jadi bahu.
b. Ganti bahu terbalik
Digunakan apabila otot pemutar bahu mengalami kerosakan teruk atau tidak lagi berfungsi.
Prosedur itu menukar kedudukan kepala humerus dan soket glenoid – kepala humerus tiruan dilekatkan pada tulang belikat, manakala soket tiruan dipasang pada tulang lengan atas bagi membolehkan otot deltoid mengambil alih fungsi pemutar bahu untuk meningkatkan kestabilan serta julat pergerakan sendi.
Walaupun pembedahan mengganti bahu semakin meluas berikutan kemajuan teknik serta penambahbaikan implan dan prostetik, ia tetap dianggap sebagai prosedur pembedahan yang kompleks dan hanya wajar dilakukan oleh pakar bedah ortopedik dengan kepakaran khusus dalam bidang itu.
Selepas pembedahan osteoartritis, pematuhan pada protokol pemulihan dan rehabilitasi amat penting.
Walaupun pakar bedah dapat membaiki sendi yang rosak, pesakit mesti berehat pada bahagian yang dirawat mengikut tempoh yang disyorkan kerana kembali aktif atau bersukan terlalu awal hanya akan meningkatkan risiko kecederaan berulang.
Bagi prosedur lebih kompleks seperti pembedahan penggantian bahu terbalik, tempoh pemulihan boleh mengambil masa sehingga empat bulan atau lebih lama.
Memandangkan tempoh pemulihan yang panjang, pesakit perlu mengikut pelan rehabilitasi yang ketat dan mungkin merangkumi sehingga enam bulan fisioterapi khusus.
Walaupun ia mungkin kelihatan membosankan atau memakan masa, sesi fisioterapi itu memainkan peranan penting dalam memulihkan pergerakan, membina semula kekuatan dan memastikan kecederaan yang menyebabkan osteoartritis bahu tidak berulang.
Untuk mengurangkan risiko mengalami osteoartritis bahu, saya mengesyorkan mengamalkan gaya hidup berikut:
Kekalkan pemakanan sihat: Pemilihan makanan yang tidak baik boleh menyumbang kepada keradangan kronik dan mempercepat kemerosotan rawan.
Untuk menyokong kesihatan sendi, pertimbangkan untuk mengambil suplemen seperti halia dan kunyit yang diketahui mempunyai sifat antiradang, serta kolagen yang membantu mengekalkan kesihatan rawan.
Kekal aktif: Jangan menghalang diri anda daripada kekal aktif.
Jika tidak pasti senaman apakah yang sesuai untuk rutin harian, saya mengesyorkan kegiatan berimpak rendah seperti berenang, taici dan berbasikal pegun kerana ia mengurangkan tekanan pada sendi serta mengekalkan kelenturan dan pergerakannya.
Saya turut menyarankan senaman kekuatan kerana membina otot di sekitar bahu dapat meningkatkan kestabilan sendi dan mengurangkan risiko kecederaan yang boleh membawa kepada osteoartritis bahu.
Amal teknik sukan yang betul: Walaupun menyeronokkan untuk mencuba sukan baru, mereka yang aktif hanya pada hujung minggu harus mempelajari teknik sukan yang betul sebelum memulakan kegiatan fizikal.
Ini dapat mengurangkan tekanan pada sendi, meningkatkan keseimbangan dan koordinasi, serta membolehkan pergerakan lebih terkawal, sekali gus mengurangkan risiko terseliuh, koyak atau kecederaan sendi lain yang boleh menyebabkan osteoartritis bahu.
Penulis Pakar Perunding Bedah Ortopedik dari ACME Orthopaedics.
“
Namun, tidak semua kecederaan sendi melibatkan patah tulang; keadaan seperti kecederaan ligamen atau koyakan otot pemutar bahu tidak kelihatan pada x-ray dan memerlukan pemeriksaan lanjut untuk diagnosis dan rawatan yang tepat. Pesakit harus bertemu pakar jika mereka terus mengalami bengkak atau sakit (terutama ketika mengangkat atau mencapai barang di atas kepala) dan had pergerakan yang tidak pulih selepas beberapa hari.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg