Uterus, juga dikenali sebagai rahim, adalah tempat bayi dalam kandungan berkembang dan membesar. Barah boleh berlaku di pelbagai bahagian rahim. Apabila barah timbul daripada lapisan rahim, ini dipanggil barah endometrium (selaput dinding rahim)
Ini adalah jenis barah yang paling biasa, menyumbang 95 peratus daripada semua barah rahim.
Kadang-kadang barah mungkin terjadi di bahagian dinding otot rahim, jenis barah ini dipanggil sarkoma – sejenis barah yang tumbuh di dalam tulang dan tisu lembut, yang jarang berlaku.
Kes barah endometrium dilaporkan meningkat di Singapura, mencerminkan kenaikan di peringkat sejagat bagi kes barah endometrium terutama di negara berpendapatan tinggi.
Lebih kurang 600 wanita didiagnosis dengan barah endometrium di Singapura setiap tahun – naik dua hingga 3 kali ganda dari tiga dekad lalu.
Ia kini telah mengatasi barah ovari untuk menjadi barah ginekologi paling berleluasa di Singapura.
Adakah faktor genetik main peranan?
Peningkatan insiden barah endometrium berkemungkinan besar disebabkan oleh peningkatan kes obesiti dan sindrom metabolik (kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi) dalam masyarakat.
Obesiti adalah faktor penting dalam barah endometrium, begitu juga wanita yang tidak mempunyai anak, kerana barah ini dianggap berpunca daripada ketidakseimbangan hormon.
Hanya 3 peratus daripada barah endometrium berpunca daripada keturunan.
(i) Ketidakseimbangan hormon: Dua hormon utama yang dihasilkan oleh ovari ialah estrogen dan progesteron.
Apabila terdapat peningkatan estrogen berbanding dengan progesteron, ini boleh menyebabkan pertumbuhan berlebihan lapisan dalam rahim yang boleh bertukar menjadi barah.
Lemak badan kita yang berlebihan boleh menghasilkan estrogen. Justeru, obesiti adalah faktor risiko yang ketara bagi barah endometrium.
Wanita yang tidak mempunyai anak juga berdepan dengan risiko meningkat kerana tahap progesteron yang tinggi semasa hamil melindunginya daripada barah endometrium.
Progesteron adalah salah satu hormon wanita yang diserap oleh sistem reproduktif wanita iaitu ovari atau kilang telur.
Ia adalah salah satu hormon yang akan turun naik sendiri bagi mengawal proses kitaran haid dan kesuburan dalam kalangan wanita.
Risiko juga meningkat dalam rawatan perubatan tertentu berkaitan ketidakseimbangan hormon.
Ini termasuk sindrom ovari polikistik, wanita yang mengambil tamoxifen (ubat yang biasa digunakan dalam rawatan barah buah dada untuk menghalang estrogen pada tisu payudara tetapi bertindak seperti estrogen pada rahim) dan penggunaan terapi penggantian hormon yang mengandungi estrogen tetapi bukan progesteron.
(ii) Faktor Baka: Sesetengah wanita telah mewarisi baka yang rosak (bermutasi) daripada ibu bapa mereka yang boleh meningkatkan risiko endometrium.
Sindrom Lynch adalah gangguan yang diwarisi akibat kerosakan (mutasi) baka yang dikenali sebagai baka MMR (mis-match repair) atau pembaikan tidak sepadan.
Meskipun Sindrom Lynch menyumbang hanya 3 peratus daripada semua kes barah endometrium, adalah penting untuk mengenal pasti pesakit ini kerana mereka juga berisiko menghidap barah lain seperti barah kolon dan ovari.
Selain itu, ia boleh menjejas cara kita merawat barah endometrium. Barah endometrium yang dikaitkan dengan Sindrom Lynch begitu responsif kepada rawatan imunoterapi.
Wanita yang menghidap barah endometrium boleh disaring untuk Sindrom Lynch berdasarkan sejarah keluarga dan menguj contoh tumor untuk mengesan mutasi baka MMR.
Wanita yang disaring positif boleh memilih untuk menjalani ujian genetik (ujian darah) untuk menentukan sifat keturunan barah.
Ujian genetik membolehkan pengecaman wanita yang mempunyai Sindrom Lynch dan merupakan cara yang sangat berkesan untuk mengurangkan risiko barah dalam kalangan wanita dan juga anggota keluarga mereka.
Barah endometrium membawa maut?
Walaupun ia adalah barah ginekologi yang sangat biasa dan gejala paling biasa ialah pendarahan atau keputihan yang tidak normal dan ini tanda-tanda kemunculan lebih awal. Oleh itu, kebanyakan barah endometrium boleh dikesan di peringkat awal dan tidak mungkin membawa maut.
Dengan rawatan yang sesuai, penyembuhan untuk peringkat awal barah endometrium adalah tinggi pada kadar 90 peratus.
Barah ini paling kerap menyerang wanita berumur 50 tahun ke atas. Pendarahan atau pengeluaran cecaiar dari faraj selepas putus haid adalah tidak normal.
Ia adalah salah satu tanda utama barah endometrium dan pesakit harus mendapatkan penilaian perubatan daripada pakar sakit puan.
Kami mendapati semakin banyak barah endometrium dalam kalangan wanita lebih muda. Dalam kalangan wanita praputus haid dan pendarahan haid juga ternyata lebih banyak daripada biasa.
Biasanya 90 peratus daripada barah endometrium ditemui lebih awal dan boleh dibedah.
Rawatan utama bagi barah yang dikesan awal adalah pembedahan, yang melibatkan pembuangan rahim, pangkal rahim, ovari, tiub fallopio dan pembengkakan limfa di sekeliling rahim.
Pembedahan boleh dijalankan secara terbuka atau menebuk lubang.
Dua tujuan pembedahan:
- Membuang barah
- Menyediakan maklumat penting tentang penyebaran barah ke organ lain (iaitu menentukan peringkat barah)
Bagi kebanyakan pesakit barah endometrium awal, pembedahan adalah satu-satunya rawatan yang diperlukan.
Bagi pesakit yang mempunyai risiko barah berulang yang lebih tinggi, rawatan tambahan seperti radioterapi, kemoterapi atau kedua-duanya, mungkin diperlukan untuk membantu mengurangkan risiko barah berulang.
Dengan rawatan yang sesuai, kadar penyembuhan untuk barah endometrium awal adalah sangat baik.
Sekitar 10 peratus daripada barah endometrium pula adalah di peringkat lanjut atau metastatik (barah telah merebak ke bahagian lain badan) apabila barah kali pertama dikesan dan tidak sesuai untuk pembedahan.
Matlamat rawatan adalah untuk mengawal barah dan meringankan gejala yang disebabkan oleh barah dan untuk melanjutkan kelangsungan hidup supaya pesakit boleh hidup lebih baik dan lebih lama.
Selama bertahun-tahun, kemoterapi adalah satu-satunya rawatan yang ada. Rawatan ini mempunyai batasan dari segi keberkesanan dan penerimaan kesan sampingannya.
Kemajuan yang ketara telah dicapai dalam rawatan endometrium metastatik atau barah di peringkat lanjut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Rawatan kini lebih tepat. Setiap tumor adalah unik. Ujian ke atas tumor untuk mengenal pasti perubahan dalam baka (mutasi) atau protein dalam sel barah yang merangsang pertumbuhan dalam barah tertentu boleh dilakukan.
Pakar onkologi kemudian boleh memadankan ubat yang sesuai kepada pesakit. Rawatan jenis ini dikenali sebagai terapi ubat sasaran barah. Terapi hormon mungkin membantu dalam barah yang bergantung kepada hormon untuk pertumbuhannya.
Ubat yang menyasarkan HER-2, protein yang merangsang pertumbuhan barah, telah membuahkan hasil yang menjanjikan dalam rawatan barah endometrium yang pertumbuhan barahnya didorong oleh protein ini.
Rawatan baru yang paling menarik setakat ini ialah Imunoterapi. Ia telah dipuji sebagai pengubah keadaan dan telah merubah cara kami merawat barah endometrium.
Imunoterapi adalah rawatan inovatif yang membuka kunci sistem ketahanan semula jadi tubuh untuk mengenali dan menghapuskan barah.
Rawatan jenis ini paling berkesan dalam barah endometrium yang melindungi mutasi dalam baka MMR (Pembaikan tidak sepadan), yang boleh dikenal pasti melalui ujian tumor.
Tumor ini mempunyai kesukaran untuk membaiki kesilapan DNA, yang seterusnya menjana bilangan besar mutasi yang menjadikannya berbeza daripada sel sihat biasa badan kita, membolehkan sistem imun kita mengenali mereka dengan mudah sebagai “penceroboh asing”.
Apabila kami memberikan rawatan imunoterapi, ia meningkatkan keupayaan sistem imun untuk menghapuskan barah ini. Satu daripada setiap empat barah endometrium mempunyai protein MMR yang rosak, termasuk wanita dengan sindrom Lynch.
Bagi kebanyakan barah endometrium tanpa mutasi MMR, imunoterapi sahaja tidak akan berfungsi dengan baik. Kita boleh meningkatkan keberkesanan imunoterapi dengan memberikan bersamanya ubat antibarah lain seperti terapi yang disasarkan terhadap barah barah endometrium atau kemoterapi.
Kajian menunjukkan berbanding kemoterapi, rawatan berasaskan imunoterapi boleh membantu mengawal barah dalam tempoh lebih lama bagi wanita yang mengalami barah endometrium metastatik.
Bagaimanapun, imunoterapi tidak berfungsi bagi setiap pesakit. Tetapi apabila ia berfungsi, hasilnya boleh menjadi sangat menakjubkan.
Salah satu perkara yang paling mengujakan dan menarik tentang imunoterapi ialah barah boleh lenyap menerusi imbasan dan kanser ini tidak muncul selama bertahun-tahun.
Ini kerana imunoterapi boleh mengajar sistem imun kita supaya ‘mengingati’ barah. ‘Memori imun’ ini boleh bertahan selama bertahun-tahun, membawa kepada pengurangan yang bertahan lama dan berterusan walaupun selepas rawatan selesai.
Imunoterapi adalah rawatan infusi singkat yang diberikan sekali setiap beberapa minggu di klinik pesakit luar. Tidak seperti kemoterapi, kesan sampingan biasanya ringan dan tidak digeruni berbanding kesan sampingan kemoterapi seperti keguguran rambut dan ketahanan tubuh yang rendah.
Justeru, ia kurang berkemungkinan menyebabkan gangguan kepada kehidupan seharian pesakit. Ramai wanita terus bekerja, melancong, menjaga anak dan cucu mereka semasa menjalani rawatan sedemikian.
Pada masa lalu, prospek wanita yang mengidap endometrium metastatik mungkin kelihatan suram. Dengan kemajuan rawatan baru seperti imunoterapi, barah ini boleh dikawal lebih lama sambil membolehkan pesakit mengekalkan mutu hidup yang baik.
Kawalan barah yang mampu bertahan bertahun-tahun boleh dicapai dalam sesetengah pesakit, memberikan harapan bahawa pesakit mungkin boleh sembuh dan barah endometrium metastatik tidak semestinya seperti hukuman mati.
Penulis Pakar Perunding Kanan Perubatan Onkologi di OncoCare Cancer Centre


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg