Angin ahmar boleh berlaku apabila saluran darah ke otak tiba-tiba terganggu, disebabkan kekurangan aliran darah, atau saluran darah yang tersumbat atau meletus.
Ini mengakibatkan sel-sel otak mati dan boleh membawa kepada kecacatan atau kelumpuhan. Sama ada kelumpuhan ini berkekalan atau tidak bergantung pada bahagian otak yang terlibat.
Sesetengah orang pula boleh mengalami gejala angin ahmar yang hanya berlangsung kurang dari 30 minit.
Ini dikenali sebagai strok mini. Ia terjadi apabila bekalan darah ke otak tergendala hanya buat seketika, disebabkan oleh pembekuan atau sumbatan darah sementara.
Angin ahmar sering dianggap sebagai penyakit yang menjejas kaum warga senja sahaja. Namun, ia boleh terjadi kepada semua, tidak kira usia. Di Singapura, angin ahmar adalah penyebab utama keempat bagi kematian dan menyumbang kepada 6 peratus kes kematian pada tahun 2020.
• Kelemahan yang mendadak dan/atau kekebasan dari satu sisi badan
• Penglihatan berganda secara tiba-tiba atau gangguan penglihatan yang lain
• Kekeliruan atau pening secara tiba-tiba, atau sakit kepala yang sangat teruk
• Sensitiviti kepada cahaya secara tiba-tiba
• Kesusahan untuk bertutur, menelan atau bercakap
• Kehilangan keseimbangan atau koordinasi badan
• Kehilangan kesedaran
• Kehilangan memori atau perhatian
Jika seseorang mengalami gejala tersebut, mereka harus dibawa segera ke hospital. Ini kerana terapi untuk memusnahkan bekuan darah boleh diberi dalam tempoh 4.5 jam daripada ketibaan gejala-gejala angin ahmar.
Menghapuskan bekuan darah dalam masa 24 jam dapat mengurangkan kerosakan otak dengan ketara, berbanding dengan rawatan yang dilambatkan.
Saluran darah kepada otak boleh tersumbat apabila deposit kolesterol melekat pada dinding saluran darah, dan menyebabkan pembentukan gumpalan. Ini boleh menjejas aliran darah ke otak, dan menyebabkan gejala-gejala angin ahmar tersebut.
Selain itu, ada pula jenis angin ahmar yang disebabkan oleh saluran darah di otak meletus kerana penyakit seperti darah tinggi atau aneurisme otak.
Faktor penting yang boleh menyebabkan angin ahmar adalah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, minuman keras ataupun merokok, kadar kolesterol yang tinggi dan penyakit kencing manis.
Faktor risiko lain pula termasuk peningkatan usia, mengalami sejarah strok mini, sejarah keluarga yang mempunyai angin ahmar ataupun keadaan-keadaan genetik atau kongenital.
Disebabkan batasan aktiviti seharian dan pengurangan keupayaan untuk melaksanakan tugas sendiri, seseorang pesakit mungkin mengalami perasaan sedih yang, jika keterlaluan atau berterusan, boleh menyebabkan kemurungan.
Penyakit angin ahmar boleh dicegah dengan mengambil langkah tepat, seperti mengawal tekanan darah tinggi, kadar gula dan kolesterol ataupun mengawal kadar denyutan jantung yang tidak teratur.
Ini semua mampu dikawal dengan pemakanan ubat-ubat yang dinasihatkan oleh doktor anda. Pengubahsuaian gaya hidup pula merangkumi pengurangan berat badan, kerap melakukan senaman, dan tidur bermutu selama 6 hingga 8 jam. Langkah-langkah tersebut boleh mengurangkan lagi risiko angin ahmar seseorang.
Penulis adalah pakar neurologi, Neurology International Clinic. Rencana ini dipetik daripada buku, ‘Hikmah Senja’ – nasihat panduan tentang penuaan terbitan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg