Z, seorang pelajar universiti berusia 19 tahun yang aktif bermain bola sepak, pada awalnya menyangka sakit perut yang dialaminya berpunca daripada latihan berlari yang berlebihan.
Sakit itu bermula di sekitar pusat, tetapi tidak lama kemudian berpindah ke bahagian kanan bawah perut dan semakin mencengkam.
Setiap kali Z berjalan atau batuk, kesakitannya bertambah kuat, menandakan sesuatu yang jauh lebih serius daripada sekadar keletihan otot. Z juga mula hilang selera makan, berasa loya dan tidak lama kemudian demam.
Keadaannya yang semakin membimbangkan menyebabkan beliau dibawa ke Jabatan Kecemasan.
Pemeriksaan doktor menunjukkan paras sel darah putih yang tinggi, tanda jelas keradangan aktif dalam badan.
Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) kemudian mengesahkan bahawa Z mengalami apendisitis.
Z menjalani pembedahan membuang apendiks secara laparoskopi (lubang kunci) pada keesokan paginya, dan dibenarkan pulang sehari selepas prosedur tersebut.
H, seorang pesara berusia 70 tahun, telah berasa lemah dan hilang selera makan sejak tiga hari lalu.
Pada hari keempat, keadaannya bertambah buruk apabila beliau mula mengalami suhu badan yang meningkat, cirit-birit, serta sakit di bahagian bawah perut yang semakin ketara.
Ketika tiba di Jabatan Kecemasan, denyutan nadi H didapati sangat pantas dan keseluruhan perutnya terasa sakit ketika diperiksa doktor.
Rawatan antibiotik diberikan serta-merta.
Imbasan CT kemudian menunjukkan keradangan apendiks yang telah berlubang, menyebabkan pengumpulan nanah di dalam rongga abdomen.
H menjalani pembedahan kecemasan appendisektomi secara laparotomi (kaedah terbuka) melalui satu potongan yang lebih besar di bahagian perut.
Beliau turut memerlukan pemasangan tiub saliran bagi mengeluarkan nanah dari rongga abdomen.
Sepanjang berada di hospital, H dipantau dengan rapi sambil menerima rawatan antibiotik dan penjagaan luka.
Tiub saliran dikeluarkan beberapa hari kemudian, dan beliau akhirnya dibenarkan pulang kira-kira seminggu selepas pembedahan.
Apendisitis (appendicitis) ialah keadaan di mana apendiks mengalami keradangan.
Apendiks, atau usus buntu, merupakan sebuah kantung kecil berbentuk tiub yang terletak pada bahagian awal usus besar di bahagian kanan bawah abdomen.
Apendiks mengandungi tisu limfoid yang memainkan peranan kecil dalam membantu tubuh melawan jangkitan.
Keradangan biasanya berlaku apabila ruang dalaman apendiks tersumbat. Sumbatan ini boleh berpunca daripada najis yang mengeras (appendicolith) atau pembesaran tisu limfoid pada dinding apendiks.
Akibat sumbatan itu, tekanan dalam ruang apendiks meningkat dan dindingnya menjadi semakin lemah.
Jika tidak dirawat awal, apendiks boleh pecah. Pada masa yang sama, bakteria turut membiak dan menyebabkan jangkitan merebak ke seluruh rongga perut.
Apendisitis ialah masalah pembedahan yang kerap berlaku.
Dianggarkan antara 1 hingga 2 daripada setiap 1,000 orang mengalaminya setiap tahun.
Sepanjang hayat, seseorang mempunyai sekitar 6 hingga 8 peratus risiko untuk mendapat apendisitis.
Keradangan apendiks boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun ia lebih kerap dialami oleh kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas, remaja, dan dewasa muda. Apendisitis bukan penyakit keturunan.
Biasanya, seseorang yang mengalami apendisitis akan merasa sakit bermula di sekitar pusat.
Sakit itu kemudian berpindah ke bahagian kanan bawah abdomen.
Kesakitannya boleh bertambah apabila bergerak, batuk atau apabila kawasan tersebut disentuh.
Tempoh masa untuk sakit itu berubah lokasi berbeza antara individu.
Gejala lain yang mungkin dialami termasuk loya, muntah, hilang selera makan, perut kembung, serta sembelit atau cirit-birit.
Jika keadaan menjadi lebih serius, pesakit boleh mengalami demam menggigil, denyutan nadi yang cepat, dan tekanan darah yang menurun – tanda-tanda sepsis, iaitu jangkitan bakteria yang serius.
Namun, tidak semua pesakit menunjukkan gejala yang sama.
Dalam banyak keadaan, simptom apendisitis boleh menyerupai masalah lain seperti gastroenteritis, jangkitan saluran kencing, batu karang, penyakit radang pelvis, atau kista ovari, menjadikan diagnosis awal sedikit mencabar.
Warga emas dan pesakit diabetes selalunya kurang menunjukkan aduan sakit atau demam, sehingga keadaan mereka mudah dianggap sebagai “masalah angin” atau sembelit biasa.
Oleh kerana tanda-tanda awal apendisitis dalam kumpulan ini tidak begitu ketara, mereka kerap mendapatkan rawatan hanya apabila keadaan sudah menjadi lebih serius.
Jika dikesan awal, rawatan apendisitis biasanya mudah dan selamat.
Namun, komplikasi serius boleh berlaku jika apendiks pecah, menyebabkan nanah dan kuman merebak ke seluruh rongga perut (peritonitis) atau membentuk abses.
Keadaan ini boleh menjejaskan fungsi organ lain, termasuk buah pinggang dan jantung, menjadikan rawatan lebih rumit dan mengambil masa lebih lama.
Dalam sesetengah kes, badan cuba mengawal jangkitan tersebut.
Omentum (lapisan lemak) dan usus-usus sekeliling akan “mengepung” serta melekat pada apendiks, lalu membentuk ketulan radang yang dikenali sebagai appendiceal phlegmon.
Situasi ini menjadikan pembedahan lebih mencabar dan berisiko kerana struktur di kawasan tersebut sudah melekat antara satu sama lain.
Sesiapa yang mengalami gejala apendisitis disarankan mendapatkan penilaian doktor jika sakit perut semakin kuat atau tidak reda, terutamanya apabila sakit tertumpu di bahagian kanan bawah abdomen.
Jika muncul tanda-tanda sepsis seperti demam menggigil atau kekeliruan khususnya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak, mereka perlu dibawa segera ke Jabatan Kecemasan untuk rawatan segera.
Doktor akan mengambil sejarah gejala pesakit dan melakukan pemeriksaan fizikal pada bahagian perut.
Ujian asas biasanya merangkumi ujian darah untuk menilai paras sel darah putih serta ujian air kencing untuk menolak punca lain.
Imbasan CT digunakan bagi mengesahkan apendisitis serta menilai jika terdapat komplikasi.
Bagi kanak-kanak dan wanita hamil, ultrasound menjadi pilihan untuk mengelakkan pendedahan kepada radiasi.
Sebaik sahaja diagnosis apendisitis disahkan, pesakit akan diberikan antibiotik dan ubat penahan sakit secara intravena (melalui salur darah).
Pada masa yang sama, pesakit akan diminta berpuasa sementara menunggu penilaian pakar bedah, yang akan berbincang mengenai pilihan rawatan yang sesuai.
1. Apendisektomi – pembedahan membuang apendiks, merupakan rawatan standard dan biasanya dilakukan dalam tempoh 24 jam atau secara kecemasan, bergantung pada tahap keseriusan keadaan pesakit.
Semasa prosedur ini, pesakit akan diberikan bius penuh (general anaesthesia).
Pembuangan apendiks tidak menjejas sistem imun kerana peranan apendiks dalam pertahanan badan adalah sangat kecil dan fungsinya boleh digantikan oleh organ limfoid lain.
(a) Pembedahan laparoskopi atau prosedur ‘lubang kunci’ dilakukan melalui tiga hirisan kecil berukuran sekitar 0.5 hingga 1 sentimeter menggunakan kamera kecil.
Kaedah ini biasanya digunakan untuk kes apendisitis yang dikesan awal dan tidak mempunyai komplikasi. Teknik ini juga membolehkan pakar bedah memeriksa organ lain di dalam abdomen dan pelvis, selain memberikan masa pemulihan yang lebih cepat kepada pesakit.
(b) Pembedahan terbuka (laparotomy). Dalam beberapa keadaan, pesakit mungkin tidak sesuai untuk menjalani kaedah laparoskopi dan memerlukan pembedahan terbuka yang dilakukan melalui satu hirisan lebih besar sama ada di bahagian kanan bawah atau di garis tengah abdomen.
Kaedah ini biasanya dipilih jika terdapat komplikasi seperti apendiks yang telah pecah, jangkitan meluas atau struktur dalaman yang sukar dilihat dengan jelas melalui teknik laparoskopi.
Faktor-faktor seperti penyebaran nanah yang meluas atau sejarah pembedahan abdomen terdahulu yang menyebabkan lekatan parut akan dipertimbangkan oleh pakar bedah bagi menentukan kaedah pembedahan yang paling sesuai dan selamat untuk pesakit.
2. Hanya Antibiotik – sesetengah kes terpilih boleh dirawat dengan antibiotik sahaja. Bagi apendisitis yang dikesan awal dan belum pecah, rawatan tanpa pembedahan menunjukkan kadar kejayaan sekitar 70 hingga 85 peratus.
Namun, antara 20 hingga 30 peratus pesakit yang memilih rawatan ini berisiko mengalami apendisitis berulang dalam tempoh setahun, dan angka itu boleh meningkat kepada 35 hingga 40 peratus dalam tempoh lima tahun.
Sekitar separuh daripada pesakit yang mengalami episod berulang akhirnya tetap memerlukan pembedahan apendisektomi.
Keadaan adalah berbeza jika terdapat najis mengeras (apendikolit).
Dalam situasi ini, pesakit biasanya dinasihatkan supaya menjalani apendisektomi kerana rawatan dengan antibiotik sahaja mungkin kurang berkesan, dan risiko berlakunya apendisitis berulang adalah jauh lebih tinggi.
3. Pesakit berisiko tinggi.
Ada juga pesakit warga emas yang menghidap penyakit kronik seperti kegagalan jantung, penyakit buah pinggang peringkat akhir, atau masalah kesihatan kritikal lain yang mempunyai risiko terlalu tinggi untuk menjalani bius penuh.
Pesakit yang mengambil ubat antikoagulan tertentu pula perlu menghentikan ubat pencair darah selama beberapa hari bagi mengurangkan risiko pendarahan semasa pembedahan.
Dalam keadaan seperti ini, doktor akan menilai dengan teliti sama ada pembedahan atau rawatan antibiotik sahaja lebih sesuai dan selamat untuk pesakit.
4. Ketulan Radang Apendiks (Appendiceal phlegmon).
Untuk kes apendisitis yang telah membentuk jisim ketulan (phlegmon) akibat keradangan yang turut melibatkan organ sekeliling, pembedahan apendisektomi biasanya dielakkan pada peringkat awal kerana risiko komplikasi – termasuk kecederaan pada usus berdekatan – adalah sangat tinggi.
Dalam keadaan ini, pesakit dirawat terlebih dahulu dengan antibiotik, dan jika terdapat pengumpulan nanah, tiub saliran mungkin perlu dimasukkan untuk mengeluarkannya.
Selepas jangkitan akut reda dan keradangan stabil, pembedahan apendisektomi (interval appendicectomy) boleh dipertimbangkan bersama pakar bedah beberapa minggu kemudian.
Selepas apendisektomi laparoskopik, pesakit biasanya boleh pulang ke rumah dalam masa 1 hingga 2 hari dan kembali kepada aktiviti harian seperti mandi, menaiki tangga atau memandu dalam tempoh 5 hingga 7 hari, selagi pergerakan tidak menyebabkan kesakitan pada kawasan luka.
Bagaimanapun, aktiviti lasak harus dielakkan selama 6 minggu bagi memastikan luka dalaman sembuh sepenuhnya. Diet yang seimbang juga digalakkan sepanjang tempoh pemulihan.
Pesakit yang menjalani apendisektomi secara terbuka, memerlukan tiub saliran, atau dirawat bagi komplikasi lain, tempoh kemasukan ke hospital biasanya lebih lama – sekitar 5 hingga 14 hari bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.
Setelah dibenarkan pulang dari hospital, pesakit dan ahli keluarga perlu peka terhadap tanda-tanda awal komplikasi yang mungkin muncul kemudian seperti kemerahan pada kawasan luka, sakit perut yang semakin kuat, demam, cirit-birit atau muntah berterusan, serta sesak nafas.
Sekiranya simptom-simptom ini timbul, pesakit harus mendapatkan rawatan segera, sebaik-baiknya di hospital yang sama atau di hospital terdekat.
Janji temu susulan dengan pakar bedah akan diatur selepas pesakit dibenarkan keluar dari hospital untuk membincangkan keputusan histopatologi, iaitu ujian mikroskopik terhadap tisu apendiks.
Dalam kes yang jarang berlaku, keputusan tersebut boleh menunjukkan kehadiran ketumbuhan atau barah apendiks.
Ciri-ciri ketumbuhan ini selalunya sukar dikenal pasti melalui imbasan CT ketika fasa keradangan akut, dan hanya dapat dikesan selepas apendiks dikeluarkan dan tisu dinilai dengan mikroskop.
Sekiranya keputusan ujian menunjukkan ketumbuhan, pesakit akan dirujuk kepada pakar bedah kolorektal atau pakar onkologi untuk penilaian lebih lanjut serta perancangan rawatan seterusnya.
Apendisitis boleh dirawat dengan mudah jika dikesan pada peringkat awal.
Kisah Z dan H yang dibincangkan menunjukkan bagaimana apendisitis boleh hadir dalam bentuk yang berbeza, daripada gejala ringan yang cepat menjadi serius, hinggalah kepada keadaan yang sudah berkomplikasi apabila rawatan lewat diberikan. Apendisitis bukan sekadar “sakit perut” biasa.
Mengenali tanda-tanda awal dan mendapatkan rawatan dengan segera dapat mencegah apendiks pecah, mengurangkan risiko sepsis, serta mempercepatkan proses pemulihan.
Penulis Perunding Bersekutu, Jabatan Pembedahan, Hospital Besar Sengkang


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg