Bacaan PM2.5 setiap jam kembali normal di kesemua lima kawasan di Singapura pada pagi 25 Oktober, meskipun Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal pada paras “tidak sihat” bagi tiga kawasan.

Menjelang 1 tengah hari, bacaan PM2.5 berada antara 30 dengan 52, meletakkannya dalam paras “normal”.

Bacaan PM2.5 diukur setiap jam dan mencerminkan kualiti udara semasa. Angka dari sifar hingga 55 mewakili nilai normal, manakala bacaan antara 56 dengan 150 menunjukkan kepekatan zarah halus yang tinggi.

Bacaan PM2.5 setiap jam di seluruh negara kekal di paras tinggi sejak petang 24 Oktober hingga awal pagi 25 Oktober, menurut The Straits Times.

Sementara itu, PSI 24 jam berada pada paras “tidak sihat” bagi kawasan timur (106), barat (124) dan kawasan tengah (104) manakala utara (99) dan selatan (97) mencatatkan kualiti udara “baik hingga sederhana”.

Mutu udara dianggap baik hingga sederhana apabila PSI – purata bergerak 24 jam bagi enam bahan pencemar udara utama – berada dalam paras 0 hingga 100, dan tidak sihat apabila ia mencecah 101 hingga 200.

Apabila mutu udara melepasi ambang “tidak sihat”, orang ramai, terutamanya warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, harus mula mengurangkan aktiviti luar.

Kualiti udara di Singapura mengalami sedikit lega pada 23 Oktober, apabila PSI berada di paras “baik hingga sederhana” dan tahap PM2.5 berada di paras “normal”. Namun, keadaan mula merosot pada 24 Oktober.

Dalam nasihat harian pada petang 24 Oktober, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan bahawa mutu udara sederhana hingga tidak sihat dijangka berlaku pada 25 Oktober, dengan ramalan PSI berada di paras antara 80 hingga 130.