Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barah hidung: Lazim berlaku namun sukar hidu kehadiran

Sukar diagnosis penyakit ini kerana secara amnya ia sangat senyap pada permulaan
Aug 7, 2023 | 6:00 AM
SUKAR DIKESAN: Kes barah hidung hanya dikesan di tahap lanjut.
SUKAR DIKESAN: Kes barah hidung hanya dikesan di tahap lanjut. - Foto PIXABY

Barah nasofarinks (barah pangkal hidung) atau nasopharyngeal carcinoma (NPC) ialah penyakit di mana sel barah berkembang dari tisu pangkal hidung, kata Penolong Profesor Kiattisa Sommat, seorang perunding kanan di Bahagian Onkologi Radiasi di Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS).

Nasofarinks ialah laluan di belakang hidung, di atas bahagian tekak (orofarinks), yang menghubungkan hidung dengan sistem pernafasan.

Nasofarinks juga berhubung dengan telinga melalui tiub eustachia yang membuka ke telinga tengah, tambah Profesor Sommat.

Barah hidung agak biasa di Singapura dan Asia Tenggara, dan kebanyakannya memberi kesan kepada orang Cina, kata seorang pakar perunding di Jabatan Otolaringologi, Pembedahan Kepala dan Leher di Hospital Universiti Nasional (NUH), Dr Donovan Eu.

Dr Eu, yang juga seorang pakar perunding di Bahagian Onkologi Pembedahan di Institut Barah Universiti Nasional Singapura, menambah bahawa barah hidung lebih biasa berlaku kepada lelaki dan lebih kerap menjejas pesakit berumur antara 30 dengan 60 tahun.

Terdapat banyak jenis barah hidung, kata Dr Eu.

Selain NPC, barah hidung juga termasuk barah sinonasal dan barah kulit.

Di Singapura, NPC adalah jenis barah hidung yang paling biasa, tambahnya.

Beberapa faktor risiko

Walaupun punca sebenar NPC belum diketahui, terdapat beberapa faktor yang diketahui menyumbang kepada perkembangannya, kata Profesor Sommat.

Selain jantina dan fakta bahawa orang berketurunan Selatan China lebih mudah terkena barah ini, Profesor Sommat menyatakan diet tinggi garam atau makanan yang diawet; sejarah keluarga dan merokok adalah faktor risiko yang menyumbang kepada perkembangan barah hidung.

Selain itu, NPC berkaitan dengan virus Epstein-Barr (EBV), kata Dr Eu. Virus itu mempunyai keupayaan untuk masuk ke dalam sel dan menyebabkan mutasi, akhirnya membawa kepada perkembangan NPC.Tanda dan gejala barah hidung

Tiga tanda NPC yang paling lazim ialah keluarnya darah dari hidung atau tekak, telinga tersumbat, dan pembesaran kelenjar nodus limfa, kata Dr Tay Hin Ngan, seorang pakar otorinolaringologi dan pembedahan robotik kepala dan leher di Hospital Mount Elizabeth.

“Gejala dan tanda lain seperti penglihatan berganda, muka terasa kebas, masalah pernafasan atau menelan jarang berlaku dan hanya muncul apabila tumor telah menyerang struktur sekeliling,” tambah Dr Tay.

Dr Eu pula menambah: “Kesukaran untuk mendiagnosis barah hidung secara amnya ialah ia sangat senyap pada permulaannya.”

“Ini mungkin tidak berbahaya, seperti sensasi telinga sebelah tersumbat. Gejala lain termasuk kahak berlumuran darah atau hidung tersumbat di satu sisi,” katanya lagi.

Jumlah pesakit barah hidung setiap tahun

Kejadian NPC di Singapura kekal antara yang tertinggi di dunia, dengan 8.9 bagi setiap 100,000 lelaki terjejas setiap tahun, kata Profesor Sommat.

Dr Eu berkata bahawa kira-kira 300 pesakit didiagnosis setiap tahun di Singapura.

Bagaimanapun, jumlah kes sebenarnya telah berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya, tambah Dr Eu, merujuk kepada laporan terkini oleh Kementerian Kesihatan di mana kejadian NPC telah dikecualikan daripada 10 barah paling tinggi dalam kalangan lelaki.

Rawatan pilihan untuk NPC

NPC tidak tersebar ke bahagian badan yang lain dan pada amnya mempunyai kadar penyembuhan rawatan yang lebih tinggi, kata Dr Ivan Tham, seorang pakar onkologi radiasi di Hospital Gleneagles.

Beliau menambah: “Ini terdiri daripada 6½ hingga tujuh minggu terapi radiasi, dan penambahan kemoterapi untuk kes-kes setempat yang lebih lanjut.”

Terapi radiasi menggunakan X-ray telah digunakan selama dua dekad, dan tetap menjadi rawatan utama yang digunakan di Singapura, kata Dr Tham.

Selain itu, terdapat kaedah rawatan alternatif terapi radiasi yang menggunakan proton, yang diperkenal pada Mei. Ini berpotensi mengurangkan kesan sampingan rawatan yang akut atau lewat, ujar Dr Tham.

“Kementerian Kesihatan pada masa ini membenarkan terapi proton digunakan dalam kes-kes NPC yang di peringkat setempat tahap lanjut dan/atau tidak boleh dibuang, atau apabila kemoterapi serentak digunakan,” tambahnya.

Kadar kelangsungan hidup

Kadar kelangsungan hidup untuk barah nasofarinks telah meningkat dengan rawatan yang lebih maju, kata Dr Tay.

Beliau menambah bahawa kadar penyembuhan untuk peringkat satu dan dua NPC masing-masing adalah 93 peratus dan 87 peratus, dengan radioterapi.

Rawatan untuk NPC peringkat lanjut, peringkat tiga atau empat, akan memerlukan tambahan kemoterapi atau terapi berbentuk sasaran, semasa dan kadang-kadang sebelum atau selepas terapi radioterapi, kata Dr. Tay.

Kadar kelangsungan hidup bagi peringkat itu masing-masing adalah 81 peratus dan 65 peratus, tambahnya.

Prospek pemulihan pesakit juga bergantung pada umur dan kesihatan umum mereka pada masa diagnosis, dan sama ada mereka memberikan tindak balas dengan rawatan, tambah Profesor Sommat.

“Secara amnya, NPC boleh dirawat dan mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi pada peringkat awal,” katanya.

Kesan awal, kurangi risiko

Menurut Dr Tay, ujian darah untuk virus Epstein-Barr (EBV) boleh membantu dalam pengesanan awal NPC.

Beliau juga menambah bahawa imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), CT (tomografi berkomputer) dan PET (tomografi pengionan positron) juga dapat membantu menentukan peringkat penyakit dan rawatan yang sesuai.

Selain itu, pesakit yang mempunyai sejarah keluarga penyakit itu harus menjalani saringan secara berkala bagi membolehkan pengesanan awal dan rawatan NPC, kata Dr Eu.

Pesakit yang bimbang mengenai barah hidung sepatutnya berjumpa dengan doktor lebih awal dan menjalani pemeriksaan formal untuk menilai rongga hidung.

Beliau menambah bahawa diet yang sihat, dengan mengurangkan pengambilan makanan tinggi pengawet seperti sayur-sayuran masin, dapat membantu mengurangkan faktor risiko.

Dr Eu berkata: “Pengesanan awal dan diagnosis memberikan peluang terbaik untuk sembuh.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg