Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP Bukit Panjang Liang Eng Hwa didiagnosis hidap barah hidung

Jul 26, 2023 | 4:48 PM
JALANI RAWATAN: Menjangkakan kesan sampingan daripada rawatan radioterapi, Encik Liang Eng Hwa (gambar) mungkin perlu mengambil cuti daripada beberapa kegiatan dan tugas masyarakat dalam beberapa bulan akan datang.
JALANI RAWATAN: Menjangkakan kesan sampingan daripada rawatan radioterapi, Encik Liang Eng Hwa (gambar) mungkin perlu mengambil cuti daripada beberapa kegiatan dan tugas masyarakat dalam beberapa bulan akan datang. - Foto ZAOBAO

 Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, telah didiagnosis menghidap barah hidung, dan akan menjalani rawatan radioterapi setiap hari selama tujuh minggu akan datang.

Dalam catatan Facebook pada Rabu, Encik Liang berkata pendengaran di telinga kirinya tersekat selama berbulan-bulan, yang mendorong mendapatkan pemeriksaan doktor telinga, hidung dan tekak (ENT).

Setelah melakukan endoskopi hidung dan biopsi, serta menjalani imbasan tomografi dan pengimejan resonans magnetik (MRI) seterusnya, beliau didapati menghidap barah hidung peringkat awal.

“Disebabkan terdapat kesan sampingan yang dijangkakan daripada rawatan radioterapi itu, saya mungkin perlu mengambil cuti daripada beberapa kegiatan dan tugas masyarakat dalam beberapa bulan akan datang,” kata Encik Liang, 59 tahun.

Beliau menganggotai dua Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) – mempengerusikan GPC untuk Kewangan dan Perdagangan dan Industri, serta anggota GPC untuk Tenaga Manusia.

Memberi keyakinan kepada penduduk di kawasan undinya di Bukit Panjang, Encik Liang berkata AP GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan dan Encik Edward Chia, akan mengambil alih tugas yang tidak dapat beliau laksanakan.

“Pasukan akar umbi Bukit Panjang kami juga akan ke depan semasa ketiadaan saya untuk terus berkhidmat kepada penduduk dan meneruskan program dan kegiatan masyarakat kami.

“Saya akan melakukan terbaik semasa rawatan ini dalam dua bulan akan datang.

“Saya tidak sabar untuk kembali bertugas sepenuhnya nanti,” ujar Encik Liang.

Pengumuman ini timbul selepas dua hari AP GRC Aljunied yang juga naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, dimasukkan ke hospital pada Isnin malam disebabkan penyakit jantung.

WP berkata pada Selasa bahawa Encik Faisal dalam keadaan sedar dan stabil, dan sedang dipantau di unit rawatan rapi.

Melahirkan ucap selamat di Facebook untuk mereka, AP GRC Tanjong Pagar, Encik Alvin Tan, berkata: “Semoga rakan-rakan parlimen yang dikasihi Faisal dan Eng Hwa cepat sembuh.

“Ia adalah bulan Julai yang sukar tetapi kami akan mengharunginya,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg