Barah hidung: Tanda awal kerap diabai
Karsinoma nasofarinks (NPC) dan faktor risiko
NPC ialah sejenis barah yang berpunca daripada nasofarinks, iaitu bahagian atas tekak yang terletak di belakang hidung.
Oleh sebab itu, ia kadangkala dirujuk sebagai barah hidung.
Virus Epstein-Barr (EBV) memainkan peranan utama dalam kadar kejadian NPC yang tinggi di Asia Tenggara, khususnya di kawasan endemik.
Anggota keluarga terdekat pesakit NPC, seperti ibu bapa atau adik-beradik, mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit itu akibat faktor baka dan persekitaran yang dikongsi.
NPC juga didapati berlaku dua hingga tiga kali lebih kerap dalam kalangan lelaki berbanding wanita.
Selain faktor jantina, pemakanan dan gaya hidup turut meningkatkan risiko penyakit itu, khususnya pengambilan ikan masin dan daging awetan gaya Cina secara kerap, yang mendedahkan tubuh kepada bahan karsinogen dikenali sebagai nitrosamina dan dikaitkan dengan kejadian NPC.
Adakah kadar kejadian NPC di Singapura lebih tinggi berbanding bahagian dunia lain?
NPC sangat lazim di Asia Tenggara dan selatan China, terutama di wilayah Guangdong dan Guangxi.
Di Singapura dan Malaysia, penyakit itu paling kerap dikesan dalam kalangan masyarakat Cina.
Di Singapura, kadar kejadian NPC adalah kira-kira 8.9 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala kebanyakan negara Eropah melaporkan kadar antara 0.5 dengan 1.0 bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu lebih tujuh kali ganda lebih rendah.
NPC merupakan antara tiga barah utama yang menjejas lelaki pertengahan usia antara 30 dengan 49 tahun di Singapura.
Dalam sesetengah kes, golongan lelaki ini, yang sering memikul tanggungjawab menyara ibu bapa dan keluarga muda, tidak lagi mampu bekerja akibat tahap keseriusan penyakit mereka.
NPC juga tergolong dalam 10 punca utama kematian akibat barah dalam kalangan lelaki dari 2018 hingga 2022, dengan pengulangan penyakit dan metastasis jauh menjadi antara penyebab kematian paling lazim dalam kalangan pesakit NPC.
Bagaimanakah NPC dikesan? Gejala awal yang perlu diberi perhatian
NPC sering sukar dikesan pada peringkat awal kerana gejalanya yang samar dan tidak khusus.
Namun, kesedaran terhadap tanda amaran awal serta prosedur diagnosis yang tepat pada masanya boleh meningkatkan hasil rawatan dengan ketara.
NPC sering menunjukkan gejala yang menyerupai masalah biasa telinga, hidung dan tekak.
Tanda awal yang penting termasuk benjolan di leher tanpa rasa sakit akibat pembesaran nodus limfa, kehilangan pendengaran sebelah atau rasa penuh di telinga; kesesakan hidung berpanjangan atau pendarahan hidung; air liur atau lelehan hidung bercampur darah; serta tinitus atau bunyi berdengung di telinga.
Dalam kes lanjut, pesakit mungkin mengalami sakit kepala atau kebas pada wajah.
Jika gejala itu berterusan atau berulang walaupun selepas rawatan biasa untuk sinusitis atau jangkitan telinga, pemeriksaan perubatan yang lebih menyeluruh disyorkan.
Proses diagnosis biasanya melibatkan beberapa langkah.
Pakar telinga, hidung dan tekak akan menilai gejala dan melakukan pemeriksaan fizikal, dengan tumpuan pada bahagian kepala, leher dan nasofarinks.
Pada masa yang sama, ujian darah virus Epstein-Barr (EBV) lazimnya dilakukan, dan keputusan positif selalunya akan membawa kepada pemeriksaan lanjut.
Prosedur menggunakan tiub fleksibel yang nipis dengan kamera yang dimasukkan melalui hidung untuk melihat nasofarinks biasanya merupakan langkah awal.
Sampel tisu atau biopsi akan diambil untuk mengesahkan diagnosis.
Rawatan konvensional NPC
Rawatan NPC bergantung kepada peringkat barah semasa diagnosis.
Radioterapi merupakan rawatan utama dan menggunakan sinar-X untuk menyasarkan serta membunuh sel barah.
Kemoterapi pula menggunakan ubat oral atau intravena untuk menghentikan pertumbuhan sel barah dan memusnahkannya.
Dalam sesetengah kes, kemoterapi induksi dan kemoradioterapi serentak diperlukan.
Pembedahan jarang digunakan sebagai rawatan awal bagi NPC.
Ia biasanya dikhaskan untuk kes barah berulang selepas rawatan awal, dan boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka atau pembedahan endoskopik melalui hidung.
Perbezaan imunoterapi berbanding rawatan terdahulu serta manfaatnya
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, imunoterapi menggunakan perencat PD-1 menunjukkan potensi ketara dalam rawatan barah nasofarinks yang berulang atau telah merebak.
Selaras dengan perkembangan itu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) baru-baru ini meluluskan antibodi monoklonal PD-1 pertama untuk rawatan NPC berulang atau metastatik (RM-NPC).
Kelulusan terkini oleh HSA Singapura terhadap antibodi monoklonal PD-1, toripalimab, bagi NPC berulang atau metastatik menyediakan pilihan rawatan baru kepada pesakit.
Sebelum ini, kemoterapi merupakan satu-satunya rawatan yang tersedia untuk keadaan tersebut.
Keputusan percubaan klinikal JUPITER-02 menunjukkan penggunaan perencat PD-1 yang digabungkan dengan kemoterapi meningkatkan tempoh kelangsungan hidup tanpa barah sebanyak 13.2 bulan berbanding kemoterapi sahaja, daripada 8.2 bulan kepada 21.4 bulan, dengan profil keselamatan yang setanding dengan kemoterapi sahaja.
Hasil kajian itu kemudian membawa kepada kemasukan perencat PD-1 sebagai salah satu rejimen rawatan barisan pertama kategori 1 untuk NPC berulang atau metastatik dalam garis panduan Rangkaian Barah Menyeluruh Kebangsaan (NCCN) 2025.
Peranan rangka kerja kawal selia, Projek Orbis, percepat inovasi ekosistem onkologi
Projek Orbis memainkan peranan penting dalam menyokong inovasi onkologi di Singapura dengan membolehkan penilaian ubat dilakukan secara serentak dan bersama oleh badan kawal selia antarabangsa.
Diselaraskan oleh Pusat Kecemerlangan Onkologi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, rangka kerja itu membolehkan agensi seperti HSA menyertai penilaian bersama terapi barah yang berpotensi tinggi.
Dengan penyelarasan garis masa penilaian sejagat, badan kawal selia antarabangsa dapat meluluskan ubat berimpak tinggi dengan lebih pantas, selalunya dalam tempoh beberapa bulan selepas kelulusan di Amerika atau Australia.
Bagi penyakit endemik di Asia Tenggara seperti NPC, Projek Orbis memastikan akses lebih awal kepada terapi yang sesuai dengan keperluan tempatan.
Keputusan percubaan klinikal beri kesan kepada pesakit
Keputusan percubaan klinikal secara langsung mempengaruhi hasil rawatan pesakit dengan membimbing keputusan rawatan, kelulusan kawal selia dan piawaian amalan klinikal.
Percubaan klinikal menyediakan pilihan rawatan berasaskan bukti dengan membandingkan terapi baru dengan rawatan sedia ada.
Badan kawal selia seperti HSA meluluskan ubat barah baru berdasarkan bukti daripada percubaan yang menunjukkan pengurangan perkembangan penyakit dan kadar kematian.
Garis panduan rawatan barah kebangsaan dan antarabangsa juga banyak bergantung kepada data percubaan klinikal bagi memastikan rawatan yang konsisten dan selamat.
Selain itu, hasil percubaan boleh mempengaruhi dasar kesihatan dan keputusan pembiayaan, termasuk perubahan dalam dasar bayaran balik, bagi memastikan rawatan berkesan dapat diakses secara lebih meluas.
Secara keseluruhan, percubaan klinikal yang direka dengan baik dan telus adalah asas penting dalam meningkatkan mutu penjagaan pesakit.
Penulis ialah Perunding Kanan, Bahagian Perubatan Onkologi, Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS).


