Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M³@Jurong, CCK anjur acara galak wanita buat saringan barah serviks

Dec 6, 2025 | 6:35 PM
M³@Jurong, M³@Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Rahayu Mahzam, Kesihatan Wanita
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan) yang juga ketua penasihat M³@Jurong, Cik Rahayu Mahzam (barisan depan, dua dari kiri), dan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang yang juga ketua penasihat M³@Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (barisan depan, empat dari kiri), menyertai acara Zumba bersama peserta acara Kesihatan Wanita pada 6 Disember di Pusat Jawatankuasa Penduduk Bukit Batok East Spring View. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai saringan barah serviks, M3@Jurong dan M3@Chua Chu Kang telah bekerjasama dengan masjid di kedua-dua bandar itu untuk mengadakan acara Kesihatan Wanita pada 6 Disember.

Selain ceramah dan kegiatan seperti Zumba, golongan wanita yang hadir dan berusia antara 30 tahun dengan 69 tahun berpeluang menerima ujian saringan kendiri papilomavirus manusia (HPV) secara percuma di Pusat Jawatankuasa Penduduk Bukit Batok East Spring View.

HPV ialah virus yang sangat lazim dan boleh mengakibatkan jangkitan, dengan sesetengah jenis HPV boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk ketuat kelamin dan barah seperti barah serviks.

Inisiatif masyarakat yang dijalankan bersama Perikatan Tindakan Aktif Terhadap HPV (A4HPV) itu bertujuan menjalankan kajian bagi meningkatkan pengambilan saringan barah serviks – penyakit yang boleh dicegah tetapi kurang disaring di Singapura.

Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya 44.9 peratus wanita, berumur antara 25 tahun dengan 74 tahun, di Singapura menjalani saringan kanser serviks pada 2024, menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) 2024.

Ini merupakan kemerosotan berbanding 48.2 peratus pada tahun 2019.

Sewaktu acara Kesihatan Wanita itu, lebih 80 wanita melibatkan diri dalam kegiatan yang dianjurkan.

Mereka disertai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan) yang juga ketua penasihat M3@Jurong, Cik Rahayu Mahzam, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang yang juga ketua penasihat M3@Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Cik Rahayu, yang juga AP GRC Jurong East-Bukit Batok, melahirkan sokongan buat inisiatif tersebut dalam mewujudkan sekitaran yang menyokong wanita Melayu/Islam dalam masyarakat.

“Wanita terus menjadi tonggak kekuatan dalam keluarga dan masyarakat, menyokong orang lain dengan dedikasi sambil mengimbangi banyak tuntutan.

“Namun realitinya, mereka juga memerlukan masa untuk diri sendiri supaya dapat berehat, pulih dan meletakkan kesihatan sebagai keutamaan,” ujar Cik Rahayu.

Encik Zhulkarnain, yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) pada 2026, turut menyentuh tentang peranan yang seharusnya dimainkan kaum Adam dalam menyokong kesihatan serta kesejahteraan wanita dalam kehidupan mereka.

“Menjaga kesihatan bukanlah tugas individu sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama.

“Saya berharap lebih ramai lelaki akan memberi galakan kepada ibu, isteri, anak perempuan, anak saudara perempuan dan rakan mereka agar menjalani saringan pencegahan secara tetap dan bagi yang lebih muda, vaksinasi HPV. Apabila keluarga dan masyarakat bersatu, kita melindungi satu sama lain,” kata Encik Zhulkarnain.

Selain saringan kendiri HPV, acara tersebut juga menampilkan sesi perkongsian bersama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan daripada Athena Women’s Specialist, Dr Ida Ismail Pratt, mengenai perkara berkaitan kesihatan wanita seperti pencegahan kanser serviks.

Kegiatan sampingan seperti membuat kraf mengait dan senaman Zumba turut dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg