Topic followed successfully
Go to BHkuBedok, Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill terpilih sebagai Kejiranan Sihat Menua
Bedok, Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill terpilih sebagai Kejiranan Sihat Menua
Estet-estet ini akan sediakan khidmat jagaan yang dipertingkat, prasarana mesra warga emas
Bedok, Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill terpilih sebagai Kejiranan Sihat Menua
Estet kejiranan Bedok, Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill telah ditetapkan sebagai Kejiranan Sihat Menua (AWN) yang membolehkan warga emas mengakses khidmat penjagaan yang dipertingkat di samping prasarana mesra warga emas untuk membantu mereka meniti usia senja secara berdikari dan selesa.
Kemudahan AWN akan dilancarkan secara progresif bermula pada 2026 di bandar-bandar yang mempunyai bilangan warga emas lebih tinggi.
Ini menyusuli pengumuman AWN pertama di Toa Payoh oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Rapat Hari Kebangsaannya pada Ogos 2025.
Empat kawasan AWN itu akan memberi manfaat kepada lebih 110,000 warga emas, menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 7 Mei.
Ketiga-tiga kementerian ini menerajui inisiatif kebangsaan AWN, yang dibangunkan berdasarkan usaha berterusan ‘Age Well SG’ yang bertujuan membolehkan warga emas menua secara sihat dan berdikari dalam masyarakat mereka.
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pada 7 Mei bahawa AWN akan disokong oleh kelompok penjagaan kesihatan.
Menurutnya, penyedia penjagaan kesihatan awam NHG Health menyokong AWN Toa Payoh; SingHealth di Bedok dan Tiong Bahru-Redhill; manakala Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) di Bukit Panjang.
Ini adalah permulaan usaha untuk menjadikan setiap kejiranan sebagai tempat buat warga emas hidup secara sihat dengan memperkukuh jangkauan terhadap mereka.
Jangkauan itu bertujuan memastikan mereka aktif dan terhubung secara sosial, menyelaraskan usaha merentasi pelbagai penyedia penjagaan untuk menawarkan satu pusat sehenti kepada warga emas dalam masyarakat, membawa penjagaan kesihatan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.
“Dengan cara itu, kelompok penjagaan kesihatan kita dapat membina keupayaan dengan cepat untuk menyokong AWN, dan bekerjasama dengan sektor penjagaan masyarakat,” katanya semasa Seminar Pelan Kerja Penjagaan Masyarakat Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) 2026 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.
AWN akan menampilkan pelbagai penambahbaikan merentasi empat komponen utama ‘Age Well SG’ – Pusat Penuaan Aktif (AAC), Penjagaan Peribadi Di Rumah Yang Dipertingkat (HPC+), Pos Kesihatan Masyarakat (CHP) dan prasarana mesra warga emas.
AAC dalam kawasan AWN akan menawarkan lebih banyak program penuaan aktif dan pusat satelit terbuka atau apa yang dipanggil pusat sehenti AAC untuk mendekatkan perkhidmatan ke rumah warga emas. Terdapat lebih 230 AAC hari ini.
AAC bukan lagi sekadar pusat yang menjalankan aktiviti untuk warga emas bahkan tempat yang membolehkan warga emas tampil untuk memimpin.
“Di kebanyakan AAC, warga emas membuka dan menutup pusat itu, dan membantu mengendalikannya walaupun selepas waktu bekerja,” kata Encik Ong.
“Mereka juga menghantar makanan, berkhidmat sebagai pengiring perubatan, dan berkawan dengan mereka yang memerlukan bantuan tambahan.”
Di rumah, warga emas yang lemah boleh mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan yang diperluas melalui HPC+. Kemudahan baru termasuk kakitangan penjagaan yang berpangkalan di AWN untuk membantu warga emas menjalani aktiviti seharian.
Warga emas di AWN juga boleh menerima perkhidmatan kesihatan seperti pengurusan penyakit kronik dan semakan ubat di CHP, yang dikendalikan pasukan kesihatan yang diketuai oleh jururawat dan selalunya terletak di dalam kawasan atau berhampiran AAC.

