Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurang pencegahan kesihatan, gaya hidup masih kritikal di S’pura

Nov 19, 2025 | 4:53 PM
pencegahan kesihatan, gaya hidup, masyarakat sangat menua, 2030. SG Lebih Sihat
Pengarah Pusat Kajian Penuaan Berjaya (Rosa), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Paulin Straughan, membentangkan dapatan kajian mereka pada Simposium Tahunan Kelima mengenai Penuaan Berjaya, pada 19 November. - Foto ZAOBAO

Satu kajian baru mendedahkan jurang yang ketara dalam kesihatan pencegahan dan tabiat gaya hidup, meskipun Singapura berada di landasan yang baik untuk menjadi masyarakat sangat menua menjelang 2030.

Di samping itu, walaupun terdapat sokongan padu terhadap dasar yang menyokong kesihatan, penglibatan harian warga emas dalam inisiatif kesihatan masih terhad.

Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa selain memudahkan akses perubatan, proses untuk membina masyarakat yang menua dengan sihat memerlukan persekitaran yang menggalakkan pilihan gaya hidup sihat, agar ia menjadi sebahagian daripada rutin harian warga emas.

Penyelidik di Pusat Kajian Penuaan Berjaya (Rosa) Universiti Pengurusan Singapura (SMU), membuat tinjauan terhadap 7,056 penduduk Singapura berusia antara 53 dengan 80 tahun pada Ogos.

Kajian itu bertajuk Living Well: The Built, Lived, and Social Determinants of Well-being (Hidup Sihat: Penentu Kesejahteraan dari segi Persekitaran, Kehidupan Harian dan Sosial).

Ia menggunakan data daripada Singapore Life Panel (SLP), satu tinjauan nasional yang dijalankan sejak 2015, lapor The Straits Times (ST).

Tinjauan itu mendapati lebih 90 peratus responden menyokong inisiatif kesihatan pencegahan negara, SG Lebih Sihat.

Di samping itu, lebih 90 peratus menyatakan bahawa pemeriksaan kesihatan berkala adalah penting.

Namun, hanya lebih separuh responden telah mendaftar dengan SG Lebih Sihat, manakala satu per lima pula bercadang untuk berbuat demikian.

Meskipun kesedaran kesihatan dalam kalangan warga emas semakin meningkat, penggunaan perkhidmatan berkaitan kesihatan masih terhad.

Dalam kalangan mereka yang mendaftar dengan SG Lebih Sihat, pemeriksaan kesihatan tahunan serta penilaian kesihatan atau perubatan merupakan perkhidmatan yang paling banyak digunakan.

Walau bagaimanapun, rujukan kepada profesional kesihatan sokongan, kelas senaman atau kesejahteraan masyarakat, serta mendapatkan nasihat gaya hidup atau pemakanan dilihat kurang dimanfaatkan.

Dapatan ini menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran warga emas tentang perkhidmatan kesihatan pencegahan dan kesejahteraan yang tersedia dalam masyarakat.

Selain itu, inisiatif SG Lebih Sihat turut menggalakkan kesinambungan penjagaan di mana warga emas bekerjasama dengan seorang doktor perubatan am untuk menguruskan kesihatan mereka.

Namun demikian, tinjauan ini mendapati lebih 80 peratus responden menyatakan mereka masih mendapatkan rawatan daripada doktor lain walaupun telah mendaftar di bawah program itu, kerana ingin memperoleh pandangan kedua atau rawatan khusus bagi pelbagai masalah kesihatan.

Semasa membentangkan dapatan kajian itu di Simposium Tahunan kelima Rosa, mengenai Penuaan Berjaya pada 19 November, pengarah Rosa, Profesor Paulin Straughan, berkata walaupun warga emas berhasrat menguruskan kesihatan mereka, mereka memerlukan sistem dan persekitaran yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Penuaan sihat bukan sahaja mengenai penjagaan perubatan, malah tentang membina kejiranan, masyarakat dan rutin yang menjadikan gaya hidup sihat sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya.

Profesor Straughan menekankan keperluan untuk beralih kepada sistem pencegahan berasaskan masyarakat yang menyemai tabiat penjagaan kesihatan dalam rutin harian, serta memanfaatkan persekitaran fizikal dan sosial dengan lebih baik untuk membina kejiranan yang lebih sihat.

Beliau turut menekankan bahawa inovasi lebih canggih diperlukan, memandangkan Singapura hanya tinggal beberapa tahun sebelum menjadi masyarakat sangat menua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg