Dengan musim haji 2025 semakin hampir, jutaan anggota jemaah dari seluruh dunia dijangka berkumpul di tanah suci dalam suasana yang penuh barakah – namun kali ini dengan cabaran kesihatan yang serius.
Pihak berkuasa Arab Saudi menjangkakan suhu melampau mencecah antara 45 dengan 50 darjah Celsius, suatu keadaan yang boleh membahayakan kesihatan jemaah.
“Tahun ini (2025), cuaca dijangka sangat panas dan kering. Suhu boleh mencecah melebihi 45 darjah Celsius dan di Madinah, setakat ini sudah mencecah 41 darjah Celsius.
“Kita harus bersedia dari segi mental dan fizikal,” kata Kementerian Haji Saudi dalam kenyataan terbaru.
Pada musim haji 2024, lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia kebanyakannya akibat strok haba dan penyahhidratan.
Suhu pada ketika itu mencecah 51.6 darjah Celsius, menjadikan 2024 antara musim haji paling panas dalam sejarah moden.
Keadaan itu turut diperburuk oleh kehadiran jemaah tanpa permit rasmi yang terpaksa menunaikan haji dalam keadaan tidak selesa dan tanpa kemudahan asas.
Pakar perubatan dari Pusat Penyelidikan Perubatan Antarabangsa Raja Abdullah, Dr Abderrezak Bouchama, berkata:
“Kami percaya pihak berkuasa Arab Saudi akan lebih tegas kali ini dalam menangani kemasukan jemaah tidak sah dan menambah baik langkah mitigasi haba.”
Menurut pakar geopolitik dari Universiti Birmingham, Encik Umer Karim, langkah seperti pemeriksaan ketat di pintu masuk Makkah, penambahan unit pendingin bergerak, serta sistem amaran strok haba sedang giat dibincangkan.
“Penggunaan ruang berhawa dingin berhampiran Kaabah, lorong penyejuk berhawa di Safa dan Marwah, serta sistem pancuran kabus telah pun membantu, tetapi belum cukup untuk menangani risiko keseluruhan,” ujar Dr Bouchama.
Bagi jemaah, minum air secara berterusan adalah kunci utama untuk mengelakkan strok haba.
“Minum banyak air memang perlu, tetapi hakikatnya kita juga perlu keluar daripada kawasan panas,” tegas Dr Bouchama.
“Penyejukan aktif seperti rehat di ruang berhawa dingin, menggunakan payung dan menyiram kepala dengan air sejuk dapat menyelamatkan nyawa.”
Langkah praktikal yang disarankan kepada jemaah termasuk:
• Membawa botol air sepanjang masa dan minum secara berkala.
• Mengelakkan kegiatan berat antara 11 pagi dengan 3 petang.
• Menggunakan pelitup muka dan pakaian berwarna cerah dan longgar.
• Mendapatkan rehat berkala di kawasan teduh atau berhawa dingin.
• Mengelakkan makanan berat yang tinggi garam dan lemak.
Jemaah harus peka terhadap gejala awal strok haba seperti:
• Pening atau sakit kepala yang teruk.
• Loya dan muntah.
• Kulit panas, kering dan kemerahan.
• Degupan jantung laju.
• Pengsan atau tidak sedarkan diri.
Sekiranya mengalami gejala tersebut, jemaah dinasihatkan:
• Segera mencari tempat teduh.
• Membasahkan badan dengan air sejuk.
• Minum air dengan segera.
• Hubungi pasukan perubatan atau relawan haji.
Penggunaan payung, cermin mata hitam, topi atau kain penutup kepala amat membantu dalam mengurangkan pendedahan kepada sinaran terik matahari.
Jemaah digalakkan menyesuaikan ibadah dengan kemampuan diri.
Elakkan berasak-asak dan ambil masa untuk berehat.
Ketahui suhu semasa dan atur ibadah pada waktu yang lebih selamat.
Banyak aplikasi mudah alih disediakan bagi memberi kemas kini cuaca dan peringatan kesihatan.
Ibadah haji adalah pengorbanan fizikal dan rohani.
Namun, dalam dunia yang semakin terkesan oleh perubahan iklim, persiapan fizikal dan kesedaran kesihatan bukan lagi pilihan, namun satu keperluan.
“Jemaah harus memahami bahawa cuaca kini bukan seperti dahulu. Kita perlu menyesuaikan cara kita beribadah demi keselamatan dan keberkatan ibadah itu sendiri,” kata Dr Bouchama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg