RIYADH: Arab Saudi mengesahkan bahawa musim haji 2025 akan menjadi kali terakhir ibadah itu berlangsung dalam cuaca panas terik untuk tempoh 16 tahun akan datang, apabila tarikh haji dijangka beralih ke musim yang lebih sejuk bermula 2026.
Perkara itu diumumkan oleh Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi susulan peredaran kalendar Islam yang berasaskan tahun lunar, menyebabkan tarikh haji berganjak kira-kira 10 hari lebih awal setiap tahun.
Menurut agensi itu, musim haji akan mula berlangsung pada musim bunga dari 2026 hingga 2033, sebelum memasuki musim sejuk dari 2034 hingga 2041.
Musim panas dijangka hanya kembali menyelubungi ibadah haji bermula pada 2042.
“Peralihan ini amat melegakan jutaan jemaah haji yang selama ini terpaksa berdepan suhu luar biasa tinggi setiap kali mengerjakan ibadah di Tanah Suci,” kata kenyataan Pusat Meteorologi itu.
Pada musim haji 2024, suhu di Makkah dilaporkan mencecah antara 46 dengan 51 darjah Celsius.
Keadaan cuaca ekstrem itu mengakibatkan lebih 2,700 kes strok haba dilaporkan dalam masa sehari sahaja, selain beberapa kematian berkaitan cuaca panas, menurut angka rasmi.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Arab Saudi memperhebatkan langkah perlindungan bagi memastikan keselamatan jemaah.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menyediakan laluan berbumbung, menambah stesen pengagihan air, menyediakan unit penyejuk mudah alih serta kempen kesedaran mengenai keselamatan cuaca panas.
Kerajaan Arab Saudi turut menambah 33 stesen pemantauan cuaca baru pada 2024 dan meningkatkan penggunaan radar mudah alih bagi memantau keadaan cuaca secara masa nyata di sepanjang laluan haji.
Bagi musim haji 2025, lebih 1.8 juta jemaah dijangka akan menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pihak berkuasa kini sedang giat membuat persiapan rapi bagi menguruskan ibadah haji terakhir dalam musim panas ini.
Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan bahawa 13 April 2025 adalah tarikh akhir kemasukan jemaah umrah asing ke negara itu.
Arab Saudi tidak akan membenarkan mana-mana pihak memasuki Makkah atau berada dalam kota suci itu tanpa visa haji bermula 29 April ini.
Penutupan ini dilakukan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan musim haji tahun ini.
Dalam kenyataannya, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan langkah itu adalah sebahagian daripada arahan lebih menyeluruh untuk mengawal selia musim haji tahun ini, sekali gus memastikan keselamatan jemaah.
Saudi turut mengingatkan syarikat dan agensi perkhidmatan haji serta umrah supaya memastikan semua jemaah asing meninggalkan negara itu sebelum visa mereka tamat.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan syarikat terbabit dikenakan denda sehingga 100,000 riyal ($35,074) bagi setiap kesalahan. Malah, jumlah denda ini boleh digandakan bergantung kepada bilangan jemaah yang melanggar visa,” tegas kementerian itu.
Mereka yang tidak mempunyai permit haji yang sah akan dilarang masuk dan akan dihantar pulang ke negara asal, kata Kementerian Dalam Negeri. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg