Di sebalik ‘pok pek Raya’...

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di sebalik ‘pok pek Raya’...

Lebih peka semasa interaksi, elak saling membanding ketika berkunjung
Mar 23, 2026 | 5:30 AM

Di sebalik ‘pok pek Raya’...

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Muhammad Haikal Jamil, Pakar Psikologi Klinikal Kanan yang juga Pengasas, ImPossible Psychological Services.
Muhammad Haikal Jamil, Pakar Psikologi Klinikal Kanan yang juga Pengasas, ImPossible Psychological Services. - Foto BH

Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu untuk kita bertemu dengan orang yang mungkin telah lama tidak berjumpa, mengeratkan silaturahim dan saling bermaafan.

Kita saling berkunjung, berkongsi juadah, dan beramah mesra.

Namun di sebalik kemeriahan kunjungan Hari Raya, ada satu pengalaman yang sering berlaku tetapi jarang dibincangkan secara terbuka – perbandingan sosial.

Kata-kata seperti, “Sekarang kerja apa?”, “Anak satu sahaja?”, atau “Oh sepupu kau ada kereta baru. Bila kau nak tukar kereta?” mungkin didengari dalam perbualan ketika kita berkumpul.

Apabila soalan atau komen itu disampaikan tanpa kepekaan, ia boleh memberi kesan emosi kepada individu yang menerimanya.

Ada yang mungkin berasa malu, tertekan, atau rasa kekurangan berbanding orang lain.

Adakalanya, soalan dan kata-kata yang kurang sensitif seperti itu boleh menjejas keyakinan diri dan kesejahteraan mental, khususnya bagi mereka yang sedang melalui cabaran dalam hidup.

Dalam masyarakat Singapura yang menitikberatkan pencapaian dan mempunyai sifat berdaya saing, perbandingan sudah menjadi lumrah dalam hidup kita.

Namun, saya ingin berkongsi pendapat tentang kepekaan ketika berinteraksi agar semangat sebenar dan tujuan Hari Raya dapat terus terpelihara.

Perbandingan Sosial dalam masyarakat Singapura

Secara psikologi, manusia memang cenderung menilai diri dengan membandingkan pencapaian atau keadaan hidup dengan orang lain.

Kadangkala perbandingan itu boleh menjadi sumber motivasi.

Bagaiamanapun, ia juga boleh menimbulkan tekanan emosi apabila seseorang berasa dirinya ketinggalan atau tidak setanding dengan orang lain.

Dalam konteks Singapura, beberapa faktor sosial dan budaya menjadikan kecenderungan itu lebih ketara.

+ Masyarakat berorientasi
pencapaian

Singapura kerap disifatkan sebagai masyarakat yang amat berdaya saing.

Kejayaan sering diukur melalui pencapaian akademik, kemajuan kerjaya, kestabilan kewangan serta pemilikan aset seperti rumah atau kenderaan.

Dalam persekitaran sebegitu, tanda-tanda kejayaan yang jelas mudah menjadi topik perbualan.

Ketika kunjungan Hari Raya, perbualan sering berkisar tentang perkara seperti pekerjaan dan jawatan, pendapatan, perkahwinan dan anak, serta pencapaian pendidikan.

Perbualan yang bermula sebagai pertanyaan biasa kadangkala bertukar menjadi perbandingan perjalanan hidup antara ahli keluarga atau teman-teman.

+ Hubungan kekeluargaan
yang rapat

Budaya masyarakat Melayu di Singapura turut menekankan hubungan kekeluargaan yang erat.

Ramai keluarga kekal berhubung rapat dan mengambil berat tentang perkembangan hidup saudara-mara.

Keakraban itu sebenarnya merupakan kekuatan dalam masyarakat.

Namun, pada masa yang sama, ia juga bermakna ramai yang mengetahui perkembangan hidup antara satu sama lain.

Apabila maklumat tentang pencapaian seseorang mudah diketahui, kecenderungan untuk membuat perbandingan juga meningkat.

Kunjungan Hari Raya yang menghimpunkan ahli keluarga atau teman-teman secara tidak langsung menyediakan ruang perbandingan seperti itu mudah berlaku.

+ Ukur kejayaan melalui
pencapaian tertentu

Satu lagi faktor ialah kecenderungan masyarakat Singapura untuk mengukur kejayaan hidup melalui beberapa pencapaian utama – seperti menamatkan pengajian, memperoleh pekerjaan yang baik, berkahwin, atau memiliki rumah sendiri.

Namun hakikatnya, setiap individu melalui perjalanan hidup yang berbeza.

Ada yang memilih untuk memberi tumpuan kepada pembangunan diri, menukar laluan kerjaya, atau mengambil masa sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.

Apabila perbualan tertumpu kepada pencapaian tertentu sahaja, individu yang berada di laluan berbeza mungkin berasa seolah-olah mereka ketinggalan.

Perbandingan boleh bawa kesan negatif

Melihat kejayaan orang lain kadangkala boleh menjadi sumber inspirasi.

Walaupun ada yang disampaikan secara bergurau atau untuk memberi perangsang, perbandingan sosial boleh menimbulkan rasa malu, kurang yakin, atau tekanan emosi.

Ironinya, perbualan seperti itu berlaku ketika Hari Raya – satu perayaan yang sebenarnya menekankan nilai kerendahan hati, kemaafan dan pengukuhan hubungan sesama manusia.

Panduan berinteraksi dengan lebih peka

Setiap individu memainkan peranan dalam mewujudkan suasana yang selesa ketika kunjungan Hari Raya.

Sedikit kepekaan dalam cara kita berbual boleh memberi perbezaan besar.

+ Bertanya dengan rasa ingin tahu, bukan menilai

Daripada bertanya soalan yang seolah-olah menilai pencapaian seseorang, cuba bertanya dengan rasa ingin tahu yang tulen.

Tujukan soalan dari aspek luas dan bukan tertumpu kepada sesuatu perkara seperti pendapatan atau jika sudah bertemu jodoh.

Contoh soalan yang mempunyai aspek yang luas termasuk:

“Bagaimana pengalaman awak di tempat kerja sekarang?” dan “Apa yang sedang awak usahakan kebelakangan ini?”

Soalan seperti itu membuka ruang perbualan tanpa menimbulkan perbandingan.

+ Elak bahasa perbandingan

Ayat seperti: “Sepupu awak dah…” dan “Orang lain umur awak…” boleh menjadikan kehidupan seolah-olah satu pertandingan.

Pendekatan yang lebih empati adalah memberi tumpuan kepada individu itu sendiri, misalnya dengan bertanya, “Bagaimana keadaan awak sekarang?” dan “Apa yang awak nantikan tahun ini?”.

+ Hargai usaha, bukan hanya hasil

Dalam masyarakat yang sangat menekankan pencapaian, hasil sering menjadi tumpuan utama.

Namun, usaha yang dilakukan seseorang juga wajar dihargai.

Mengiktiraf usaha seseorang membantu mengalihkan tumpuan daripada persaingan kepada penghargaan.

Contohnya, “Nampaknya awak sudah berusaha keras” dan “Itu tentu memerlukan banyak kesabaran dan ketekunan.”

+ Ingat tidak semua orang selesa kongsi apa yang dilalui

Tidak semua orang berkunjung semasa Hari Raya dalam keadaan hidup yang mudah.

Ada yang mungkin sedang menghadapi cabaran seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan, tekanan kewangan atau kesedihan.

Soalan yang kelihatan biasa mungkin menyentuh perkara sensitif bagi seseorang.

Oleh itu, adalah penting memberi ruang kepada orang lain berkongsi hanya apa yang mereka selesa kongsikan.

Jika anda mangsa perbandingan

Walaupun kita cuba bersikap peka, perbandingan mungkin tetap berlaku.

Bagi mereka yang rasa terkesan, beberapa pendekatan boleh membantu mengurus emosi anda.

+ Mentafsir niat dengan
lebih lembut

Dalam banyak keadaan, individu yang membuat komen sebenarnya tidak berniat untuk menyakiti.

Dalam budaya keluarga, bertanya tentang kerjaya atau perkahwinan sering dianggap sebagai tanda keprihatinan. Ada juga yang menujukan kata-kata ini untuk memulakan perbualan.

Melihat komen tersebut sebagai sesuatu yang mempunyai niat yang baik tetapi disampaikan secara kurang peka boleh membantu mengurangkan kesan emosi kepada diri anda.

+ Sediakan jawapan sopan

Jika anda sedang melalui waktu yang mencabar, sediakan beberapa jawapan ringkas yang boleh membantu anda menghadapi soalan yang kerap dikemukakan.

Contohnya, “Sekarang saya sedang memberi tumpuan kepada perkara lain” dan “Masih dalam proses, tetapi saya banyak belajar”.

+ Tetapkan batasan dengan hormat

Jika anda berasa sesuatu komen atau soalan itu terlalu peribadi, tidak salah untuk menetapkan batasan dengan sopan.

Anda boleh mengatakan, “Saya tahu semua orang prihatin, tetapi saya lebih selesa jika tidak dibandingkan” atau “Saya masih dalam proses, tetapi terima kasih atas keprihatinan””

+ Sandarkan harga diri
pada nilai diri

Perbandingan mendatangkan kesan negatif kepada diri kita apabila harga diri dinilai pada pencapaian luaran.

Saya ingin menganjurkan kita mengukuhkan harga diri berpaksi nilai peribadi – seperti usaha, kejujuran, ketabahan dan pertumbuhan diri.

Apabila identiti kita tidak bergantung kepada perbandingan, komen orang lain boleh mengurangkan kesan kepada kesejahteraan emosi kita.

+ Amalkan belas kasihan terhadap diri sendiri

Adalah normal untuk kita rasa tidak selesa apabila dibandingkan. Daripada menyalahkan diri sendiri kerana berasa demikian, cuba mengakui emosi tersebut dengan penuh belas kasihan.

Jika terkesan dengan emosi negatif, anda boleh bersikap empati kepada diri sendiri seperti mengatakan, “Situasi ini memang tidak selesa, tetapi ia tidak menentukan nilai diri saya”.

Hidupkan Semula Semangat Hari Raya

Pada asasnya, Hari Raya bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan insan yang disayangi dan bermaaf-maafan.

Ucapan “maaf zahir dan batin” mengingatkan kita bahawa hubungan sesama manusia jauh lebih penting daripada status, kekayaan atau pencapaian.

Kunjungan Hari Raya akan menjadi lebih bermakna apabila perbualan memberi tumpuan kepada jalinan hubungan, bukan perbandingan.

Perubahan itu tidak memerlukan usaha besar. Tindakan kecil sudah memadai:

+ Bertanya dengan empati

+ Hargai usaha orang lain

+ Beri galakan

+ Hormati perjalanan hidup setiap individu

Apabila perbualan berubah daripada “Siapa lebih berjaya?” kepada menanyakan khabar dan memberi sokongan moral kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran, semangat sebenar Hari Raya dapat dirasai.

Dalam kita ‘pok pek pok pek Raya’ ingatlah Hari Raya bukanlah pentas untuk membandingkan kehidupan, dan perjalanan hidup setiap individu berkembang mengikut waktunya sendiri.

Penulis Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas, ImPossible Psychological Services.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg