Masjid Ar-Raudhah akan menganjurkan Simposium Keluarga 2025 pada Sabtu, 1 November, dari 1 petang hingga 6.30 petang. Program ini merupakan kerjasama kempen Dadah Itu Haram (DIH), DRUGFREESG, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Pasukan Polis Singapura (SPF).
Pengerusi Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, berkata:
“Masjid Ar-Raudhah komited dalam memperkasakan keluarga dan masyarakat kita agar terus kukuh menghadapi cabaran kehidupan dalam era teknologi canggih dan zaman digital masa kini. Semoga Simposium Keluarga 2025 ini menjadi ruang untuk kita sama-sama belajar, berkongsi dan mempererat kasih sayang antara generasi.”
Simposium kekeluargaan ini juga bertujuan membina hubungan emosi yang lebih kukuh antara ibu bapa dan penjaga dengan anak-anak dalam dunia digital masa kini yang amat mencabar.
Dua topik utama akan dibincangkan: “Am I Someone My Child Can Talk To?” (Adakah Saya Seseorang yang Boleh Dijadikan Teman Bicara Anak Saya?) dan “Building Emotional Connection and Moral Authority in the Age of TikTok and Peer Pressure” (Membina Hubungan Emosi dan Kewibawaan Moral dalam Era TikTok dan Tekanan Rakan Sebaya).
Melalui sesi bersama dua pakar, peserta akan mendalami cara mengekalkan kewibawaan moral tanpa menjauh daripada anak-anak dalam dunia yang dipengaruhi TikTok, media sosial dan tekanan rakan sebaya.
Simposium ini menampilkan Pakar Psikologi Klinikal, Encik Haikal Jamil, serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah, dengan Cik Fiza O sebagai moderator.
1. Meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kesan emosi dan psikologi budaya digital serta tekanan rakan sebaya terhadap anak-anak.
2. Mengukuhkan komunikasi dengan memberi strategi praktikal untuk mewujudkan perbualan terbuka dan tanpa penilaian antara ibu bapa dan anak.
3. Memperkukuh kewibawaan moral melalui pendekatan keibubapaan berasaskan kepercayaan dan hormat, bukan rasa takut atau kawalan.
4. Merapatkan jurang generasi dengan menangani salah faham berkaitan teknologi, nilai dan batasan antara ibu bapa dengan anak.
5. Membina masyarakat penyayang dengan menggalakkan perkongsian pengalaman serta sokongan sesama ibu bapa.
Simposium ini percuma dan terbuka kepada umum. Pada akhir program, turut diadakan ceramah “Vape-Free” anjuran MSF, serta reruai kesedaran bahaya dadah oleh pasukan DIH dan MSF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg