DALLAS: Diet karnivor, yang kini menjadi kegilaan ramai terutama dalam kalangan pencinta kecergasan dan pengikut trend kesihatan di media sosial, kian mendapat perhatian kerana kononnya mampu menurunkan berat badan dengan cepat, memberi tenaga berpanjangan dan memperbaiki keadaan kulit.
Namun di sebalik populariti itu, pakar perubatan memberi amaran bahawa diet itu boleh mendatangkan kesan buruk yang serius terhadap kesihatan, khususnya pada fungsi ginjal dan sistem pencernaan.
Diet itu menggalakkan pengambilan hanya makanan berasaskan haiwan seperti daging, ayam, telur, ikan, makanan laut dan sesetengah produk tenusu.
Semua sumber karbohidrat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, kekacang, dan biji-bijian pula perlu dielakkan sepenuhnya.
Maka, diet itu juga dikenali sebagai ‘diet sifar karbohidrat’.
Namun, di sebalik manfaat yang didakwa, ramai pakar kesihatan memberi amaran diet itu berpotensi membahayakan kesihatan jika diamalkan secara melampau dan tanpa pemantauan pakar.
Seorang pempengaruh kecergasan dari Dallas, Cik Eve Catherine, menjadi tumpuan selepas berkongsi pengalamannya yang hampir meragut nyawa akibat diet karnivor.
Dalam satu video TikTok yang meraih perhatian ribuan penonton, wanita berusia 23 tahun itu mendedahkan bagaimana beliau dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesakitan luar biasa yang berpunca daripada pengambilan protein berlebihan.
“Saya bangun satu pagi dan kencing terus keluar darah. Saya sangat takut,” kata Cik Eve dalam video itu.
Beliau mendedahkan bahawa diet hariannya terdiri daripada dua hingga tiga biji telur untuk sarapan, yogurt tinggi protein untuk makan tengah hari, dan stik New York Strip, untuk makan malam.
Semasa pemeriksaan kesihatan tahunan, doktornya mengesan paras protein tinggi dalam air kencing, tetapi beliau tidak mengendahkannya.
Tidak lama kemudian, Eve terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan dan diberi morfin selepas disahkan mengalami batu karang.
“Saya ketagih pada protein. Saya sangka lebih protein bermaksud lebih sihat,” akuinya.
Menurut Klinik Mayo, diet tinggi protein boleh memburukkan fungsi ginjal, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan tersembunyi.
Apabila badan tidak dapat menapis sisa metabolisme protein dengan baik, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti batu karang.
Selain itu, kekurangan serat dalam diet seperti itu juga boleh mengakibatkan sembelit kronik, sakit kepala, nafas berbau, dan ketidakseimbangan bakteria usus yang penting untuk kesihatan pencernaan.
Kajian dalam jurnal, The American Journal of Clinical Nutrition, mendedahkan seorang lelaki berusia 68 tahun turut mengalami masalah ginjal selepas mengamalkan diet karnivor selama setahun.
Beliau kehilangan berat badan 12 kilogram tetapi pemeriksaan mendapati terdapat pembentukan awal tiga jenis batu karang oksalat, kalsium fosfat dan asid urik.
“Selepas doktor menyarankan agar berhenti (mengamalkan diet itu), beliau bebas daripada batu karang dalam tempoh setahun,” kata penyelidik kajian tersebut.
Pakar pemakanan turut memberi amaran bahawa pengambilan daging merah dan daging proses secara berlebihan seperti sosej boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan barah kolorektum.
Kandungan natrium dan lemak tepu yang tinggi dalam makanan itu dikaitkan secara langsung dengan peningkatan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan keradangan.
“Diet karnivor menghapuskan sumber makanan penting seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.
“Ini boleh membawa kepada kekurangan mikronutrien seperti vitamin C, serat, dan antioksidan,” kata pakar pemakanan klinikal, Dr Ravi Menon.
Menurut beliau, daging memang mengandungi nutrien penting, tetapi tidak boleh menjadi satu-satunya sumber makanan harian.
Pakar mengesyorkan agar setiap individu mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan sebelum memulakan sebarang diet ekstrem, terutama yang mengehadkan kumpulan makanan tertentu.
“Tubuh manusia memerlukan keseimbangan nutrien untuk berfungsi dengan baik.
“Diet yang terlalu ketat bukan sahaja menimbulkan risiko kesihatan fizikal, bahkan juga pada kesihatan mental dan hormon,” tambah Dr Menon.
Bagi Cik Catherine, pengalaman pahit yang dialaminya kini menjadi pengajaran besar yang ingin dikongsi kepada orang ramai.
“Jangan ambil terlalu banyak protein, okey? Jangan abaikan pengambilan serat anda,” kata Cik Catherine. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg