Cik Salmah (nama samaran) menyangka biji cili penyebab sakit perutnya.
Namun beberapa jam kemudian, wanita muda berusia 25 tahun itu terbaring di Jabatan Kecemasan sebuah hospital di Singapura, menahan sakit yang semakin mencengkam di bahagian kanan bawah perutnya – tanda klasik apendisitis yang boleh membawa maut jika lewat dirawat.
Pada awalnya, beliau hanya menganggap ia masalah angin di perut, pedas berlebihan atau biji cili yang “tersangkut” seperti yang sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat.
“Saya ingatkan sebab makan pedas… sebab biji cili. Tak sangka sampai jadi begini,” katanya lemah sebaik tiba di hospital.
Kesakitan Cik Salmah terasa kira-kira lapan jam sebelum beliau ke hospital – bermula di sekitar pusat sebelum berpindah ke bahagian kanan bawah perut. Beliau hilang selera makan, muntah berulang kali dan mula demam.
Itulah tanda-tanda klasik apendisitis akut – radang pada apendiks yang boleh pecah bila-bila masa.
Pemeriksaan fizikal menunjukkan beliau mengalami demam 38.3 Celsius dengan sakit ketara apabila ditekan di bahagian kanan bawah perutnya – dikenali sebagai tanda McBurney – petunjuk hampir pasti berlakunya apendisitis.
Ujian darah pula mendedahkan leukosit tinggi, neutrofil meningkat, dan tanda keradangan atau jangkitan dalam badan atau CRP tinggi semuanya menandakan keradangan serius.
Sebaik doktor bertanya apa yang dimakan sebelum sakit, Cik Salmah dengan yakin menjawab: “Saya rasa biji cili puncanya, doktor.”
Namun doktor menolak mitos itu tanpa ragu. Penjelasan doktor segera mengubah segalanya.
“Biji cili tidak menyebabkan radangan apendiks. Itu mitos. Apendisitis berlaku kerana penyumbatan dalam apendiks, dan bukan kerana makanan pedas,” ujar Cik Salmah yang diberitahu oleh doktor yang merawatnya.
Doktor menjelaskan kepada Cik Salmah bahawa penyumbatan pada apendiks selalunya berlaku akibat beberapa faktor, antaranya najis keras atau fecalith iaitu ketulan najis yang tersumbat di saluran apendiks.
Dalam sesetengah kes, kelenjar limfa yang membengkak akibat jangkitan virus juga boleh menekan dan menutup saluran itu.
Beliau turut menerangkan bahawa jangkitan bakteria boleh mencetuskan keradangan sehingga menyebabkan apendiks meradang dan membengkak.
Kadangkala, walaupun jarang, benda asing yang memasuki sistem pencernaan boleh terperangkap dalam apendiks dan menyebabkan penyumbatan.
Doktor menambah bahawa kekurangan serat dalam diet boleh menyebabkan sembelit, dan sembelit boleh menghasilkan najis keras yang menyumbat saluran apendiks.
Namun, beliau menegaskan bahawa pemakanan bukanlah punca utama, sebaliknya masalah ini lebih berkait rapat dengan penyumbatan mekanikal dan jangkitan yang berlaku di dalam apendiks itu sendiri.
Hasil imbasan CT mengesahkan bahawa apendiks Cik Salmah sudah membengkak, keradangan dan berisiko pecah.
Doktor turut menjelaskan kepada Cik Salmah bahawa jika apendisitis dibiarkan tanpa rawatan, risiko komplikasi boleh meningkat dengan sangat cepat.
Keradangan apendiks boleh pecah, menyebabkan kandungan bernanah tersebar ke dalam rongga perut dan mencetuskan jangkitan serius yang boleh mengancam nyawa.
Beliau menerangkan bahawa keradangan yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan trombosis vena portal – iaitu pembekuan darah pada saluran darah utama yang membawa darah ke hati.
Dalam keadaan tertentu, jangkitan boleh merebak sehingga terbentuk abses atau nanah terkumpul di dalam tisu hati yang menjadi lebih sukar dirawat.
Yang paling membimbangkan, bakteria dari apendiks yang pecah boleh memasuki aliran darah, menyebabkan jangkitan dalam darah (bakteremia), satu keadaan yang boleh membawa kepada kejutan septik jika tidak dirawat segera.
Menurut doktor, semua komplikasi ini boleh berlaku dalam masa yang singkat, dan pembedahan segera amat penting bagi menyelamatkan nyawa pesakit.
“Ini bukan sakit perut biasa. Kita perlu lakukan pembedahan laparoskopi segera,” kata doktor itu kepadanya.
Cik Salmah diberikan antibiotik intravena (metronidazole) sebelum dibawa ke bilik pembedahan.
Apendisitis berlaku apabila sesuatu menyumbat saluran apendiks, menyebabkan tekanan meningkat, saluran darah tersekat dan tisu mula dijangkiti bakteria. Prosesnya berlaku secara senyap tetapi cepat.
Doktor turut menerangkan kepada Cik Salmah bahawa apendisitis biasanya menunjukkan beberapa tanda awal yang jelas.
Sakit selalunya bermula berhampiran pusat sebelum perlahan-lahan berpindah ke bahagian kanan bawah perut, iaitu lokasi apendiks.
Pada masa yang sama, pesakit biasanya akan hilang selera makan, diikuti mual dan muntah yang semakin kerap.
Demam rendah juga lazim berlaku kerana tubuh sedang melawan keradangan.
Ada pesakit yang mengalami perut kembung, manakala yang lain pula mengalami sembelit atau cirit-birit.
Dalam beberapa keadaan, pesakit juga menyedari mereka tidak boleh kentut, satu tanda bahawa usus mula terjejas akibat keradangan tersebut.
Gabungan simptom-simptom inilah yang membantu doktor membuat diagnosis awal sebelum menjalankan ujian lanjut.
Doktor menjelaskan kepada Cik Salmah bahawa mitos pemakanan sering menyebabkan pesakit muda menangguhkan rawatan kerana menyangka sakit perut mereka berpunca daripada makanan pedas, biji cili atau minuman tertentu.
“Apendisitis tidak boleh ditunggu. Jika sakit berpindah ke kanan bawah dan makin kuat, pesakit perlu datang ke hospital segera,” pesan doktor.
Beliau turut menyatakan bahawa kelewatan beberapa jam sahaja boleh membezakan antara pembedahan mudah dan jangkitan yang mengancam nyawa.
Selepas pembedahan laparoskopi, Cik Salmah pulih dengan baik dan dibenarkan pulang ke rumah selepas beberapa hari pemantauan.
Dalam temu bual ringkas, beliau mengakui bahawa tanggapan kononnya biji cili menyebabkan apendisitis membuatkan beliau menunggu terlalu lama.
“Saya ingatkan ia cuma sebab pedas atau sebab makan macam-macam. Rupanya apendiks saya dah membengkak. Nasib baik cepat dapatkan rawatan. Saya tak sangka jadi seteruk ini.” kata Cik Salmah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg